About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Friday 10 April 2015

Semoga Bermanfaat

As-salam.

Seperti yang dijanjikan, sebentar tadi seorang pelajar dari UKM bidang biologi farmasi (kalau tidak silaplah - sila betulkan jika kurang tepat) datang ke rumah untuk mendapatkan akar pokok hempedu bumi untuk kajian tentang manfaat perubatan daripada pokok herba itu. Dia terpaksa membeli sepokok hempedu bumi di nurseri dengan harga RM18 sepokok - entah berapa besarlah pokoknya, dengan harga yang sebesar itu! 
Selain itu dia telah mencari di internet dan 'terjumpa' Mak Aji lalu dia terus menghubungi Mak Aji. 

Hempedu bumi banyak di rumah Mak Aji, kebanyakannya sudah tumbuh sendiri pun. Sesiapa sahaja yang mahu boleh sahaja Mak Aji kongsi, janji mahu datang sendiri ambil di rumah.

Pokok hempedu bumi. 
Foto di atas seringkali diambil oleh pelbagai pihak. Mak Aji halalkan sahaja, silakanlah. Semoga ramailah beroleh manfaat. Mak Aji bukannya berduit banyak untuk menyumbang wang ringgit. Mak Aji anggap sebagai sedekah sahaja.

Pelajar yang Mak Aji sebut itu, Najah namanya hanya menyinggah sebentar sahaja. Selesai sahaja Mak Aji memberi beberapa pokok hempedu bumi, dia mohon balik kerana pokok tersebut perlu dibawa terus ke makmal. Sebelum itu sempat juga Najah membawa ole-ole berikut:

Love letters.
Terima kasih Najah kerana bersusah membawa ole-ole untuk Mak Aji! Kalau perlu lagi, datanglah lagi ya!


Lamanku Edisi Jumaat

As-salam.

Alhamdulillah kita ditemukan lagi pada hari Jumaat penghulu segala hari!

Hari ini Mak Aji menunggu kunjungan seorang pelajar yang mahukan akar hempedu bumi untuk kajiannya. Terlewat katanya. Tidak apa-apa, pada hari ini Mak Aji tiada apa program selain harus mencari bahan untuk masak kek/buah tangan untuk majlis hari jadi cucu Mak Aji, Mikhail Zahrin yang pertama esok! Sekejap sahaja sudah setahun cucuku! Mak Aji selit foto dia ya:

Mikhail dengan abahnya, Zhafran (anak Mak Aji nombor 3).

Esok Zhafran buat makan-makan keluarga di rumahnya sempena hari ulang tahun pertama Mikhail. Nanti Mak Aji update di www.ummumadihah898.blogspot.com.

Ok kembali kepada cerita sebenar. Mak Aji kongsikan beberapa bunga yang menyeri laman pada hari yang penuh berkat ini:

Australian gold vine.
Bunganya menghiasi para yang disediakan.
Bunga Nasir/trumpet menyeri pergola.
Bunga telang yang belum dipetik - akan dimanfaatkan untuk nasi kerabu biru bagi makan-makan esok petang.
Cuba teka pokok pakis apakah ini!? Pucuk miding! 

Lihatkan pucuk miding yang tumbuh sendiri dalam pasu pokok hoya sehinggakan hoya hidup segan mati tak mahu. Apa lagilah nak berbunga! Mak Aji ni kalau lihat pucuk miding teringat bubur lambuk! Macamlah sebanyak ini pucuk miding boleh dibuat bubur lambuk! Jadi, nak kena korbankanlah pucuk miding ini! Boleh dipindah tanam ke lain tempat ke?? Kena jenguk-jenguk tempat baru, manalah tahu boleh membiak pulak miding ni sehingga cukup untuk buat bubur lambuk??? 


Pokok melur Jawa pada pagi ini - alhamdulillah cukup segar bugar
 (adalah daunnya dimakan ulat ke apa - rongak sedikit!)

Moga tidak lama lagi keluarlah bunga melur Jawa yang cukup menawan hati tu! Insya-Allah! 


Kurang pasti Mak Aji apa nama pokok ni. Bila bahagian tengah-tengahmya tu berwarna merah, memang cantik pokok ni. Sayangnya merah entah ke mana, yang ada hijaunya sahaja. 

Sekian laporan daripada Mak Aji dari Sungai Pelong, Sungai Buloh untuk blog Greenfingers898! (wartawan tidak bertauliah!)




Red Velvet Beauty Again

As-salam.

Semalam Mak Aji perasan pokok kaktus sudah hampir kembang dua tangkai. Pada pagi ini bunganya sudah kembang sepenuhnya. Mari kita nikmati keindahannya:




Cantik bukan!



Musim Mangga Datang Lagi

As-salam.

Dalam kesibukan ke sana ke mari (siapa kata orang pencen tidak sibuk?? Entah-entah orang pencen lagi banyak projek berbanding orang bekerja sepenuh masa??) Mak Aji tahu yang pokok mangga Mahathir sedang berbuah tetapi asyik tiada kesempatan untuk menjengah sebesar mana buahnya. 
Sambil merakam foto bunga-bungaan di laman untuk Mak Aji kongsikan di sini, Mak Aji teringatkan mangga, maka Mak Aji menjenguklah sebelum terlupa lagi. Lihatkan buah-buahnya:








Buahnya cuma sekitar 7 biji sahaja (entah ada atau tidak yang lain lagi yang terselit di celah dedaun?) Mak Aji agak setiap sebiji beratnya lebih sekilogram beratnya setakat ini. Harapan agar buahnya boleh membesar lagi dan tidak rosak dan akhirnya menjadi rezeki kami! Amin!!

Sunday 5 April 2015

Kek Cawan Mulberi

As-salam.

Sepanjang Mak Aji tidak bersiaran pokok mulberi banyak menghadiahi Mak Aji buahnya. Ada yang sehingga lebih 200gm sekali tuai! Cukup teruja Mak Aji. Kebetulan pula Mak Aji mahu membuat kek cawan. Kakak sulung Mak Aji ada di rumah ketika itu dan dia mencadangkan Mak Aji masukkan sekali buah mulberi segar ke dalam kek cawan - tentu sedap, katanya! Maka Mak Aji pun menghasilkan kek cawan mulberi berikut:

Kek cawan mulberi yang alhamdulillah cukup sedap sekali!
Mak Aji bukan sahaja meletak buah sebagai fillingnya, malah sebagai toppingnya juga! Resepi yang digunakan hanyalah resepi kek cawan biasa sahaja, cuma ditambah sahaja mulberinya. Rasa masam manisnya cukup sedap sekali! Cubalah ya!

Kalau mahukan resepinya, sila baca di bawah:

250gm mentega
250gm tepung 
200gm gula kaster
5 biji telur
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanila

Cara-caranya:

Pukul mentega dengan gula hingga gebu. Masukkan telur sebiji-biji diselang-seli dengan tepung sehingga habis. Tuangkan esen vanila. Masukkan buah mulberi dan kaup balikkan. Sudukan sedikit adunan  ke dalam cawan kertas dan masukkan sedikit buah mulberi. Tambah adunan lagi hingga 3/4 cawan. Letakkan lagi buah mulberi sebagai toppingnya. 
Bakar dengan suhu 170 darjah selama 20 minit (bergantung pada ketuhar anda).

Selamat mencuba!





Wednesday 1 April 2015

Tamu Berumah Tangga di Laman

As-salam.

Sekitar seminggu lebih yang lalu, Pak Aji ada memaklumkan Mak Aji yang dia perasan burung merbuk putih ada berbuat sarang di pokok limau nipis Yaman (besar pokoknya tetapi enggan berbuah pula dia!). Mak Aji dan menantu, Nadia sempat menjenguk sarang dan ini foto yang sempat dirakam Nadia:

Cantik, bukan! Macam coklat putih yang dihias corak seperti telur!
Setakat hari ini telur masih belum menetas lagi. Esok lusa menetaslah agaknya anak burungnya!



Spider Plants

As-salam.

Spider plants yang sudah agak lama dibeli sudah beranak pinak dan tumbuh subur walau hanya di pasu. Lihatkan:

Spider plants.

Melur Jawa yang Menawan

As-salam.

Salah satu sumber Mak Aji mendapatkan anak pokok sekarang - FB! Walaupun begitu kita harus berhati-hati dengan penjual di FB kerana ada segelintir mereka yang kaki penipu! Jadi belilah daripada pembekal yang punya reputasi/testimoni pembeli yang baik sahaja! 

Sejenis lagi pokok yang Mak Aji beli ialah anak pokok melur Jawa. Mak Aji melihat kembang bunganya yang bergugus langsung terpikat, lantas terus memesannya daripada pembekal. Cuba lihat foto di bawah dan tanyalah diri sendiri - terpikat atau tidak!!:

Amacam, pecah liur tidak melihatnya??? Inilah dia melur Jawa!
Ini anak pokoknya yang juga berbungkus rapi.
Mak Aji membelinya daripada Sitisaloma Saad di FB. Cuba cari nama ini jika anda juga berminat mendapatkannya!



Mengubat Rindu

As-salam.

Lama sangat rasanya Mak Aji tinggalkan blog. Umpama berkurun lamanya! Mak Aji selama berpergian hanya berkomunikasi melalui media sosial lain seperti FB dan juga Instagram. Meraka yang berkawan dengan Mak Aji di situ sahajalah yang mengetahui perkembangan Mak Aji.

Mak Aji sebenarnya menghadapi masalah skrin komputer yang sering gelap secara tidak semena-mena. Setelah anak bujang Mak Aji mendapat tahu punca masalah, dia pula agak sibuk dan Mak Aji juga agak sibuk sehinggakan blog tinggal berhabuk! 

Alhamdulillah setelah anak Mak Aji menggantikan suatu kabel, masalah selesai. Kabel tersebut tidak sampai RM20 pun harganya (termasuk GST!) Harga yang begitu murah untuk membayar waktu yang hilang untuk berblog!

Apapun Mak Aji paparkan beberapa foto bunga-bungaan di laman untuk tatapan anda:

Bergugus mewangi si bunga kemuning/murraya.
Bunga bakung/lili putih.
Bunga bakung/lili pic berjalur.
Bunga entah apa ke benda - hakisan memori!
Bunga raya merah berbatik putih dan dua tingkat.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...