About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label buah anggur. Show all posts
Showing posts with label buah anggur. Show all posts

Tuesday, 25 November 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Pokok mahkota dewa banyak berbuah musim hujan ini. Semasa buah hampir masak, agak kemerahan, katanya itulah waktu paling sesuai untuk menuainya untuk diricih dan dijemur. Bunga telang juga banyak berbunga. Baru sehari dua lepas sudah Mak Aji sirapkan. Hari ini disirap lagi. Sudah agak lama juga Mak Aji tidak membeli sirap/atau yang sewaktu dengannya sejak mula menyirap sendiri hasil tuaian dari laman, alhamdulillah!:

Dua tangkai anggur, 3 biji sahaja mulberi, serta bunga telang.
Buah mahkota dewa yang bakal diricih dan dijemur.

Buah anggur dua tangkai sudah matang dan dituai walaupun buahnya agak kecil - sudah ada yang busuk ditangkai itu. Rasanya mak datuk punya masam! Benarlah kata Diana KBB, kalau anggur dituai pada musim hujan, nescaya masam buahnya manakala kalau dituai pada musim panas akan manis! Begitu juga pengalaman Mak Aji sendiri. Tuaian sebelum ini pada musim panas masam-masam manis rasanya, oklah sedikit berbanding tuaian yang ini! Apapun alhamdulillah atas rezeki! 

Buah mulberi juga ditambah kepada stok buah sedia ada yang entah bilalah lagi akan diusahakan - teringin pula untuk dibikin topping untuk kek keju (telan air liur!) - insya-Allah entah bilalah nanti akan dikerjakan. Orang pencen pun namanya tidak keluar bekerja, sibuk juga seharian di rumah!






Monday, 10 November 2014

Alhamdulillah Rezeki Kami Pulak!

As-salam.

Kalau dalam entri lepas Mak Aji tunjukkan rezeki tamu yang datang berkunjung ke laman, sekarang Mak Aji tunjukkan apa yang menjadi rezeki kami pula (sebelum kami bahagi-bahagikan kepada orang lainlah - tidak termakan semuanya!):

Buah mangga cokanan, jantung pisang abu dan buah betik.
Daripada dua tangkai anggur, ini sahaja yang tinggal setelah dibuang buah yang merekah. 

Sebahagian besar buah mangga dan betik diberi kepada kawan yang kami ke rumahnya untuk berziarah kerana dia sakit terlantar, dan sebahagian lagi kepada kawan yang sama-sama pergi berziarah. Jantung pisang dicelur (alahai, lupalah pulak untuk diberikan sup sayur kepada pokok/tanaman!) dan dicicah dengan budu (bertemankan ikan bakar dan ikan pekasam) - musim hujan seperti sekarang, kalau makan lauk seperti itu, memang laju, sedar-sedar habis nasi dua pinggan!

Anggur pula habuan tuannya - rasanya masam-masam manis (semacam cerita P. Ramleelah pulak!) Buahnya pula seperti juga sebelum ini, berbintik-bintik umpama tahi lalat walaupun sudah dibungkus rapi. Apapun alhamdulillah atas pemberian-Nya jua!


Catatan: Entah bilalah agaknya mahu dibuat hard pruning pada pokok anggur - asal mahu cantas sahaja, keluar buah, sayanglah pula. Kenalah buat hati kering sedikit, pakai cantas sahaja! 





Sunday, 19 October 2014

Yang Tersembunyi di Sebalik Daun

As-salam.

Pokok anggur Mak Aji sekarang sedang berbuah - pada mulanya ada dua tangkai, sudah siap berselindung di dalam jaring (jaring pencuci pinggan mangkuk). Minggu lepas pula Mak Aji perasan ada setangkai lagi anggur yang baru menghasilkan buahnya. Pagi ini pula Mak Aji perasan ada lagi setangkai dua anggur yang sudah agak besar saiznya di sebalik daun anggur dan juga tanduk rusa! Seronok umpama dapat hadiah!

Yang tersembunyi di balik daun!
Tadaa, sudah besar kau! Mak Aji tidak perasan walaupun sentiasa berjalan di bawahnya!
Ini yang Mak Aji perasan minggu lepas.

Berikut pula dua tangkai awal yang sudah siap berbaju:





Terbukti benar seperti yang disebut oleh sifu anggur di FB, pokok anggur memang kena kerap dicantas agar berbuah dengan lebat! Harap-harap cuaca akan lebih berpihak kepada anggur agar buahnya (musim hujan akan menghasilkan buah yang masam) nanti manis dan bukannya masam, insya-Allah.





Sunday, 14 September 2014

Cantik Tidak Bajuku??

As-salam.

Kali terakhir anggur berbuah Mak Aji sarungkan baju plastik agar terlindung daripada mata makhluk perosak yang terdiri daripada burung, tupai dan yang sewaktu dengannya. Kali ini setelah mengambil manfaat daripada kawan-kawan dari FB, Mak Aji bertukar ke baju jaring pula. Ada rakan yang menggunakan jaring untuk gosok badan semasa mandi menggunakan shower foam tetapi setelah Mak Aji mencari di pasaraya berdekatan, tiada yang dijumpai. Yang ada cuma jaring penyental pinggan mangkuk - maka itulah yang Mak Aji gunakan! Lihatkan:

Baju orenku - cantik, tak??
Selak sikit, hah tu dia!
Kedua-dua tangkai bertahi lalat - kenapa ya?? 
Berikut pula keratan anggur yang Mak Aji beli daripada rakan bertanam anggur di FB. Ada 4 keratan semuanya dan 3 sudah bertunas manakala satu lagi belum. Lihatkan:


Keratan no. 1 - alhamdulillah bertunas!
Keratan no. 2 - bertunas.
Keratan no. 3 - bertunas.
Keratan no. 4 - belum bertunas.

Berikut pula keratan angur jenis masak hijau (seperti di foto atas) yang Mak Aji semai sendiri setelah kerja-kerja mencantas ranting anggur. Ada yang main cucuk begitu sahaja tanpa meletak serbuk penggalak akar pun. Alhamdulillah elok sebahagian besarnya.


Keratan yang Mak Aji semai - ada yang sudah dicop orang!
Ini hasil dapatan pagi ini - anggur yang sudah menjadi kismis tanpa disedari Mak Aji! 
Apabila sudah besar nanti pokok-pokok anggur, maka timbullah pula isu - manakan kuletak para anggur pula?? Mak Aji sedang meninjau-ninjau ceruk mana lagi yang akan dimanfaatkan!




Saturday, 30 August 2014

Anggur yang Menyerah Diri

As-salam.

Setelah puas bermain cak dengan buah anggur yang akhirnya berterabur menjadi kismis di tanah (entah berapa banyak tangkai yang berbuah tanpa disedari dan busuk begitu sahaja di sebalik jaring hitam yang menjadi bumbung pergola), akhirnya sekejap tadi (setelah Mak Aji meninjau-ninjau) kelihatan 2 tangkai anggur yang baru keluar buahnya!:


Tangkai pertama.
Tangkai kedua lebih banyak buahnya.

Apabila sudah kelihatan mudahlah untuk Mak Aji pantau perkembangannya. Kalau berada di bumbung pergola, susahlah pula memanjat, takut ada sahaja nangka busuk yang menyembah bumi nanti!

Harap-harap menjadilah buah ini sebagai rezeki kami, insya-Allah!




Saturday, 31 May 2014

Sekitar Laman

As-salam.

Mak Aji pernah mencuba bertanam terung tetapi entah mengapa percubaan pertama gagal sebab pokonya mati. Percubaan kedua alhamdulillah berjaya. Pokok pertama pula sudah belajar berbunga. Cantik pula bunga terung ya!:

Cantik manis warnanya, lilac! Entah akan menjadi buah entah tidak?
Ada tiga pokok kesemuanya. Lihatlah daun yang dikerjakan entah apa serangga!
Bunga trumpet besar juga menunjukkan serinya.
Cukup cantik dan meriah sekali, tapi entah apa nama bunganya ya?? Pokoknya pemberian orang - siap berbunga lagi! Terima kasih banyak-banyak!
Muraya atau kemuning juga tidak mahu kalah
Bunga kertas yang ceria dan meriah warnanya.
Di salah satu sudut laman. Spider plant yang menjadi saiz gergasi di bawah teduhan polycarbonate ini.
Last but not least, buah anggur yang menunggu masaknya!:

Anggur yang menunggu matang!
Seronok melayan diri di laman menghijau, dihiasi bunga-bungaan sambil menghirup udara pagi yang segar dan bersih, alhamdulillah!!




Sunday, 18 May 2014

Semak Anggur

As-salam.

Buah anggur semakin besar pada hari ini. Seminggu dua lagi kut matanglah dia. Harap-harap manislah buahnya nanti, insya-Allah:

Anggurku nan setangkai!



Saturday, 17 May 2014

Tamu di Laman Lagi

As-salam.

Pagi ini sambil Mak Aji mengalih dua pokok bakawali magenta yang dibeli dari EM Nursery dengan harga RM15 sepokok, perasanlah pulak Mak Aji akan buah-buah anggur yang gugur sebagai 'kismis' - adalah setangkai yang sudah busuk tanpa tuannya perasan lagi! Hai Pak Aji kenalah buat sesuatu dengan anggur ini - asyik tidak perasan memanjang aje!

Apabila Mak Aji mendongak ke atas pergola ke tempat asal buah anggur yang jatuh kerana busuk itu, ini pula yang kelihatan!:

Begini rupanya kelawar dari dekat ya!! Elok aja buka mata pagi tadi, mana tidurnya!
Bergantung di netting pergola.

Pergola menjadi tempat berteduhlah pula untuk sang kelawar! Ini pertama kali Mak Aji menerima tamu jenis ini di laman! Rasa geli pun ada semasa merakam foto ini, tetapi dek kehendak mahu memfotonya dengan lebih dekat Mak Aji beranikan juga! Orang kata kelawar tidur siang dan berjaga malam - Mak Aji tengok elok aja mata dia terbuka - atau tidur mata tak rapat ke?? 

Oh ya, berikut kismis yang bertaburan di bawah pergola - sayangnya hai!:

Anggur yang menjadi kismis lagi! 
Kalau namanya bukan rezeki kita, kalau sudah berada di dalam mulut pun boleh diluahkan juga ya! 




Sunday, 11 May 2014

Apa Khabar si Anggur?

As-salam.

Pagi ini selain menjenguk bunga-bungaan, Mak Aji tidak lupa yang berjuntai di atas kepala - anggur nan setangkai!:

Anggur sudah sebesar hujung jari pada pagi ini!
Mak Aji kena balutlah buah anggur ini agar terpelihara daripada penglihatan burung dan yang sewaktu dengannya! Juga disembur neem oil agar tidak disuntik lalat buah! Semoga kau menjadi rezekiku jua, insya-Allah!





Tuesday, 6 May 2014

Anggur Nan Setangkai

As-salam.

Sedikit up-date tentang anggur nan setangkai/segugus yang menghiasi laman Mak Aji. Kata kawan blogger, kalau musim hujan buah anggur akan masam - harap-harap apabila buahnya matang nanti sudah bertukarlah musim ke panas. (Entahlah kalau mahu disebut musim panas atau hujan sebab kalau siang cuacanya cukup panas - menggeletik kami di dalam rumah! Apabila masuk ke bilik untuk tidurkan si Aleesya, pendingin hawa dipasang, sejuk nyaman sampai tertidur sekali neneknya! Keluar sahaja bilik, terasa bahang menghinggap muka, terus sentap sakit kepala, berdenyut-denyut! Petang pula hujan, kadang selebat-lebatnya semacam musim tengkujuh pula). Jadi sekarang ini musim panas ke musim hujan ya?? Allahualam! 

Ok, ok melalut pulak. Kembali ke cerita asal. Ini foto anggur nan segugus:

Rezeki kamikah ini nanti ya? Harap-harap begitulah!
Bukan sahaja diharapkan agar buahnya menjadi, malah kalau boleh manislah kamu ya, insya-Allah!!



Wednesday, 23 April 2014

Rezeki Siapalah Agaknya??

As-salam.

Sudah beberapa kali buah anggur menjadi kismis. Yang terbaharu keluar setangkai lagi kudup bunga anggur - tiadalah lagi Mak Aji menaruh harapan tinggi - entah rezeki kami entahkan tidak!

Entah rezeki siapalah nanti anggur ini??
Kalau melihatkan pokok anggur di ladang anggur di luar negara memang tiada pun para/pergola yang digunakan, nampak agak ringkas tetapi buahnya masya-Allah punyalah banyaknya:

Sumber foto: holycity.org
Ada kawan blogger, Rose dari blog Semua Menjadi menyarankan agar sulur anggur dicantas sahaja sampaikan tinggal yang berwarna coklat sahaja (Mak Aji tambah - tanpa belas kasihan! - mercilessly!). Mak Aji (Pak Aji sebenarnya yang mencantas) ada buat cantasan tetapi masih ada elemen kasihan - maknanya masih tidaklah semuanya ditogelkan! Kalau diiukutkan pokok-pokok seperti dalam foto di atas ini memang hampir togel pun, tiada pun yang menjalar-jalar! Selepas ini bila buat cantasan kenalah dibuat dengan hati kering!!




Wednesday, 12 February 2014

Buah Anggur Up-date 6

As-salam.

Kuharap anggur sempatlah menjadi rezeki kami, rupa-rupanya rezeki milik pihak lain! Beberapa hari lepas semasa Mak Aji membelek bungkusan buah anggur (belum masak-masak lagi ya, Mak Aji??) ini yang Mak Aji lihat:

Setakat ini sahajalah rezeki kami!
Sudahlah tinggal sebiji, sudah busuk juga yang ini!
Tangkai yang paling banyak buahnya - rezeki bena putih! Hu hu!!
Esok insya-Allah Mak Aji akan jenguk lagi - entah ada lagi atau tidak rezeki kami, wallahualam!!




Thursday, 26 December 2013

Buah Anggur - Update 5

As-salam.

Sekembali Mak Aji dari berpergian, antara yang pertama yang dijenguk di laman, anggurlah. Daripada empat tangkai yang dibalut surat khabar, tinggal satu sahaja yang kekal berbalut! Satu tangkai selamat putus dari tangkainya dengan kertas pembalutnya sekali! Yang dua lagi buahnya masih ada dan satu lagi alhamdulillah selamat, cuma perlu diperkemas surat khabarnya agar tidak dipulas angin lagi.

Saiz anggur tiada banyak perbezaannya sejak Mak Aji kali akhir Mak Aji tengok. Lambat benar membesar anggur ni!

Semasa Mak Aji di Jordan dan Palestin, Mak Aji perhatikan hampir setiap buah rumah ada para anggur (selain pokok zaitun, tentunya) sama ada di laman terutama di hadapan rumah. Kebanyakan pokok sudah agak togel daunnya sama ada sengaja dipangkas atau memang luruh sendiri sebab memang musim luruh pun (walaupun di sebahagian tempat salji turun juga). Ada pokok anggur yang daunnya hijau (buah hijaulah agaknya dan ada juga yang berdaun kemerah-merahan (buah merah atau hitamlah agaknya). 

Kalau melihatkan kadar perkembangan buah anggur ini makan bulan lagilah agaknya baru boleh matang. Buahnya masih kecil dan masih pejal lagi. Hai anggur, memanglah engkau menduga kesabaranku - sabarlah hati Mak Aji (teringat lagu Penantian Satu Siksa!).

Catatan: Kiranya anda sudi membaca tentang ziarah Mak Aji ke Baitul Maqdis, silalah berkunjung ke sini:
http://ummumadihah898.blogspot.com/ (promo sikit, jangan tak promo, he he!)




Wednesday, 4 December 2013

Buah Anggur - Update 4

As-salam.

Mak Aji sedikit sibuk sehari dua ini kerana ada tamu yang bertandang selama beberapa hari di rumah. Memang jarang sangat berkesempatan menjenguk laman - batas yang baru disediakan belum bertanam apa-apa lagi. Tidak apalah, nanti balik dari berpergian insya-Allah akan dikerjakan. Blog kawan-kawan pun tidak sempat dijenguk. 

Dalam kesibukan itu tidaklah Mak Aji sempat menjenguk anggur. Pak Aji ada menyebut burung entah apa ke namanya ada datang dekat dengan rumah - " Burung xxx tu ada datang kat rumah kita pulak!" Mak Aji teringat anggur dan terdetik di hati - "Apakah anggurku yang diintainya?" Mak Aji perlu balut cepat-cepat agar dapat disorokkan daripada mereka. Dek sibuk, lupa terus tentang hal itu.

Pagi ini Mak Aji berpeluang menjenguk dan ini yang dirakamkam:

Tangkai ini tinggal hanya 3 biji. Sebijinya pula sudah dipatuk/suntik!
Tangkai ini belum berbekas apa-apa. Maka cepatlah Mak Aji balut!
Tangkai yang paling banyak buahnya sudah rongak dikerjakan!  Ini sahaja yang tinggal!
Tangkai ini hanya tinggal separuh daripada sebiji (kamera ni disuruh fokus lain, lain pula yang difokusnya, haisy!)
Tangkai harapan yang sudah siap berbungkus.
Bungkus lagi!
Nampak gayanya berbahagi rezekilah Mak Aji dengan burung! (nasib baik tidak berbahagi suami, haru!) Harapan agar sempatlah merasa anggur ni matang sepenuhnya sehari dua ini. Kalau tidak menjadi rezeki anak-anak sahajalah kali ini!

Mak Aji dan Pak Aji akan berpergian ke Baitulmaqdis, Palestin   insya-Allah dari 9 - 18 Disember ini. Kawan-kawan tolong doakan keselamatan kami ya! (terasa gabra juga ya, menjejak ke sana). 




Tuesday, 19 November 2013

Buah Anggur - Update 3

As-salam.

Sekadar untuk rekod, berikut beberapa foto untuk mengesan perkembangan buah anggur di laman:

Buahnya yang paling besar, sudah sebesar hujung jari kelingking!




Wednesday, 13 November 2013

Buah Anggur - Update 2

As-salam.

Atas permintaan kawan blogger dan keinginan Mak Aji juga untuk berkongsi keseronokan pokok anggur yang berbuah, maka ini update kedua buah anggur!:




Pada awalnya ada sekitar sepuluh tangkai yang berbunga, akhirnya sehingga sekarang cuma sekitar lima tangkai sahaja yang berjaya menghasilkan buah. Setakat itu sahaja rezeki kali ini. Harapan agar kesemua lima tangkai akan matang dengan jayanya, insya-Allah!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...