About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Sunday 30 March 2014

Update Kacang Renek


As-salam.

Cukup teruja Mak Aji sehari dua ini apabila pokok kacang renek sudah membuahkan hasilnya!! Berjaya juga Mak Aji tanam kacang, yess!!! Bukan apa, Mak Aji seronok sangat sebab pertama kali tanam kacang dengan para teguh bagaikan bank Standard Chartered, (DI SINI) akhirnya pokok kacang (biasa punya) mati begitu sahaja. Akhirnya trellis/para dileraikan semula (boleh guna semula untuk projek lain pula). 

Mari kita ikuti perkembangan pokok kacang renek Mak Aji:

20 Februari - baru subur pokoknya setelah beberapa hari disemai benihnya.
Pada 6 Ma,c setelah siap dipasang sokong yang agak ngok-ngek (flimsy) jugalah. 
Senyum Mak Aji melihat bunga sulungnya pada 19 Mac.
Akhirnya, tadaa!!:

Tambah kapsyen


Tidak sabar rasanya hendak kuulam! Siap kauu!






Perihal Kemunting Lagi

As-salam.

Memandangkan ada rakan-rakan maya yang belum begitu arif tentang buah kemunting, mari Mak Aji kongsikan maklumat berikut yang diperoleh daripada carian Mak Aji:

FAKTA TENTANG KEMUNTING

Pengenalan
Pokok Kemunting nama saintifiknya Rhodomyrtus tomentosa (Ait.) Hassk. merupakan tumbuhan yang biasa tumbuh sebagai semak samun di Hawaii dan Malaysia. Namanya yang lain ialah karamunting, kelemunting, Dunduok (kadazan dusun), Gangrenzi (cina), Downy rose myrtle, downy myrtle, hill gooseberry, hill guava, Isenberg bush, myrte-groseille, rose myrtle.

Ia juga menjadi tumbuhan yang biasa menguasai kawasan lapang dan terbiar di Thailand. Ia merupakan tumbuhan renek yang boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter.

Batangnya yang muda mempunyai bulu-bulu pendek yang halus dan padat. Daunnya tersusun secara bertentangan, berbentuk ringkas dan berbentuk bujur. Permukaan daun berkilat dengan warna hijau gelap manakala bahagian bawah daunnya mempunyai bulu-bulu halus dan berwarna hijau pudar. Bunganya berwarna merah jambu atau ungu muda, dengan lima kelopak. Ia mempunyai banyak stamen dengan 5 filamen berwarna merah jambu dan saiznya berukuran (garis rentas) 2.5 cm. Satu atau lebih bunga tersusun pada tangkai bunga. Buahnya kecil (beri) dengan ukuran garis rentas lebih kurang 1.3 cm, berwarna ungu gelap dengan rasa buahnya seakan-akan buah jambu batu, manis-manis kelat dan berbau harum.

Habitat
Kemunting hidup subur di kawasan yang tanahnya mempunyai kelembapan yang tinggi terutamanya berhampiran dengan paya atau sungai. Namun ia juga boleh beradaptasi dengan pelbagai jenis tanah seperti tanah pasir dan tanah yang agak masin. Di Malaysia dan Thailand kemunting biasa di jumpai hidup di kawasan tanah pasir dan juga kawasan yang berpaya.

Ia makin pupus dan biasanya hidup dalam belukar dan sedikit berpaya. tanah berpasir berhampiran pantai adalah habitat yang sesuai. Ia juga boleh ditanam di dalam pasu; akan tetapi tumbesarannya lambat. Ada juga yang membuat ‘bonzai’.

Khasiat dan Kegunaannya.
pucuk muda dan putik muda adalah ubat sakit perut.
buah yang masak sangat sedap di makan begitu saja atau di makan dengan santan bagi membersihkan darah
akarnya untuk penawar keracunan, penyakit keputihan bagi wanita, muntah berdarah. Caranya rebus akar dengan air (lebih kurang 150 ml) dan diminum tiga kali sehari selama tiga hari.
Buahnya yang manis boleh digunakan untuk membuat pai dan juga jem
Di kawasan selatan Thailand buah kemunting yang masak ranum dan manis rasanya dimakan bersama santan yang dicampur dengan sedikit garam


Sumber:http://wannura.wordpress.com/2011/01/15/kemunting-rhodomyrtus-tomentosa-banyak-terdapat-di-pantai-timur-malaysia/

Mak Aji tunjukkan lagi foto buah kemunting dari laman Mak Aji sendiri ya:


Buah kemunting di pokok menunggu ranum.
Dua biji buah sulung.
Apabila dibelah, ini rupanya.
Siap dibelah, apa lagi, ngaplah! Alhamdulillah cukup manis!
Projek harapan: jem kemunting! Entah bilalah akan tercapai hasrat ini! Pokok kemunting Mak Aji baru sekadar kurang 2 kaki tingginya. Nanti kau, kuberi makan baja banyak-banyak agar besar dan berbuah lebat lagi!!




Taman Mini di Meja Kopi

As-salam.

Mak Aji dan Pak Aji baru beberapa hari pulang dari kampung untuk kenduri anak buah Pak Aji di Kuala Krai. Sebelum itu kami menyinggah untuk berehat semalaman di Cameron Highlands. Dek kerana perjalanan kami masih jauh dan kami akan balik semula ke KL dalam tempoh beberapa hari, maka tiadalah dapat Mak Aji membeli apa-apa pokok (takut mati), kecuali beberapa pokok sukulen berikut:

Taman miniku!
Mak Aji beli pokok-pokok ini dengan harga yang rasanya lebih murah daripada di nurseri Sungai Buloh. Yang di rak kiri harganya RM10 untuk 8 pasu (termasuk yang di tengah hadapan). Yang di rak kanan pula harganya RM10 untuk enam pokok. Yang paling hadapan tengah di rak kanan harganya RM4.50 sepasu sebab ketika itu pokoknya berbunga!

Harapan Mak Aji agar semuanya membesar bagai johan! Cuma satu perkara yang perlu diambil perhatian, taman mini ini kena jauh sedikit daripada jangkauan jari-jari halus mulus cucuku Aleesya - sudah diangkatnya satu pokok! Nasib baik yang tidak berduri tajam!  

Suka hati Mak Aji memandangnya setiap hari - menjaganya juga cukup mudah, Mak Aji sembur sahaja air sekali seminggu.



Tuesday 18 March 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Alhamdulillah dengan hujan yang turun membasahi bumi sehari dua ini langit cerah dengan hanya segelintir sahaja jerebu. Bolehlah kita menarik nafas lega! Tukang kebun pun bolehlah berehat daripada tugas menyiram pokok! Cukup sekadar memerhati betapa bersyukurnya tanaman dan haiwan juga sekitar laman juga atas curahan air anugerah Illahi!

Cuaca kering sejak sebulan dua ini sedikit sebanyak menjejaskan hasil tuaian. Buah mulberi kurang banyak buahnya dan saiznya juga kecil-kecil berbanding biasa. Stok mulberi di dalam peti ais cuma sedikit sahaja. Yang di pokok masih belum cukup masak untuk dibuat tambahan stok. Lama lagilah nampaknya boleh merasa sirap mulberi!  - rindulah nak minum sirap mulberi! 

Apapun berikut alhamdulillah hasil tuaian pagi ini, walaupun sedikit cuma!:

Dua biji buah kemunting, sedikit cili ungu, sedikit cili putih (yang masaknya oren) serta cili burung. Alhamdulillah!
Di sebelah petang pula Pak Aji memetik 4 biji betik berikut:




Alhamdulillah lengkaplah tuaian hari ini!


Sunday 16 March 2014

Pokok Mulberi Saiz XXL

As-salam.

Semasa kami mula-mula menduduki rumah kami sekarang sekitar dua tahun lalu, Mak Aji tidak tahupun akan kewujudan pokok mulberi di hujung laman. Apabila Mak Aji mula berkawan dengan kawan-kawan blogger tanaman, barulah Mak Aji sedar akan perkara itu. Ketika itu ketinggiannya sudah mencapai ketinggian bumbung rumah orang sebelah! (rumah setingkat)! 

Semasa kawasan hujung laman dibuang semak-samunnya beberapa minggu lalu, pokok tersebut dipangkas dahan-dahannya. Sekarang kelihatanlah pucuk-pucuk baru seiring dengan buahnya sekali:



Untuk Kukerabu

As-salam.

Semasa kecil dahulu kalau arwah mak Mak Aji mahu masak nasi kerabu Mak Aji selalu disuruh pergi mengutip pucuk serai kayu di belakang kawasan rumah kami, di kawasan kebun getah. Banyak pokok serai kayu yang tumbuh liar. Ada ketikanya Mak Aji bernasib baik apabila pokoknya berbuah - Mak Aji panggil buah ceri! 

Mak Aji dapat beli sepokok serai kayu di Nurseri Pak Ali bebarapa tahun lalu dan setelah beberapa kali dipangkas pagi tadi Mak Aji perasan banyaklah tumbuh pucuk-pucuk baru. Sehari dua ini bolehlah Mak Aji petik untuk dibuat ulam (yang dimayang halus) nasi kerabu!

Sedikit daunnya hangus dek panas api apabila pemilik tanah sebelah membakar
rumput kering.
Nasi kerabu hasil tangan arwah ibu terbayang di mata. Al-Fatihah untuk arwah mak dan ayah Mak Aji! Semoga mereka damai di sana, insya-Allah!







Batang Betik Sebesar Batang Kelapa

As-salam.

Pokok betik di hujung laman sedang lebat berbuah dan beberapa hiji sudah menunjukkan tanda-tanda akan masak sehari dua ini - syukur alhamdulillah sebab betiknya cukup manis sekali! Kawasan tempat kami tanam betik itu dahulunya menjadi tempat kami membakar rumpur dan daun-daun kering. Jadi tanahnya memang subur sekali. Lihatlah saiz batangnya berbanding batang kelapa tidak jauh daripadanya:

Cukup sebur pokoknya!
Insya-Allah rezeki kami nanti!




Buah Kemuntingku

As-salam.

Pokok kemunting yang satu-satunya itu memang galak berbunga dan berbuah, namun setakat ini belum ada yang sempat masak. Buahnya merekah dan gugur begitu sahaja.

Semalam apabila Mak Aji membelek-belek pokoknya, kelihatanlah buah yang hampir masak! Yesss! :

Tak sabar untuk dingap!!

Cantiknya kemuntingku!




Wednesday 12 March 2014

Bendi Bersaiz Mini

As-salam.

Mak Aji ingin kongsikan foto merikut yang menunjukkan bendi yang paling kecil pernah Mak Aji jumpa. Tidak mungkin bendi muda yang dipetik sebab rasanya seperti bendi yang sudah matang! Ada rupanya bendi bersaiz begini! Cuba lihatkan bendi ini apabila dibandingkan dengan sudu besar:

Kecil bukan!? 
Mak Aji terjumpa bendi ini semasa kami makan di sebuah restoran di Laut Mati, Jordan pada Disember tahun lepas (baru teringat akan bendi ini - entri tertunda). 

Anda pernah terjumpa bendi bersaiz ini??


Monday 10 March 2014

Angkara Leaf-cutter!

As-salam.

Mak Aji mahu kongsikan foto kesan angkara serangga atau ulat atau entah apa yang seolah-olah memotong daun begitu 'bersih' sekali. Lihatkan:

Bersih, kan potongannya tu! Lurus sahaja, macam pakai pembaris!
Lagi kesan/bahan bukti!
Entah macam manalah rupa perosak ini?! Ada sesiapa yang mengalami perkara yang sama? Mak Aji puas membelek daun itu tetapi tidak kelihatan tukang buat angakara ini. Nanti kau!!



Thursday 6 March 2014

Bunga Jeliti Meniti Ranting

As-salam.

Pokok jeliti/anting-anting puteri sedang galak berbunga walaupun dalam cuaca panas sehari dua ini.:

Cantik melebat bunganya.

Lidah Mertua Berbunga Lagi

As-salam.

Pokok lidah mertua Mak Aji memang jarang sekali berbunga. Setakat ini baru dua kali termasuk kali ini pokok ini berbunga. Lihatkan:

Bunga lidah mertua.



Wangi Kerak Nasi

As-salam.

Bunga kerak nasi atau kesidang cukup wangi baunya. Rupanya apabila diteliti juga cukup cantik, masya-Allah!:





Begitu sempurna sekali ciptaan-Mu, ya Allah! 

Mak Aji pernah menanam pokok kesidang ini di belakang dapur tidak lama dahulu - untuk menghibur hati yang (ketika itu) memang kurang suka memasak! Kerja memasak memang dibuat tetapi dengan tujuan memberi makan keluarga sahaja. Kalau saja-saja masak kerana suka memang tidaklah. Kehadiran bunga kesidang yang mewangi seolah-olah memujuk hati ini agar betah di dapur!

Sejak berpencen inilah Mak Aji mulai suka ke dapur, he he! Orang yang memang suka memasak tentu gelakkan Mak Aji ya!



Mahathirs in the Making

As-salam.

Pokok mangga Mahathir sudah berbuah sulung tempoh hari. Sekarang pokoknya berbunga lebat. Ada beberapa rantingnya sudah mengeluarkan buah-buah kecil seperti berikut:

Tangkai ini ada 7 biji - entah berapa biji yang bakal menjadi rezeki kami? Allahualam!



Tamu yang Melepak di Laman

As-salam.

Pagi tadi ketika berkeliling laman, Mak Aji perasan ada tamu yang berkunjung -  mengkarung  bergayut di spider plant dan katak yang cukup leper badannya elok  pula bertenggek di dalam pasu:

Apa tengok tengok, nak bergayut pun tak senang!
Kacau daun ajelah Mak Aji ni!
Tamu seperti ini dialu-alukan, jangan yang bukan-bukan sudah! Tanah jiran sebelah baru sahaja dibersihkan, maka legalah sedikit hati ini. Kalau tidak, Mak Aji rasa kerbau pendek pun ada di dalamnya!



Beribu-ribu Lemon!

As-salam.

Dua hari lepas Pak Aji sibuk mahu menyemai benih bayam merah. Semasa mengoyak paketnya, benih tertumpah ke pasu. Hasilnya, beribu-ribu lemonlah benih bayamnya!:

Seronok bila menengok betapa banyaknya anak benih bayam merah ni!
Makan bayam hari-harilah nanti ya, insya-Allah!



Up-date Kacang Panjang Renek

As-salam.

Pokok kacang panjang renek tempoh hari sudah semakin besar dan sekarang sekitar sekaki tingginya. Pancang sudah Mak Aji pasang (buluh yang dibuat penyepit ikan dan ayam percik - Mak Aji beli di Pasar Siti Khadijah bertahun yang lalu!). Harap-harap cukuplah sekadar ini pancangnya!:

Pancang yang agak 'bodoh' aje ni!
Ini pula memang kacang panjang yang perlu pancang yang 'cerdik' atau pancang yang betul-betul! 
Dengan cuaca panas sekarang Mak Aji berkira-kira untuk memindahkan kacang panjang ini ke tanah - takut mati! Pun kerana pancangnya belum dipasang lagi. Tengoklah sehari dua lagi macam mana.



Gerbang Penyambut Tamu

As-salam.

Arbor yang dibina setahun dua yang lepas cukup menggembirakan Mak Aji sebab setiap kali melalui di bawahnya terasa seolah-olah dialu-alukan sebagai tetamu laman! Pokok kesidang dan akar dani pula sedang galak berbunga. Wangi kedua-dua jenis bunga berbaur dan harum sekali! Memang terasa sentiasa diraikan!:

Sila masuk ke lamanku! Kusambut dengan wangi-wangian!
Dari sisi.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...