About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday 29 January 2014

Pagi yang Dingin dan Nyaman


As-salam.

Sekitar jam 8.30 Mak Aji keluar ke laman untuk menyiram pokok. Sebelum keluar rumah pun terasa cuaca cukup nyaman dengan suhu 24 darjah Selsius pada waktu itu. Terasa seperti berada di negara empat musim di kala musim luruh (tanpa angin sejuknyalah). Kalaulah hari-hari begini bukankah bagus ya! Menyiram pokok serta berkebun tanpa perlu berpanas! Ketika ini suhu sudah mendaki ke angka 29 darjah Selsius, masih agak tidak panas.

Dalam cuaca nyaman ini sempatlah Mak Aji berkebun dengan selesa tanpa banyak berpeluh sampai lencun basahnya. Banyak kerja tertangguh dek kesibukan mengurus cucu sepenuh masa. Ketika anak dara Mak Aji sedang bercuti beberapa hari ini sempatlah Mak Aji keluar ke laman. Layanlah beberapa foto sekitar laman pada pagi ini:

Nampak tidak bahagian yang terkeluar itu - masih belum sempat lagi Mak Aji menggunakannya
sebagai sebahagian ramuan salad!
Yang ini pula besar saiznya.
Penuh bunga tanpa daun!
Kemboja sedang kembang.
Akar dani kembang mewangi.

Seronok melihat kemboja Jepun berbunga selepas sekian lama.
Anthurium pun tengah galak berbunga.





Tuesday 28 January 2014

Apa Gerangan Nama Bunga Ini??

As-salam.

Lewat pagi tadi Mak Aji serta beberapa kawan hadir kelas pengajian di TTDI Jaya, Shah Alam. Elok sahaja keluar dari kereta terpandang oleh Mak Aji akan pokok bunga ini. Cantik bunganya yang putih bersih! Terlupalah pula untuk menciumnya untuk mengetahui sama ada wangi atau tidak! Cuba lihatkan:

Semacam melur pun ada, putih bersih warnanya. Apakah namamu wahai bunga yang cantik??

Perhatikan kudupnya serta bentuk daunnya. Belum dapat Mak Aji kenal pasti namanya.
Ini pula pokoknya - kurang terang sebab semak sedikit.
Ada sesiapa yang tahu nama bunga ini agar dapat kita sama-sama beroleh pencerahan??




Monday 27 January 2014

Buah Tunjuk Langit

As-salam.

Ketika Mak Aji dan anak dara Mak Aji menunggu bas di stesen bas Seksyen 17 Shah Alam untuk ke JB tempoh hari, Mak Aji terpandang pokok tunjuk langit di seberang jalan dari tempat Mak Aji duduk. Ini kali kedua Mak Aji terjumpa pokok ini di tempat yang tidak terduga. Lihatkan:

 Buah tunjuk langit.
Bas sudah sampai! Nampak tidak pokoknya yang tinggi itu di sebalik bas??
Boleh tahan banyak buahnya.
Pertama kali Mak Aji nampak pokok ini di Sri Damansara, di tepi jalan besar menghala ke Kepong. Agaknya tidak ramai yang perasan akan kehadirannya pun. Juga sebab tiada yang menyangka pokok ini ditanam di tepi jalan utama!

Mak Aji rasa ramai tahu akan khasiat buah tunjuk langit ini. Jadi tidaklah perlu disebut di sini. Boleh sahaja tanya Pak Cik Google ya! Kalau hendak jalan singkat, klik sahaja pautan berikut:




Kaduk Menghijau

As-salam.

Mak Aji agak kurang biasa menggunakan daun kaduk dalam masakan. Satu-satunya masakan yang Mak Aji menggunakannya - masak lemak kuning siput sedut. Mak Aji juga pernah makan (belum pernah buat sendiri) miang kham yang menggunakan daun kaduk seumpama daun sirih - diletak pelbagai bahan di atas daunnya lalu daun itu dilipat dan dimakan seperti biasanya kita makan sirih. 

Beberapa tahun lepas ketika balik kampung Mak Aji ada mengambil anak pokok (orang sebut pokok ke??)  kaduk dan sekarang bukan main merimbun subur lagi di laman:

Kaduk yang subur menghijau, cuma tuannya sahaja yang kurang tahu menggayakannya!
Sampai menyusur longkang kamu ya! 
Harap bolehlah Mak Aji dapatkan idea daripada rakan-rakan sekalian tentang daun kaduk ini - apa lagi masakan yang boleh menggunakannya?? Sayanglah pulak daun kaduk elok subur begitu sahaja tanpa dimanfaatkan!



Thursday 16 January 2014

Mangga Mahathir Rupanya!

As-salam.

Pokok mangga besar yang sedang berbuah (walau hanya tinggal sebiji!) sekarang ini menimbulkan tanda tanya di benak Mak Aji. Jenis apakah mangganya? Yang Mak Aji tahu jenisnya sama dengan kakak Mak Aji punya. Setelah membuat sedikit pencarian di Google, maka terjawablah akhirnya - Mangga Mahathir! 

Pada mulanya Mak Aji ingatkan mangga sala tetapi setelah membanding-bandingkan ciri fizikal buahnya serta rupa dedaunnya, maka insya-Allah Mahathirlah dia! Mari kita lihat sekali lagi mangga Mahathir Mak Aji:

Mahathir namamu ya!!
Insya-Allah tidak beberapa hari lagi matanglah dia - kendurilah kami sekeluarga nanti! Jika anda ingin membaca selanjutnya tentang mangga ini, sila baca DI SINI.




Buah Kemunting

As-salam.

Sejak berbunga tempoh hari, pokok kemunting semacam dilupakan. Apabila teringat Mak Aji terus keluar untuk memerhati setakat mana perkembangan buahnya. Lihatkan buahnya:

Buah kemuntingku! Agak lama juga lagi untuk masak tu.
Pokoknya tidak sebesar mana, sekitar 2 kaki tinggi sahaja!

Seronok Mak Aji melihatkan buah yang agak banyak berbanding saiznya yang masih kecil! Batangnya pun masih lembut, perlu dipacak kayu agar lurus tegaknya. 

Terima kasih Rose dari Semua menjadi yang membekalkan anak pokok ini kepada Mak Aji! Jika anda berminat dengan tanaman ini bolehlah hubungi Rose ya!




Saturday 11 January 2014

Cili Api Putih

As-salam.

Tidak lama dahulu semasa Pak Aji balik kampung dia ada membawa balik benih cili api putih. Alhamdulillah pokoknya sudah mula mengeluarkan cili putihnya yang kurus-kurus dan panjang. Setakat ini belum diuji sama ada pedas atau tidak. Mak Aji juga kurang pasti apa nama jenis cili api ini. Ada sesiapa yang tahu apa nama jenisnya??

Cili api putih.
Perlu diuji dengan budu, ada ngam atau tidak!




Alhamdulillah, Hadiah Tahun Baru!

As-salam.

Petang semalam Pak Aji memaklumkan bahawa pokok mangga di laman hadapan rumah berbuah! Mak Aji tidak percaya dan ingatkan dia melawak (macam biasa!) Mak Aji cakap - kalau tipu siap!! Alhamdulillah kali ini Pak Aji tidak melawak! Lihatkan:!

Buah mangga sulung pokok mangga besar ini!
Lihatlah saiznya berbanding kepala Pak Aji! - memang XXL saiznya!

Sebenarnya pokok mangga ini menjadi bahan kajian Mak Aji setelah mendapat petua agar pokok mangga berbuah daripada pak cik Mak Aji di SINI

Petua yang diberi apabila diamalkan alhamdulillah berjaya dan kalau anda rujuk pautan yang Mak Aji berikan di atas, anda boleh saksikan sendiri betapa banyaknya bunga yang terhasil. Malangnya ketika itu musim hujan, maka banyaklah buahnya gugur begitu sahaja - sedih tidak terkata! Mak Aji selepas itu tidak lagi ambil kisah akan pokok mangga tersebut sehinggalah petang semalam! Sebenarnya kami tidak perasan pun akan kehadiran buah tunggal itu sehinggalah kami mencantas pokok senduduk di hadapannya (yang menghalang pandangan dan sudah menjadi agak semak sedikit. Maka seperti suatu keajaiban pula apabila seperti entah dari mana muncul buah yang siap besar, cuma menunggu cukup matang sahaja!! 

Alhamdulillah untuk buah sulung ini dan Mak Aji harap akan bertambah lebat lagi buahnya pada masa hadapan, insya-Allah!



Monday 6 January 2014

Gadis Kecil dan Bunga

As-salam.

Kalau neneknya tukang kebun, cucunya juga harus menjadi tukang kebun cilik! Sebelum benar-benar menceburkan diri sebagai tukang kebun, cucu harus diperkenalkan dahulu dengan kebun! Ini pengalaman Aleesya, bakal tukang kebun cilik Mak Aji:

Cantiknya bunga akar dani Tokma!
Nak petiklah satu!
Ehh, geramnya!!
Hah, dah dapat pun sekuntum!

Sama warna dengan bajuku ya!
Sudah sudahlah Tokma, enough publicity!


Kembangmu Tidak Kusedari

As-salam.

Pada beberapa hari lepas semasa Mak Aji meninjau laman, Mak Aji perasan sesuatu di celah dedaun - apabila dibelek ini rupanya yang berselindung:

Tahu tahu sahaja sudah layu!
Sayang sekali!
Bunga bakawaliku kembang rupa-rupanya. Kalau sudah tiada rezeki Mak Aji untuk dinikmati keindahanmu, maka reda sahajalah hati ini. Yang sedikit terkilan itu, ditunggunya juga kepulangan Mak Aji untuk kembang tetapi tidak pula perasan tuannya! Rasa kasihan pun ada di hati - seperti tidak dipedulikan! (untuk bunga itu, bukan sangat untuk tuannya!) Pelik tidak begitu yang dirasa?? 


Lain Padang Lain Belalangnya

As-salam.

Salam tahun baru juga diucapkan terutama kepada pengikut baru Mak Aji! Mohon berbanyak maaf kerana sudah agak lama tidak 'ke udara' - bermacam kekangan - ada tamu datang berkunjung silih berganti, jadi melayan makan minum merekalah kerja Mak Aji selain tentunya melayan si kecil, cucu Mak Aji. 

Ini merupakan entri tertunda hasil 'tangkapan' semasa di Palestin dan Israel tempoh hari dan juga tidak terkecuali, Jordan. Sebenarnya Mak Aji mahu sahaja rakamkan banyak-banyak foto, cuma kekangan dari segi cuaca cukup menghambat - hujan dan juga selepas itu salji pula. Sekadar ini sahaja foto untuk perkongsiaan kali ini.

Berikut beberapa foto di luar sebuah restoran di Jordan:

Sejenis pokok succulent yang menarik!
Ini bunga atau daunnya ya?? Rupa berkelopak macam bunga.
Hujung kelopaknya merah, cantik, kan!
Rose hip.
Ini pokok rosnya yang ada hanya satu kuntum bunga dan selebihnya rose hipnya.

Berikut sedikit maklumat tentang rose hip yang Mak Aji kutip dan terjemah dari Wikipedia:

Rose hip, yang dikenali juga sebagai rose haw atau rose hep, merupakan buah daripada pokok ros, yang lazimnya warna bunganya oren hinggalah merah. Namun begitu ada juga yang warnanya dari ungu gelap hingga ke hitam (untuk spesis tertentu). Rose hip terbentuk selepas pendebungaan pada bunganya semasa musim bunga atau awal musim panas, dan akan masak pada hujung musim panas hinggalah musim luruh.  

Berikut pula foto yang dirakam di perkarangan Masjid al-Jazzar, di Akko, bandar yang besempadan dengan Lubnan:

Pokok limau menghiasi laman masjid!
Pokok kurma juga ditanam di laman.
Pokok tumpang yang menumpang dan mendominasi pokok kurma!
Pokok bunga raya merah pun ada! Lihatlah betapa besar batangnya!
Pokok zaitun di belakang Pak Aji entah berapa tahunlah usianya! Mak Aji diberitahu pokok ini boleh
menjangkau beribu-ribu tahun!
Bunga ros di atas kepala Mak Aji - subur pokoknya!
Foto-foto berikut dirakam di sekitar laman Masjid Mahmoudiyah di kota Jaffa, sebuah kota lama bersebelahan kota Tel Aviv:

Mak Aji rasa kita pun ada pokok bunga ini kalau di Cameron Highlands atau Bukit Fraser. Cantik pinknya!
Bunga ros oren tersekit di celah dedaun! Wangi baunya!
Ini pula yang versi  fuschia!
Dari jauh tak nampak cantiknya tetapi, ....
Dari dekat, cantik!
Pokok sukulen berikut Mak Aji rakam ketika berziarah di sebuah bukit di Jordan, tempat yang Nabi Musa dikatakan sesat selama 40 tahun di dalam kebun zaitun!:

Pokok ini ditanam di luar pagar kawasan.
Ini bunganya dari dekat.
Walaupun tajuk entri menyatakan lain belalangnya, namun ada juga yang 'belalang'nya sama dan hampir sama! Namanya pun belalang ya, he he!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...