About Me

My Photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Friday, 24 May 2013

Misi Mencari Bunga Raya

As-salam.

Beberapa hari lepas kami ke nurseri Sungai Buloh dalam misi untuk mencari pokok bunga raya ungu dan kuning. Kami menuju ke nurseri paling hujung sebelah kanan sebelum kuil - kedua-dua warna ada cuma semua pokok bunga raya baru sahaja disembur racun, masih basah daunnya (serangan ulat - ada kesan-kesan daun mula mengeriting). Harga sepokok juga agak berpatutan berbanding di tempat lain.

Pilihan pokok bunga raya agak tidak banyak. Malaslah pula kami ke jalan menghala ke Subang Airport (dari Sungai Buloh) - pun agaknya harganya lebih mahal, wallahualam!

Yang bagusnya kami terjumpa pasu bunga yang harganya agak murah berbanding yang dibeli/ditinjau sebelum ini. Kami biasa membeli pokok di sini dan agak kenal dengan pakcik Indon yang berjual di situ. Selain itu Mak Aji membawa balik empat pokok bunga marigold (bunga tahi ayamlah), dua yang kuning dan dua yang oren untuk dikawankan dengan pokok tomato yang akan ditanam nanti (sistem buddy). Pokok roselle juga dibeli lagi sebab yang ditanam dahulu mati (mungkin gara-gara Pak Aji yang membakar sampah hingga terkena tempias api).

Sepokok hiasan gantung juga dibeli - mengeluarkan bunga seperti tiub berwarna merah. Entah apalah namanya ya?? Ini rupanya:

Versi berdaun besar warna bunganya merah darah ikan mengarah ke ungu.
Kelopak bunganya juga lebih besar tetapi jumlah bunganya kurang.
Mak Aji beli pokok yang berbunga begini.

Yang dibeli  berdaun kecil tetapi belum mengeluarkan bunga lagi.
Setelah pulang dari nurseri dan terbayang-bayangkan bunga raya ungu, terjumpa pula bunga raya ungu berikut dari imej Google - memang cantik, kan!
Terjumpa lagi foto bunga raya ungu! Cantik bukan!
Sumber foto: esciencenews.com

Bunga raya ungu, masih kutunggu kamu!!




Layan Bunga Raya Lagi

As-salam.

Selain kaktus Mak Aji juga mencari lagi bunga raya ungu - pun tiada stok dijual di tempat biasa. Ada tempat lain yang menjualnya RM20 sepolibeg - mahal sangatlah pulak! Tidak apa-apa, nantilah kalau ada rezeki lain kalilah. Mak Aji cuma dapat beberapa warna seperti merah jambu, merah terang (bunga kebangsaan - takkan tidak beli versi ini pula ya, nanti tidak patriotik pula!), yang berkelopak kecil warna merah jambu, warna pic. 

Lima pokok bunga raya yang dibawa balik semalam. Ada yang RM6 dan yang besar, RM8.

Tugas seterusnya mendapatkan tempat sama ada di tanah atau di pasu sahaja.


Koleksi Kaktus

As-salam.

Mak Aji tidak punya banyak kaktus dalam koleksi, cuma ada empat lima jenis sahaja. Walau bagaimanapun kaktus memang Mak Aji suka juga. Sebelum ini Mak Aji ada membuat entri koleksi kaktus pelbagai bentuk, corak serta warna yang dijual di nurseri Sungai Buloh. Memang cantik-cantik belaka, harganya juga agak cantik juga! Berikut kaktus yang sedia ada di rumah:

Tiga jenis di pasu ini.
Yang paling tinggi itu ada tujuh kudupnya (pagi ini).
Menjelang tengah hari kembang kesemua tujuh kelopak!
Sejenis lagi yang begitu lambat membesar - sudah bertahun usianya!
Yang ini paling mudah dijaga.
Pun akan mengeluarkan bunga tidak lama lagi.

Semalam Mak Aji ke nurseri Sungai Buloh bersendirian, jadi banyaklah masa dapat diluangkan (tanpa apa-apa gangguan) dengan membelek-belek kaktus. Ini tambahan beberapa pokok lagi untuk menambah koleksi. Oh ya, sebelum Mak Aji lupa, pekerja nurseri memaklumkan bahawa kaktus hanya perlu disembur air (bukan siram tau!) sekali dalam dua minggu sahaja (peringatan untuk diri sendiri yang selalu siram setiap hari!).

Lapan anak kaktus yang baru dibeli semalam. Ada yang 3 pokok RM10 dan ada yang RM5 setiap satu.

Cuba lihat pula foto kaktus yang sudah siap ditanam di pasu cantik dengan dihiasi batu kecil berwarna-warni - kalaulah anda sanggup membayar harganya yang jauh lebih mahal!!

Tambah kapsyen
RM10 untuk 3 pokok, boleh dicampur-campur jenisnya asalkan harganya sama.
Harganya juga 3 pokok RM10.

Projek seterusnya memasu kaktus ke dalam pasu biru terang yang dibeli semalam! Selamat bercuti dan berhari minggu semua!




Update Bunga Telang

As-salam.

Pokok bunga telang tempoh hari sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk memanjat. Jadi Mak Aji pacak plastik pintu bilik air (pintu longsor plastik) untuk dijadikan tempat berpaut.

Dah nak mula memanjat.



Tuesday, 21 May 2013

Tanamnya di Luar, Tuainya dari Dalam!

As-salam.

Dalam perjalanan balik dari nurseri Sungai Buloh, kami menyinggah di kedai runcit. Kali terakhir menyinggah di situ Mak Aji perasan akan buah peria yang tumbuh di suatu sudut jeriji besi di kedai tersebut - seolah-olah secara tidak semena-mena peria tumbuh entah dari mana! (Tidak pula Mak Aji menjenguk di dinding kedai di belakangnya). Begini rupa-rupanya dia:

Peria bergantungan dari dalam kedai!
Di belakang dinding kedai -  pokok peria!
Pokok peria yang cuba 'menakluk' kedai runcit!
Bagus juga ya sekiranya pokok menjalar kita di tanam di luar rumah tetapi boleh dipetik dari dalam rumah - tidak perlu keluar pun!!


Saturday, 18 May 2013

Cukup Ceria Si Bunga Raya

As-salam.

Berikut pula bunga raya kuning yang rupa-rupanya bukan Mak Aji seorang sahaja yang berkenan, ada ramai yang suka dan meminta keratan batangnya! Pak Aji kata - "kalau nak mudah beli saja kat nurseri, cepat besar, cepat keluar bunga!" Mak Aji ok sahaja asalkan ada yang mahu melayan Mak Aji ke sana (sudah muak memandu sendiri - sudah 38 tahun duduk di belakang stereng!) Sekarang nahu jadi mem sahaja.

Setiap kali lalu di jalan belakang pokok ini setiap kali itulah menoleh untuk melihat bunga ini!
Selain bunga raya ungu dalam entri lepas dan bunga kuning ini, ada lagi bunga raya lain yang terdapat di lamannya, seperti berikut:

Bunga merah dua lapis kelopak!
Menarik, bukan!!
Si merah jambu cukup manis sekali!

Bunga Raya Ungu??

As-salam.

Pada petang ini Mak Aji ada jemputan ke majlis bacaan Surah Yasin di rumah salah seorang jiran. Mak Aji sebenarnya memang menunggu-nunggu untuk ke rumahnya kerana setiap kali Mak Aji lalu di sisi rumahnya kelihatan bunga raya berwarna kuning yang cukup cantik - apa lagi kalau bukan untuk mengecek keratan batangnya! Sebelum majlis bermula sempat Mak Aji menjeling-jeling bunga raya kuning itu! 

Rupa-rupanya jemputan yang duduk di sebelah Mak Aji juga peminat pokok bunga raya. Dia pula menunjukkan bunga raya ungu di pasu di hadapan rumah jiran itu. Mak Aji terlalu asyik dengan yang kuning hinggakan tidak perasan akan yang ungu itu! Mahu lihat? Ini dia!:

Tidak puas rasanya melihat yang ungu ini!!
Kata tuannya pokok ini agak manja sedikit, mudah mati kalau tidak kena gaya!
Berbunga-bunga pula hati ini untuk ke nurseri mencari bunga raya!!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...