About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Thursday 26 December 2013

Buah Anggur - Update 5

As-salam.

Sekembali Mak Aji dari berpergian, antara yang pertama yang dijenguk di laman, anggurlah. Daripada empat tangkai yang dibalut surat khabar, tinggal satu sahaja yang kekal berbalut! Satu tangkai selamat putus dari tangkainya dengan kertas pembalutnya sekali! Yang dua lagi buahnya masih ada dan satu lagi alhamdulillah selamat, cuma perlu diperkemas surat khabarnya agar tidak dipulas angin lagi.

Saiz anggur tiada banyak perbezaannya sejak Mak Aji kali akhir Mak Aji tengok. Lambat benar membesar anggur ni!

Semasa Mak Aji di Jordan dan Palestin, Mak Aji perhatikan hampir setiap buah rumah ada para anggur (selain pokok zaitun, tentunya) sama ada di laman terutama di hadapan rumah. Kebanyakan pokok sudah agak togel daunnya sama ada sengaja dipangkas atau memang luruh sendiri sebab memang musim luruh pun (walaupun di sebahagian tempat salji turun juga). Ada pokok anggur yang daunnya hijau (buah hijaulah agaknya dan ada juga yang berdaun kemerah-merahan (buah merah atau hitamlah agaknya). 

Kalau melihatkan kadar perkembangan buah anggur ini makan bulan lagilah agaknya baru boleh matang. Buahnya masih kecil dan masih pejal lagi. Hai anggur, memanglah engkau menduga kesabaranku - sabarlah hati Mak Aji (teringat lagu Penantian Satu Siksa!).

Catatan: Kiranya anda sudi membaca tentang ziarah Mak Aji ke Baitul Maqdis, silalah berkunjung ke sini:
http://ummumadihah898.blogspot.com/ (promo sikit, jangan tak promo, he he!)




Burung Mmalah (Pemalas)

As-salam.

Petang semalam Mak Aji perasan akan seekor burung yang elok sahaja diam bertenggek di pelepah pokok kelapa. Agak besar jugalah saiz burungnya, belum pernah Mak Aji lihat sebelum ini. Mak Aji panggil Pak Aji dan setelah dia melihatnya, katanya, "Burung mmalah tu!" Kata Pak Aji lagi, burung itu dikatakan pem,alas sebab burung jenis ini malas membuat sarang di dahan pokok seperti lazim dibuat burung lain. Sebaliknya, sarang dibuat sekadar di tanah sahaja! Kalau ada burung malas tentu ada burung rajin ya? Siapa yang pandai cuba teka apa burung yang rajin pula, he he!

Pemalas rupa-rupanya kau ya!



Sepeninggalanku, ...

As-salam.

Sepanjang ketiadaan Mak Aji dan Pak Aji selama lebih kurang 10 hari (seperti juga tukang kebun lain) hati gundah mengingatkan pokok di laman, jangan ada yang lupa siram, alamat kekeringanlah mereka! 

Sepeninggalan tersebut pokok kari dan pokok betik mati - entah apalah sebabnya - kata anak, "hari-hari disiram kecuali hujan!" - sudah sampai ajalnyalah tu agaknya. Pokok Disemberku juga kelihatan selamba sahaja - wei, dah habis Disemberlah Yang ooi, mana bunganya?? Memanglah kamu ni kena ditukar namamu!

Walaupun begitu, bunga-bunggan lain membuat Mak Aji senyum jugalah, alhamdulillah:

Walau pokoknya habis botak dikerjakan entah apa, namun kembangmu nan sekuntum mengubat hati nan gundah!
Indah nian si bunga kucai! (TQ Awin!)
Bunga melur
Mexican petunia - indah ungumu walau kembangnya seketika cuma.

Lili pertama kali berbunga selain semasa dibeli dahulu.
Mulber - dan lagi dan lagi buahmnya!
Yang di pasu pun sudah mula berbuah.
Hasil dua kali tuaian - tuaian pertama sempat kena salji dalam freezer!
Kembang kemboja cukup ceria sekali!



Saturday 7 December 2013

Yang Ceria di Musim Hujan

As-salam.

Musim hujan membawa bencana banjir ke beberapa buah negeri dan kami di sekitar KL juga menerima tempias musim hujan juga. Apa halnya dengan rakan kita Nadia Rashid di Kemaman - dengar khabar Kemaman sudah menjadi pulau?! Harap-harap Nadia tidaklah terjejas dek banjir ya! 

Apa yang pasti rumput cukup suka mesim hujan ini. Baru sangat lagi rumput dimesin, sudah panjang balik! Selain rumput ini tumbuhan/pokok lain yang meriah dalam musim hujan ini:

Bunga raya terbalik.
Bunga ixora.
Bunga kesidang mengharum laman.
Pokok mulberi cukup meriah dengan pucuk baru dan tentunya buahnya sekali.
Berbulu-bulu buahnya, meriah sekali!
Semoga banjir di negeri-negeri Pantai Timur dan Johor akan cepat reda dan penduduk yang dipindahkan boleh kembali ke rumah untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Harapan agar kerugian yang ditanggung tidak terlalu berat dan ramailah pula pihak yang membantu meringankan beban mereka. 


Aneka Puding

As-salam.

Apabila membaca entri seorang blogger yang bercerita tentang jenis pokok puding yang boleh dimakan, Mak Aji teringat pokok puding di rumah. Pokok puding yang ada di laman kesemuanya diambil benihnya daripada rumah adik ipar Mak Aji di kampung. Dia juga gemar bertanam dan lamannya cukup meriah dengan pelbagai puding.

Berikut koleksi puding di laman:










Mak Aji kurang pasti jenis mana yang sesuai dimakan. Katanya untuk dimayang halus dibubuh dalam rendang. Mar tentu tahu hal ini! Cuba cerita sikit Mar! Yang mana satu boleh Mak Aji rendangkan? 




Wednesday 4 December 2013

Wahai Disemberku, Mana Bunganya??

As-salam.

Kalau mengikut kata tuan asal pokok ini bulan Disember akan keluarlah bunganya. Itulah yang Mak Aji nanti-nantikan sebab Disember sudah menjelang! Apapun lihatlah pokoknya, tiadalah lagi kelihatan apa-apa tanda yang akan berbunga dia:

Pokok Disember.
Pokok Disember kelihatan sama sahaja seperti biasa, cuma dek kerana musim hujan, kut, daun-daunnya sedikit terkepak berbanding biasa. Adakah itu tanda yang akan berbunganya dia?? 

Apapun, Disember baru menjelang. Mungkinkah di pertengahan atau akhir Disember akan datang kembangnya?? Wallahualam! Hara-harap begitulah. 

Catatan: Pokok dukung anak tumbuh sendiri di pangkal pokok Disember.



Buah Anggur - Update 4

As-salam.

Mak Aji sedikit sibuk sehari dua ini kerana ada tamu yang bertandang selama beberapa hari di rumah. Memang jarang sangat berkesempatan menjenguk laman - batas yang baru disediakan belum bertanam apa-apa lagi. Tidak apalah, nanti balik dari berpergian insya-Allah akan dikerjakan. Blog kawan-kawan pun tidak sempat dijenguk. 

Dalam kesibukan itu tidaklah Mak Aji sempat menjenguk anggur. Pak Aji ada menyebut burung entah apa ke namanya ada datang dekat dengan rumah - " Burung xxx tu ada datang kat rumah kita pulak!" Mak Aji teringat anggur dan terdetik di hati - "Apakah anggurku yang diintainya?" Mak Aji perlu balut cepat-cepat agar dapat disorokkan daripada mereka. Dek sibuk, lupa terus tentang hal itu.

Pagi ini Mak Aji berpeluang menjenguk dan ini yang dirakamkam:

Tangkai ini tinggal hanya 3 biji. Sebijinya pula sudah dipatuk/suntik!
Tangkai ini belum berbekas apa-apa. Maka cepatlah Mak Aji balut!
Tangkai yang paling banyak buahnya sudah rongak dikerjakan!  Ini sahaja yang tinggal!
Tangkai ini hanya tinggal separuh daripada sebiji (kamera ni disuruh fokus lain, lain pula yang difokusnya, haisy!)
Tangkai harapan yang sudah siap berbungkus.
Bungkus lagi!
Nampak gayanya berbahagi rezekilah Mak Aji dengan burung! (nasib baik tidak berbahagi suami, haru!) Harapan agar sempatlah merasa anggur ni matang sepenuhnya sehari dua ini. Kalau tidak menjadi rezeki anak-anak sahajalah kali ini!

Mak Aji dan Pak Aji akan berpergian ke Baitulmaqdis, Palestin   insya-Allah dari 9 - 18 Disember ini. Kawan-kawan tolong doakan keselamatan kami ya! (terasa gabra juga ya, menjejak ke sana). 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...