About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Thursday 24 July 2014

Pokok Tempat Jin Melepak

As-salam.

Mak Aji pernah melihat satu video yang kawan-kawan FB kongsikan tentang dua jenis pokok yang menjadi tempat melepak para jin! Anda mahu tahu apa pokoknya? Lihatkan foto di bawah:

Pokok kelapa gading di belakang rumah jiran Mak Aji.
Pokok ciku dengan buahnya sekali.
Sumber foto: growingandbeing.blogspot.com
Itu dia, pokok kelapa gading (yang buahnya kuning) dan pokok ciku! Anda ada menanamnya di laman rumah, terutama berhampiran dengan rumah? Mak Aji adalah tanam kelapa tetapi belumlah berbuah, jadi belum tahu sama ada buahnya kuning atau tidak. Harap-harap janganlah kuning! Pokok ciku memang tiada di laman. 

Tambah ustaz itu lagi, kalau mahu menanam kedua-dua jenis pokok ini, pastikan bukan berhampiran rumah, biarlah agak jauh sedikit daripada rumah. Agaknya sebab takut jin yang bertenggek di situ mudah sahaja masuk ke rumah sebab dekat, bukan??! Haisyy!!




Dayang Senandung Apa??

As-salam.

Tidak lama dahulu  Pak Aji ke Yaman dan dia bawa balik buah asam limau nipis dari sana. Buahnya kelihatan seperti calamansi tetapi saiznya lebih besar. Bila dipotong buahnya seperti asam limau nipis kita cuma kulitnya senipis calamansi.

Biji benihnya kami tanam dan pokoknya ditanam di pasu tetapi pasunya di tanah - rasanya akarnya sudah keluar dari pasu pun. Pokoknya juga agak subur tetapi Mak Aji perhatikan daun-daunnya ada kesan hitam seperti jelaga. Sekali pandang teringat cerita Dayang Senandung! Penyakit Dayang Senandungkah ini??

Nampak tidak kesan-kesan hitam pada daunnya?
Dari dekat - ada selaput hitam ini yang tertanggal apabila dipancut air apabila disiram pokoknya.

Ini satu lagi pokoknya - ditanam terus di tanah - kurang suburlah pulak.

Oh ya, kalau anda perhatikan, kadang-kadang buah limau yang kita beli pun ada kalanya kulitnya pun ada kesan hitam ini, kan! Entah apa nama penyakit ini. Entah-entah sebab itu yang pokok limau ini tidak mahu berbuah?? Allahualam!




Friday 18 July 2014

Pujaan Hatiku!

As-salam.

Mak Aji memang cukup suka dengan fireball lily - kembangnya masya-Allah cantik sekali. Pagi ini Mak Aji melihat betapa indahnya bunga ini yang kembang sepenuhnya. Inilah pujaan hatiku!:

Cantiknya fireball lily!
Bunga dan pokoknya.
Satu lagi pokok sudah beranak! Akan lebih banyaklah
kembangnya nanti, insya-Allah!!


Jom Bersantai di Rumah Mak Aji

As-salam.

Seperti biasa, pagi-pagi sebelum matahari mula menghangatkan suasana, Mak Aji menyiram pokok serta mengemas laman setakat yang mampu. Setelah siap, Mak Aji rehat seketika dengan hati puas. Mari Mak Aji tunjuk apa yang Mak Aji kemas di hadapan pintu rumah Mak Aji yang Mak Aji anggap sebagai home sweet home yang tidak seberapa ini: 

Selamat datang ke rumah Mak Aji! Maaf ya, tiada 'Selamat Datang', yang ada 'Welcome' sahaja.
Hijau dedaun yang menyejukkan dan mendamaikan!
Home sweet home!
Kalau selain bulan puasa, seronok minum pagi di sini sambil menikmati suasana pagi yang damai!
Jom bersantai bersama Mak Aji!

Thursday 17 July 2014

Cubaan Menanam Cendawan

As-salam.

Petang semalam menantu Mak Aji membawa pulang tiga bongkah cendawan - kurang pastilah pulak cendawan tiram atau cendawan mutiara. Mak Aji pun kurang pasti yang mana satu yang tiram dan yang mana satu yang mutiara!? Apapun ini dia set percubaan yang dibeli daripada rakan FB yang juga bekerja sepejabat dengan menantu Mak Aji:

Ada 3 bongkah.
Hujung bongkah berlubang untuk menjadi tempat cendawan yang bakal keluar nanti,
Mak Aji sudah pun meletaknya di dalam kabinet, di bawah singki - sejuk dan lembab tempatnya, sesuailah untuk pertumbuhan cendawan! Kita saksikan nanti hasilnya ya, insya-Allah!






Bunga-bungaan Penghibur Hati

As-salam.

Dalam ketiadaan Pak Aji (yang berpuasa dan beraya dengan anak bongsu di Yaman) ini sunyilah pula rumah ini walaupun ada si kecil Mikhail yang mampu menceriakan suasana dengan gelak tawa serta tangisnya. Apapun Mak Aji ada bunga-bungaan untuk menghibur hati!:

Bunga kemunting!
Bunga kemboja kuning.
Bunga akar dani.
Bunga kertas.
Bunga melati.
Pokok bunga telang.
Bunga fireball lily.
Bunga ati-ati,
Bunga anthurium.
Bunga hempedu bumi.
Bunga gincu.
Bunga kucai.
Bunga telang.
Kudup bunga raya kuning.
Bunga raya kuning.
Bunga muraya/kemuning.





Tuaian Hari Ini

As-salam.

Tuaian pada hari ini adalah sedikit, jangan tidak. Terung bulat nampak gaya sudah matang sebiji, buah kemunting nampak masak dua biji dan seperti biasa buah mulberi juga menghadiahkan buahnya. Ini dia yang dituai:

Buah mulberi, buah kemunting dan terung bulat.
Buah kemunting sebelum dipetik.
Setelah dipetik.

Apapun alhamdulillah atas rezeki yang diberikan!


Wednesday 16 July 2014

Dari Laman ke Meja Hidangan

As-salam.

Ini merupakan entri tertunda sejak beberapa hari. Hidangan ini Mak Aji sediakan untuk berbuka puasa beberapa hari lalu:

Cili api dan daun kesum segar dari laman untuk dibuat sambal dan gulai darat.
Gulai darat daging dengan kentang.



Sambal bajak (sambal Jawa) yang dihasilkan oleh Jawa celup kat rumah ni - Madihah!


Silalah terliur sebab memang sedap kombinasi lauk ini yang digandingkan dengan ikan goreng dan tentunya nasi panas-panas!



Pleasant Surprise

As-salam.

Sambil melayan diri di laman pada pagi ini Mak Aji terpandang pokok fireball lily yang pernah kembang beberapa minggu lalu dalam proses mengeluarkan sekuntum lagi bunganya! Mak Aji perasan setelah kembang pertama layu, muncul satu sulur baru di sebelahnya. Elok sahaja keluar daunnya. Kata orang kalau keluar daun maka tiadalah bunganya dan kalau mahu keluar bunga, keluar sahaja bunganya tanpa daunnya! Sekarang daunnya keluar, selepas itu keluar pula bunganya?? Rupanya kata orang itu tidak benarlah ya! Apapun Mak Aji tiadalah mengisah, asal keluar bunga, sukalah hati ini!!

Sukanya hati tidak terkata! Yang di sebelah itu yang pernah kembang - ada biji pula!
Macam cantik je, macam comey je, walaupun belum kembang lagi, he he!!

A pleasant surprise like this really makes my day! Bisa senyum sepanjang hari!


Berjaya Menyahut Cabaran Memanjat!

As-salam.

Mak Aji cukup seronok apabila melihat pokok alamanda yang Mak Aji ajar memanjat tiang tempoh hari sudah berjaya memanjat sebahagian tiang dan sudah agak selesa di situ dan mengeluarkan beberapa kuntum bunga!:





Mak Aji bantu pokok ini memanjat dengan mengikat sebahagian sulurnya agar membelit dan menaik. Alhamdulillah kelihatan pokok ini 'gembira' dengan mengeluarkan bunganya. Pokoknya pula elok segar sahaja dalam cuaca panas sekarang!



Friday 11 July 2014

Kembang Pagi

As-salam.

Pagi ini cuaca mendung, sedang elok sangatlah untuk Mak Aji turun ke 'ladang' tanpa berpanas. Menjelang jam 9 alhamdulillah semua kerja-kerja menyiram siap! Kuranglah sedikit peluh yang memercik. Tenaga perlu disimpan untuk menyediakan juadah berbuka pula! 

Pokok lily/bakung nan sepokok yang ditanam di laman sudah beberapa kali berbunga tetapi dengan cuaca yang panas ini pokoknya agak kurang subur. Namun begitu gembiralah hari ini apabila pagi ini bunganya kembang segugus!:

Comel, kan! Teringat pula pokok yang lebih kurang sama yang Diana dari blog KBB tunjukkan tempoh hari.
Mari Mak Aji tunjukkan benih pokok ini yang sudah bertunas setelah dibiarkan di pangjkal pokok ini:

Hah, selonggok kau!
Nanti Mak Aji kongsikan dengan Diana ya! Lama betul tidak bersua muka, rindu pun mula bertandang (aiseh man!).

Selain lily ni, ada pula pokok pemberian kawan lain yang menunjukkan kembangnya. Entah apa bunga ya, cosmos ke apa?? Ini bunganya:

Cantik pulak dia, kuning dengan belak-belak merah!
Ini pokoknya.




Thursday 10 July 2014

Pokok Pun Puasa!

As-salam.

Hasil tuaian mulberi yang lepas, iaitu sebelum puasa cukup membenggakan. Walau bagaimanapun, tuaian berikutnya yang seiring dengan bulan puasa agak sedikit mengecewakan - pokok mulberiku puasa juga agaknya! Buahnya agak kecil, kurus keding sahaja. Jumlahnya juga agak sedikit untuk sekali tuaian:

Hasil yang agak sedikit, saiznya juga kecil-kecil. 

Melihatkan hasil yang begini jenuhlah menunggu cukup stok untuk dibuat jus - alamat tiadalah rezeki untuk dinikmati pada bulan puasa ini! Semoga selepas puasa nanti cuaca pun akan semakin mesra pokok dan insya-Allah buah akan bertambah banyak dan bertambah besar saiznya!





Awas Sang Harimau!

As-salam.

Pagi tadi Mak Aji keluar atas banyak urusan, yang antara lainnya menambah stok tanah serta membeli baja yang kehabisan, selain membeli barang dapur untuk keperluan rumah - biasanya Pak Aji yang membuatnya - dalam ketiadaannya terpaksa Mak Aji mengambil alih.

Seperti biasa sambil melintasi deretan nurseri di kawasan Hospital Sungai Buloh, Mak Aji menjamu mata dengan pelbagai pokok hiasan beraneka jenis dan warna (this is heaven!!). Tiba-tiba kelihatan serumpun pokok tiger orchid sedang galak berbunga!! Masya-Allah sungguh cantik sekali! Apapun Mak Aji melintas dahulu sambil menjeling kepadanya - akan kusinggah untuk sesi foto nanti! Baja dan tanah dahulu yang perlu dibeli. Selesai membeli apa yang patut, Mak Aji perasan serumpun lagi pokok tiger orchid juga, pun sedang berbunga lebat!! Sang harimau mengaum di nurseri Sungai Buloh pada hari ini ya! Kalah segala tumbuhan lain dek ngaumannya! Mari kita saksikan keindahannya!:


Sesuai sangatlah namamu! Memang macam rimau!
Sudahlah cantik, besar pula tu, hampir tiga suku saiz telapak tangan Mak Aji!
Ini rumpun pertama yang Mak Aji lihat - di tengah-tengah panas warna bunganya sedikit pucat berbanding rumpun kedua yang di tempat redup!
Bertangkai-tangkai bunganya yang bersaiz besar!!
Cer teka, cer teka berapa harga anak pokoknya!!! - RM120 sepokok ma!! 
Ini bunga daripada rumpun kedua.
Bunganya tak sebanyak rumpun pertama.

Mak Aji minta izin untuk memfoto rumpun yang kedua tetapi rumpun pertama Mak Aji main snap aje! Mak Aji cuba memohon nasihat pemilik nurseri rumpun kedua yang menjual anak pokoknya ini. Nasihatnya - "kalau mahu pokok ini berbunga, letak sahaja di tengah-tengah panas, jangan pedulikan dia, buat derk sahaja, biar dia tak sihat, maka berbungalah dia. Jangan biarkan daunnya melebat, biar dia sakit sikit!!"

Begitukah halnya?? Maka itulah yang akan Mak Aji buat dengan rumpun pokok Mak Aji - mungkin juga kena bongkar balik pokok itu dan letak sahaja di tengah panas-panas buta - tempat sekarang agak redup sedikit - mendapat separa cahaya matahari. Hari ini Mak Aji dapat nasihat yang cukup berharga - untuk mereka yang ada pokok ini yang enggan berbunga, mari kita amalkan!!

Oh ya, berikut pokok tiger orchid Mak Aji yang belum mengaum-ngaum lagi setakat ini. Harap dengan bantuan petua serta galakan daripada baja yang baru dibeli ini, mahulah dia mengaum di laman Mak Aji pula ya, insya-Allah!!:

Mak Aji nak mula buat derk kat pokok ni! (kecuali boh bajalah, siram takdelah).
Bantu Mak Aji ya baja!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...