About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Thursday 31 January 2013

Taman dalam Rumah

As-salam.

Mak Aji ingin berkongsi beberapa foto taman dalam rumah yang diambil di rumah kawan Mak Aji di Subang Bestari. Reka bentuk rumahnya (teres dua tingkat lot tengah) agak istimewa dan jarang ditemui (pernah sekali dahulu jumpa di Bandar Tasik Puteri, Rawang) kerana di sebelah ruang tamunya terdapat ruang untuk taman dalam rumah (indoor garden). Pernah Mak Aji baca suatu masa dahulu yang reka bentuk jenis ini popular di Australia, entah betul entah tidak, wallahualam??

Berikut beberapa foto yang dirakam di rumahnya:

Water feature dengan air yang sentiasa mengalir perlahan - cukup mendamaikan!
Pokok gantungan yang cukup banyak anaknya!
Lihat meja daripada kayu lama, cukup rustic sifatnya!
Kayu ukir juga dijadikan hiasan di ruang ini.
Pokok keladi hiasan.

Kalau anda merancang-rancang untuk membina rumah baru, apa kata disertakan sekali taman di dalamnya seperti ini? Pasti nyaman!!



Bunga Cantik Lagi

As-salam.

Semasa berkunjung ke rumah kawan di Subang Bestari, Mak Aji terpandang pokok yang menghiasi kaki lima jalan dan apabila diperhatikan terdapat bunga kuningnya yang cantik. Belum pernah Mak Aji melihatnya sebelum ini dan tidak juga diketahui namanya:

Cantik bunganya.
Bunga yang sama tetapi dengan bahagian tengahnya berwarna merah.

Ini pokoknya dengan bunganya tidak berapa kelihatan.


Vertical Garden di Bandar Utama

As-salam.

Mak Aji ke One Utama pagi tadi dan semasa sampai di tempat letak kereta sayap lama di tingkat paling atas, Mak Aji terpandang bangunan sebelah One Utama, di belakang Hotel One World. Mahu tahu apa yang istimewa dengan bangunan ini? Saksikan:

Ini bangunannya, entah apa namanya.
Lihatlah vertical garden yang bermula dari bawah hingga ke entah berapa tingkat bangunan tersebut!!

Ini baru betul-betul vertical garden!!




Panjang Umurnya!

As-salam.

Baru sahaja dalam entri lepas Mak Aji menyebut tentang bunga Nasir, alih-alih pada pagi ini Nasir, kawan Mak Aji, tuan empunya asal pokok tersebut menelefon nun dari Utara! Panjang betul umurnya! Katanya lebih kurang begini, "Hai, bunga Nasir lagi??, he he!!" Kami sama-sama tergelak!

Seperti biasa kami lama bernborak tentang topik kegemaran, pokok bunga. Katanya di rumahnya sekarang ada sekitar 40 pokok ros dan sekitar 70 pokok orkid! Mak Aji cakap yang dia yang sepatutnya ada blog tanaman! Seperti biasa juga dia menyarankan agar Mak Aji mula bertanam ros dan untuk kesekian kali juga Mak Aji tidak menyanggup sebab takut tidak terlayan dek manja, takut mati di tangan ini! Berikut foto ros merah yang ada di laman rumahnya! Katanya, sebenarnya bukanlah hitam ros itu tetapi merah darah ikan hinggakan digelar ros merah!

Ros hitam. Sumber foto: landscaping.about.com



Friday 25 January 2013

Bunga Nasir Lagi

As-salam.

Setakat ini belumlah lagi Mak Aji mendapat nama sebenar bunga "Nasir", bunga yang dinamakan begitu sempena Nasir, kawan Mak Aji yang meninggalkan pokok bunga itu apabila Mak Aji masuk ke rumah institusi (semasa bekerja di JB beberapa tahun lepas). Kalaulah ada sesiapa yang tahu namanya, sudah cukup baiklah tu! Apapun bunga ini kembang lagi sekuntum semalam. Satu lagi kudup insya-Allah akan kembang sehari dua lagi.

Bunga 'Nasir".
Kudup bunga yang sama.



Cucu di Laman

As-salam.

Anak sulung Mak Aji, Along serta suami dan dua anak mereka, Naufal dan Imran menziarah ke rumah Mak Aji. Suaminya ada urusan di Pahang, jadi anak serta cucu-cucu Mak Aji ditinggalkan di sini sementara dia ke Pahang. Dapatlah kami berdua melepaskan rindu terutama kepada dua cucu kami. Pagi-pagi lagi mereka sudah minta izin bermain di luar. Lihat gelagat mereka memerhati ladybird dan spider kecil di daunan:

Bermain di laman.
Sudah berpeluh mereka.
Tokma, Imran jumpa spider!
"Spider gigit tak Tokma?"
Imran masih memerhati.
"Spider dah pergi!"
Peace!




Layu Sebelum Kembang

As-salam.

Apabila keluar sahaja kudup, hati tuan punya pokok berbunga-bunga tetapi malangnya sebelum kembang pun kudup sudah layu. Apabila diperhatikan bahagian pangkal kudup berwarna hitam, semacam busuk. Berpenyakit agaknya. Lihatlah, hati tuan punya pun sama layunya:





Wednesday 23 January 2013

Bunga Cantik Lagi

As-salam.

Selepas sarapan dan selepas berehat seketika, kami ke Saujana Impian, Kajang untuk menziarah keluarga kawan Pak Aji. Isterinya baru bersalinkan anak mereka yang keempat. Sebelum masuk pun ke rumah Mak Aji terlihat bunga berikut yang belum pernah dilihat sebelum ini. Warnanya putih bersih dan katanya mengeluarkan bau yang harum. Ini rupanya:

Kata tuan punya, nama bunga ini santalia.
Ini pokoknya di dalam pasu.
 Berikut pula pokok-pokok lain yang terdapat di laman hadapannya:

Bunga daripada pokok yang sama seperti buah seperti epal kecil pada foto bawah.
Buah umpama epal kecil (pernah terjumpa sebelum ini).
Pokok delimanya galak berbuah!
Pokok limau pun galak berbuah juga!


Saturday 19 January 2013

Yang Ditunggu-tunggu

As-salam.

Pagi ini sambil membelek pokok-pokok di laman, terpandang Mak Aji kepada pokok kaktus yang sudah bertahun ditunggu agar berbunga. Kali akhir berbunga semasa berada di rumah lama. Yang uniknya kelopaknya bersegi-segi, berwarna merah darah ikan (dengan tekstur seperti baldu) dengan sebutir mutiara perak di tengah-tengahnya. Bunga ini juga suka dikunjungi lalat! Semacam bunga rafflesia, sepupu sepapatlah agaknya??  Berikut foto kelompok kudup dan pokoknya:

Ini kudupnya.
Ini pokoknya. Kudupnya kecil sahaja - yang ada anak panah itu!

Jenis kaktus ini mudah hidup, daripada keratan batangnya sahaja. 



Friday 18 January 2013

Metamorfosis Bunga Akar Dani

As-salam.

Cukup seronok memerhatikan metamorfosis bunga akar dani yang bermula dengan warna putih, merah jambu dan akhirnya merah:

Awalnya putih.
Kemudian, merah jambu.
Dan akhir sekali, merah!!
Meriah bukan! Wanginya boleh tahan juga!





Kembang Mekar

As-salam.

Pagi ini dua kuntum bunga kaktus kembang mekar sepenuhnya:

Kaktus kembang.

Petang semalam Mak Aji tersenyum apabila terlihat kudup kaktus hampir kembang. Rajin betul pokok ini berbunga, walaupun Mak Aji sudah lama tidak membajanya - very pleasant surprise! 


Bunga hampir kembang petang semalam.

Berikut pula bunga daripada pokok (pokok ke??) daun salam yang kembang sepenuhnya. Walaupun kecil tetapi tidak kurang cantiknya:

Bunga daun salam.



Thursday 17 January 2013

Bunga dalam Bunga

As-salam.

Pagi tadi Mak Aji ke Sunway Giza kerana ada urusan. Mak Aji terlihat bunga berikut yang agak unik dan tidak kurang cantik dan meriah warnanya:

Entah apa nama bunganya ya??



Wednesday 16 January 2013

Memang Sah Akar Dani!

As-salam.

Selepas peristiwa tersalah identiti tempoh hari, Mak Aji terpaksa memastikan pokok yang dibeli memang benar-benar akar dani berdasarkan gugusan bunga yang hampir kembang. Pagi ini sudah keluar beberapa kuntum bunganya. Jadi alhamdulillah memang sahlah akar dani! Tipah asyik tertipu aje! Jangan sampai tertipu lagi!

Bunga yang belum kembang tempoh hari.
Sudah kembang!
Bukan sahaja kembang, sudah wangi!! Yess!!

Sehari dua ini pokok ini akan dipindahkan ke tanah. Akan dibiarkan yang ini pula memanjat pergola - memang dibuat pergola gara-gara pokok inilah!




Kacang Botor Sudah Berbunga

As-salam.

Sekembali kami dari kampung tempoh hari, Mak Aji dapati pokok kacang botor sudah mula berbunga! Tidak lama lagi berbuahlah dia dan kenduri kacang botorlah nanti, insya-Allah!

Bunga kacang botor.
Pun ada ulat bulu yang menumpang!
Dari bawah para.



Update tentang Pisang

As-salam.

Mak Aji hendak tunjukkan foto update pokok pisang yang berbuah beberapa bulan lalu:

Lama lagi ke nak matang??
Kata Pak Aji, mahu sebulan lagi baru boleh makan kut? Boleh tahan lama juga ya! Dalam diam dua pokok lagi sudah berbuah juga. Jadi, sedang elok buah dari pokok ini dituai, ada dua tandan lagi dalam waiting list!

Dalam pada itu, pokok pisang lemak manis di sudut hadapan laman sudah matang dan sudah ditebang. Ada dua lagi juga pokok sedang berbuah, cuma belum matang. Berikut foto setandan pisang lemak manis yang sudah dikongsi makan oleh tuan pisang dan juga burung-burung di laman!
Pak Aji sengaja gantung tandan di bawah ini di pergola agar dia boleh memerhati burung!

Pisang lemak manis atau pisang monyet.

Melihatkan pisang lemak manis, teringat pula cekodok pisang menggunakan pisang ini! Cukup sedap sebab memang manis semulajadi, tidak perlu tambah gula sebanyak biasa.





Monday 14 January 2013

Mandi-manda dalam Hujan

As-salam.

Pagi semalam selepas solat Subuh Mak Aji tidur balik sejam dua sebab kepala terasa sedikit berat. Pak Aji sebaliknya, seperti biasa, membaca buku/kitab di beranda. Cuaca ketika itu hujan dan udara agak sejuk dan nyaman. Pak Aji terdengar kicauan burung dan apabila diperhati, terdapat sekumpulan burung di puncak pokok rambutan. Rupa-rupanya burung sibuk mandi-manda dalam hujan! Mereka meniarap, melentang, menyenget dan sebagainya. Ada juga yang menyusup-nyusup di celah-celah daun rambutan. Riuh-rendah suasana. Bukan burung sahaja yang seronok mandi dalam hujan, Pak Aji juga seronok memerhatikannya! Pak Aji sepatutnya merakam foto mereka tetapi terlupa katanya. Pun tidak dikejutkan Mak Aji dari tidur sebab kasihan dek kerana kepala Mak Aji lari stesennya! Sayang betul terlepas aksi burung di pagi semalam!

Burung di puncak pokok rambutan jiran sebelah.


Sunday 13 January 2013

Tunjuk Langit dan Nanas Lagi

As-salam.

Pagi semalam Mak Aji dan Pak Aji ke pasar tani Taman Melawati untuk mencari kapsul tunjuk langit. Bapa saudara Mak Aji yang memaklumkan kepada kami tentang hal itu. Ini yang kami jumpa:

Sebotol RM30, lima botol RM100.
Nombor telefon pengeluarnya juga dipaparkan.
Pak Aji mahukan kapsul ini untuk mengawal darah tingginya. 

Mak Aji belum pernah ke pasar tani ini, jadi agak seronok jugalah berada di pasar ini jika dibandingkan dengan pasar tani di Paya Jaras, Sungai Buloh. Rupa-rupanya sayur kampung lebih banyak pilihan di Melawati. Mak Aji juga ada terjumpa umbut kelapa! Kalau dibuat acar masak umbut kelapa, tentu sedap! Teringat pula pada zaman kecil-kecil dulu arwah emak yang masakkan. Umbut juga dicampur ke dalam gulai kawah yang biasa dimasak untuk kenduri kahwin! Mak Aji sekadar pandang sahaja - takut kalau tidak menjadi kalau masaknya. 

Usai urusan di pasar tani, kami menyinggah ke rumah kawan di kawasan perumahan itu - kawan sepejabat yang sebaya Mak Aji dan yang sudah sekian lama pencen awal (kalau tidak silap pada usia 45 tahun). Kami diajak bersarapan di rumahnya. Selepas kami pekena nasi dagang (sedap Wan!) dan sandwic sardin serta kopi-O kaw (tentunya cap Kapal Api!), kami beredar untuk balik. Sampai di pagar Mak Aji terlihat pokok nanas ini yang ditanamnya:

Nanas hiasan - kecil sahaja buahnya.
Dari dekat - ada bunga ungu! Comel sekali!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...