About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Saturday 27 September 2014

Tertunai Kehendak Hati!

As-salam.

Sekitar 8.00 pagi Mak Aji memandu (sudah agak sihatlah ni memandu sendirian!) ke UIA untuk menjemput anak buah Mak Aji untuk berhujung minggu di rumah. Pak Aji tidak dapat keluar menemani sebab kami ada tetamu di rumah. 

Setelah sesat barat sekitar setengah jam mencari-cari Mahalla (asrama) Ameenah hingga ke mahalla lelaki (sebetulnya Mahalla Ameena dahulunya di sini tetapi sekarang sudah berpindah ke tempat lain - tiada kemas kini pada aplikasi Waze!! Itulah masalahnya apabila terlalu bergantung kepada Waze - padan muka! Mak Aji terpaksa meminta bantuan daripada seorang pelajar lelaki untuk keluar ke jalan utama dan mencari destinasi - pagi-pagi lagi sudah makan 'langsat' - sesat!

Mak Aji mengajak anak buah sarapan terlebih dahulu sebelum melencung ke nurseri milik Mee Lan Ting di Taman Bolton, Batu Caves - tujuan untuk menjenguk sambil membeli-belah jika ada yang berkenan di hati!

Nurseri di lot tepi unit rumah Mee Lan Ting penuh dengan pelbagai jenis pokok buah, herba serta bunga-bungaan - seronok menjamu mata di situ! Mak Aji kongsikan beberapa foto berikut:

Bersama-sama tauke nurseri, Mee Lan Ting.
Sejenis kaktus - teringin tetapi Mak Aji tahan sahaja nafsu!
Berikut pula antara pokok yang dibawa pulang:

Sejenis ginseng menjalar, ginseng noto yang katanya boleh membantu menurunkan kolesterol dan tekanan darah.
Pokok betik sekaki.
Pokok seperti setawar sebagai penawar Denggi!
Pokok bangun-bangun untuk mengubat batuk.
Pokok ceri Barbados.
Pokok ajaib.
Pokok epal bidara.
Buah epal bidara.

Tertunai sudah kehendak terhadap beberapa pokok yang tersenarai dalam wishlist Mak Aji untuk sekian lama! Jangan buat tambahan pada wishlist lagi, sudah!!

Oh ya, Mak Aji juga hanya sempat mengangkut dua pasu dengan harga RM7 sepasu - Mak Aji memandu kereta sedan biasa - perlu pandu Hilux barulah boleh memborong pasu - berat yang amat!

Apapun, seronok berbelanja di nurseri ini masih terasa, he he!! Nantikan Mak Aji datang lagi ya!


Catatan: Keterangan lanjut tentang ginseng noto/notoginseng boleh dibaca di sini:
http://www.smart-publications.com/articles/lower-cholesterol-and-improve-cardiovacular-function-with-notoginseng

Wednesday 24 September 2014

Larangan Berkebun Berkuatkuasa Serta-merta!

As-salam.

Anda tentu terkejut akan larangan ini, kan! Ini larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di rumah Mak Aji - siapa lagi kalau bukan Pak Aji! Alasannya - tukang kebun kena demam Denggi! 

Pada hari Khamis lepas Mak Aji bertolak ke Skudai untuk berziarah anak cucu - lama tidak bertemu mereka, tambahan pula cucu bercuti sekolah dan abah mereka sedikit sibuk dan tidak berkesempatan membawa mereka balik bercuti ke Sungai Buloh - apa lagi, kami yang pergi!

Sebelum berangkat ke sana, Mak Aji (walaupun pada ketika itu badan sudah mula kurang sihat dan suhu badan mula naik, segala urat sendi mula sakit-sakit juga), terpaksa menyelesaikan terlebih dahulu kerja-kerja menanam rumput di laman belakang - 10 keping rumput mutiara dengan harga RM1.70 sekeping dibeli sehari sebelumnya. Kalau mengharapkan anak yang tinggal untuk menyiramnya, takut asyik terlupa, mahu kering rumput itu. Ini yang sempat dibuat sebelum bergerak ke Johor:

Selesai 10 keping rumput bersaiz 1 x 2 kaki Mak Aji tanam. Berpeluh sampai ke keting juga dibuatnya.
Mak Aji juga tambah 4 keping stepping stone jenis refleksologi  seperti yang disarankan!

Sekarang tinggal lagi mahu dipenuhkan bed dengan tanaman pilihan agar penuh - sudah hampir siap!

Berbalik ke cerita asal. Mak Aji sampai sahaja di Skudai demam makin teruk dan suhu badan naik. Mak Aji bertahan dengan ubat demam untuk mengawalnya. Pada hari pertama dan kedua di sana Mak Aji berurut (demam urat, kut!) tetapi memandangkan demam masih tidak baik-baik, Mak Aji ke klinik - doktor kata jangkitan pada tekak, bengkak katanya. 

Pada hari Sabtu kami pulang ke KL dalam keadaan Mak Aji masih sedikit demam dan berasa badan cukup letih luar biasa. Pak Aji bertegas membawa Mak Aji ke klinik lagi. Semasa menyarungkan stokin untuk keluar, Mak Aji perasan ruam merah mula timbul di betis dan paha - Dengue alert!!

Setelah diuji darah dan disahkan Denggi Pak Aji membawa Mak Aji ke KPJ Damansara dan Mak Aji sempat sehari semalam di situ. Setelah didapati platelet darah merah mula naik dan doktor berpuas hati Mak Aji dibenarkan balik pada petang semalam, alhamdulillah!

Jadi, untuk beberapa hari ini Mak Aji hanya memerhati laman dari dalam rumah sahaja - ada juga Mak Aji curi-curi keluar sekejap-sekejap untuk melepaskan gian!

Mak Aji masih berasa letih dan cepat penat. Sementara itu Pak Ajilah yang mengambil alih tugas di rumah, alhamdulillah. Namun begitu, al-maklumlah orang lelaki di dapur, ala kadar sahajalah - pejam sebelah mata sahajalah! 

Doakan Mak Aji cepat pulih ya!





Sunday 14 September 2014

Disapa Haruman Kesidang

As-salam.

Beberapa hari lalu sambil Mak Aji meninjau-ninjau laman hadapan Mak Aji disapa lembut oleh haruman kesidang yang cukup wangi. Alhamdulillah seronok rasanya pada ketika itu! Jambak bunganya tidak kelihatan namun harumannya cukup untuk menandakan kehadirannya! Setelah dibelek-belek maka kelihatanlah bunganya:

Alhamdulillah atas anugerah-Mu!
Sila abaikan benda yang di hujung kanan atas - bukan hantu yang enter frame, sekadar jari
jemari Mak Aji memaut ranting!



Tepus Wangi dan Asparagus

As-salam.

Petang semalam Mak Aji mendapat tambahan kepada koleksi herba daripada Diana KBB - Tepus wangi yang pernah disebut oleh Diana dari blog Kebun Bahagia Bersama DI SINI dan juga Ibu Qistina DI SINI. Mak Aji mahukan tepus wangi untuk kegunaan anak menantu serta cucu Mak Aji yang agak kurang sihat dengan batuk selsema yang mengganggu tidur mereka. Tepus wangi juga dikatakan boleh dibuat air rebusan untuk mengalami suasana spa apabila dibuat air mandian! Lihat apa yang Mak Aji dapat semalam:

Tepus wangi - yang di dalam plastik untuk dibuat air mandian.
Ini pula bunga tepus wangi yang kembang di pangkal pokok!

Selain tepus wangi Mak Aji juga dapatkan benih asparagus - cemburu melihatkan rakan-rakan FB menanam asparagus. Mak Aji juga dimaklumkan bahawa pucuknya juga boleh dimakan! 


Benih asparagus Connover Colossal.

Berikut rupa asparagus connover colossal, memang colossal saiznya!:

Inilah yang diidamkan agar dapat dihasilkan nanti, insya-Allah!!
Sumber fotowww.imagejuicy.com

Jom tanam asparagus pula! Tumis mudah-mudah taruh udang segar sedap tu (macam yang dimasak di kedai tomyam tu)!



Cantik Tidak Bajuku??

As-salam.

Kali terakhir anggur berbuah Mak Aji sarungkan baju plastik agar terlindung daripada mata makhluk perosak yang terdiri daripada burung, tupai dan yang sewaktu dengannya. Kali ini setelah mengambil manfaat daripada kawan-kawan dari FB, Mak Aji bertukar ke baju jaring pula. Ada rakan yang menggunakan jaring untuk gosok badan semasa mandi menggunakan shower foam tetapi setelah Mak Aji mencari di pasaraya berdekatan, tiada yang dijumpai. Yang ada cuma jaring penyental pinggan mangkuk - maka itulah yang Mak Aji gunakan! Lihatkan:

Baju orenku - cantik, tak??
Selak sikit, hah tu dia!
Kedua-dua tangkai bertahi lalat - kenapa ya?? 
Berikut pula keratan anggur yang Mak Aji beli daripada rakan bertanam anggur di FB. Ada 4 keratan semuanya dan 3 sudah bertunas manakala satu lagi belum. Lihatkan:


Keratan no. 1 - alhamdulillah bertunas!
Keratan no. 2 - bertunas.
Keratan no. 3 - bertunas.
Keratan no. 4 - belum bertunas.

Berikut pula keratan angur jenis masak hijau (seperti di foto atas) yang Mak Aji semai sendiri setelah kerja-kerja mencantas ranting anggur. Ada yang main cucuk begitu sahaja tanpa meletak serbuk penggalak akar pun. Alhamdulillah elok sebahagian besarnya.


Keratan yang Mak Aji semai - ada yang sudah dicop orang!
Ini hasil dapatan pagi ini - anggur yang sudah menjadi kismis tanpa disedari Mak Aji! 
Apabila sudah besar nanti pokok-pokok anggur, maka timbullah pula isu - manakan kuletak para anggur pula?? Mak Aji sedang meninjau-ninjau ceruk mana lagi yang akan dimanfaatkan!




Up-date Laman Belakang

As-salam.

Hari minggu Mak Aji tunggu-tunggu untuk mengerjakan laman belakang yang masih belum siap sepenuhnya. Beberapa hari lepas anak Mak Aji angkut tanah beberapa kali menggunakan kereta sorong untuk memenuhkan batas yang separa siap. Setelah Mak Aji susun bata Mak Aji dapati perlu ada tambahan bata lagi - insya-Allah kalau sempat esok perlu dibeli lagi. Mari kita lihat perkembangan setakat ini:

Agak-agak separuh siap petang tadi sebelum hujan turun dengan lebatnya.
Sekali pandang macam jigsaw puzzle pun ada ya!
Kacang panjang renek dipindahkan ke tanah (baru pulih dari serangan bena putih) dan di kanan sekali rumput cina.
Hempedu bumi punya tempat sendiri.
Mak Aji perlu tambah bata untuk batas, tanah lagi untuk batas, selepas itu perlu pasir untuk selesaikan tanah berselut ini apabila hujan. Akhir sekali perlu rumput sebagai tutup bumi. Tentunya perlu penuhkan ruang batas dengan tanaman yang sesuai - beberapa jenis benih sedang disemai dan menunggu untuk dialihkan ke tanah nanti. 

Kalau sebelum ini batang paip melintang laman belakang. Beberapa hari lepas Pak Aji tolong alihkan batang paip agar kedudukannya lebih sesuai dan tidak mengganggu pemandangan (tidak sakit mata!) Tidak sabar rasanya untuk menyiapkan projek ini dan melihat hasil akhirnya!




Saturday 13 September 2014

Sambil Menyelam Minum Air

As-salam.

Beberapa hari lepas Mak Aji berziarah ke rumah kawan baik kami yang suaminya terlantar sakit di rumah. Selesai berziarah kami masuk ke kereta untuk pulang. Apabila Mak Aji menoleh ke kiri, kelihatan sekuntum bunga raya yang indah 'menyapa' Mak Aji! Mak Aji terus mengambil kamera untuk merakam keindahannya:

Bunga raya kuning dua lapis.
Cantik sekali bunga raya dua lapis ini! Kelopaknya juga bersaiz besar. Kontras warna kuning dan merah di tengah-tengahnya menyerlahkan keindahannya! Masya-Allah cukup indah ciptaan-Mu!





Monday 8 September 2014

Bunga Liar Lagi

As-salam.

Tempoh hari sibuk di FB tentang khasiat sejenis tumbuhan liar, bayam peraksi yang katanya mampu mengubat demam Denggi. Sekali pandang Mak Aji ingatkan sama dengan yang Mak Aji tengok tumbuh dengan banyaknya di luar pagar Mak Aji (seperti di foto bawah) - semacam berada di musim bunga di negara 4 musim pula bila menengokkannya!:

Bunga liar yang tidak kurang cantiknya.
Apabila dah banyak, cantik pula kembang-kembang kecil berwarna ungu ini!

Pun cantik juga, kan!!

Manalah tahu entah-entah kedua-dua tumbuhan ini ada khasiatnya yang hanya kita sahaja yang belum mengetahuinya!? Allahualam!



Sunday 7 September 2014

Pokok Kari Berbunga Lagi

As-salam.

Tempoh hari pokok kari yang ditanam di pasu ini sakit teruk kena serang makhluk asing yang semacam ulat yang rupanya agak mengerikan! Setelah dirawat dengan semburan neem oil dan dibawa ke bawah pergola (sepanjang tempoh rawatan - semacam masuk hospitallah!) alhamdulillah pucuk-pucuk baru sudah mula keluar dan begitu juga bunganya. Kali ini berjaya juga Mak Aji sebagai misi ya!

Cantik juga bunga kari ya!

Mak Aji cukup risau apabila pokok kari sakit sebab Mak Aji selalu meggunakan daunnya bukan sahaja untuk mengari (buat karilah tu!), malah untuk diletak dalam kuah spaghetti bolognaise (sudah dijadikan resepi ala Malaysia), juga sesekali untuk direndam dalam air panas jika kepala terasa berat - biasanya tekanan darah naik. 

Sebab itulah Mak Aji ada 3 pokok yang ditanam di tiga tempat yang berbeza - ada back-up apabila mana-mana pokok sakit!

Mak Aji dimaklumkan yang apabila buah kari keluar nanti dan cukup matang, kita boleh membuat benih anak kari - setakat ini elok sahaja merah buahnya asyik menjadi rezeki burung sahaja! Insya-Allah kali ini akan menjadi benih, andainya ada rezeki Mak Aji pula!




Friday 5 September 2014

Penstrukturan Semula Laman Belakang

As-salam.

Jangan ingat dalam organisasi sahaja ada penstrukturan semula (senang cakap reorg. je). Laman Mak Aji bahagian belakang sebelah beranda juga sudah mula dibuat reorg.!

Setelah puas berfikir maka Mak Aji memutuskan untuk mengalihkan sebahagian besar tanaman herba ke ruang belakang rumah. Kerja-kerja menyemai daun salam, daun pegaga dan daun pudina telah selesai. Bayam Malabar merah pemberian Rose dari blog Semua Menjadi juga sudah mendapat rumah serta para baru. Harap berbahagialah mereka semua di tempat baru. 

Projek belum selesai lagi dan agaknya mahu makan sehari dua lagi barulah siap sepenuhnya, insya-Allah. Berikut yang telah dibuat setakat ini:

Baru susun bata untuk buat batas mudah. Perlu diisi tanah dan di sini akan dipindahkan oregano, selasih dan herba lain juga. 
Rumah baru bayam merah Malabar - para 'bodoh' je ciptaan Mak Aji!
Nanti Mak Aji 'cerdikkan' ya apabila perlu!
Daun selom dan pudina.
Tengah berkira-kira untuk memindahkan pokok cili, sirih serta puding dan hempedu bumi ke tanah.
Di tengah-tengah kawasan ini ada sepohon mangga dan sepohon betik - selain itu suka hatilah Mak Aji mahu buat apa!

Perasan tidak ada benda pelik pada dahan mangga itu?? Ini dia fotonya dari dekat:

Pak Aji tut mangga cara ini! Katanya menjadi, entahlah!?

Berikut pula beranda belakang tempat santai kami sekeluarga - lebih privacy berbanding di porch rumah. Kalau ada makan-makan keluarga juga apabila ada jamuan kecil di sinilah Mak Aji menjamu:


Beranda ini agak nyaman baik di waktu pagi atau petang. Bagus pekena teh di sini!
Ruang duduk untuk borak-borak.
Dari sini boleh memerhati hasil tanaman!

Setakat itu sahaja perkongsiaan. Mak Aji mahu sambung kerja di laman belakang lagi.



Thursday 4 September 2014

Mahkota Dewa - Bikin Sendiri Tehnya

As-salam.

Selepas melihat gerai jualan herba di pasar tani pada Ahad lalu, Pak Aji bukan main bersemangat lagi untuk membuat sendiri teh herba mahkota dewanya. Dipetiknya berpuluh biji mahkota dewa yang sedang berbuah lebat lalu dihirisnya nipis-nipis. Setelah dikeringkan di bawah panas matahari (semalam sedikit basah terkena hujan semasa tuannya pergi pekena cendol!) selama beberapa hari, inilah hasilnya:

Dapatlah setalam - perlu sehari dua lagi ni agar cukup kering.
Ini dia stok yang tinggal daripada kali terakhir
 membuatnya.

Tidaklah perlu rasanya Mak Aji menyebut khasiat mahkota dewa ini sebab umum sudah sedia maklum. Pak Aji mengamalkan minum teh mahkota dewa ini untuk mengawal darah tingginya. Diambilnya beberapa keping hirisan mahkota dewa yang dikeringkan ini dan menambah air panas. Dia membiarkannya sekejap sementara hirisan itu kembang ke saiz asal dan tehnya terhasil. 





Bila Pula Kutanam Jambu??

As-salam.

Kalau Mak Aji ternampak taburan kismis yang terhasil secara tidak sengaja dek kerana buah anggur yang berada di atas pergola tidak terperasan dek Mak Aji, itu biasalah. Namun begitu, kalau buah jambu air yang terdapat sekitar pergola, itu sesuatu yang luar biasa! Mana ada Mak Aji tanam jambu air?? 


Jambu air yang entah dari mana datangnya!
Ini ada sebiji lagi bersama-sama buah ceri (tempatan).

Apabila teringatkan tupai yang banyak berkeliaran di laman, Mak Aji agak ini kerja tupai! Tupai bukan sahaja meninggalkan najis mereka di merata laman, malah diangkutnya sekali buah dari entah laman siapa! 

Kalau Pak Aji tuai buah betik dan dibiarkan seketika di meja batu di laman, alamat adalah yang akan berpesta buah betik - kalau tidak tupai, burunglah! Pernah juga suatu ketika tupai masuk ke dalam rumah dan sudah mula menjamu selera dengan pisang masak yang diletak di meja makan! - itu sudah lebeh!!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...