About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Tuesday 27 November 2012

Bunga Teratai Sudah Berbunga (??)

As-salam.

Pada pagi ini sedang Mak Aji berehat di dalam rumah (belum keluar ke laman), Pak Aji memberitahu - Bunga teratai sudah berbunga! Bunga teratai?? Bila masa pulak Mak Aji tanam teratai?? Rupa-rupanya Pak Aji melihat keladi bunting berbunga!! Mak Aji dan Along tergelak besar - sudahlah nama bunganya silap, bunga teratai yang berbunga?? Kalau sudah ada bunganya, macam mana pula bunga itu pula berbunga?? Bila sudah seronok sangat itulah jadinya! Ini fotonya:  

Yang terapung halus itu makanan gapi yang ditabur.
Masya-Allah cantik, kan!!

Monday 26 November 2012

Projek Para Kacang Botor

As-salam.

Seperti beberapa entri sebelum ini, Mak Aji sebut yang Pak Aji akan membina para untuk pokok kacang botor. Semalam di bawanya beberapa batang kayu ke belakang yang (pada hemat Mak Aji) agak besar untuk itu. Katanya, lebih besar lebih tahan lama dek hujan dan panas. Apa-apalah, asalkan buat dan lebih baik daripada yang Mak Aji buat. Inilah rupanya:

Para kacang botor.
Para daripada kayu terpakai hasil kerja tangan kaki DIY di rumah.

Pak Aji ada menyebut niatnya unuk menanam petola juga  di para ini - dia memang suka petola celur sebagai ulam untuk dicicah budu. Mak Aji lebih suka timun batang. Apapun kita lihatlah nanti apa yang bakal ditanam.



Friday 23 November 2012

Pokok Air - Keladi Bunting

As-salam.

Semasa kami balik kampung tempoh hari dan dalam perjalanan balik ke KL dari Demong Beach Resort tempat kami bermalam, Pak Aji cukup bermurah hati melayan Mak Aji berhenti di tepi jalan agar Mak Aji boleh mengutip keladi bunting di tepi parit. Sebenarnya Mak Aji pernah menanam pokok ini dahulu tetapi apabila pasu sudah terlalu sempit dek pokok ini yang membiak terlalu pantas, pokok ini terpaksa dibuang. 

Sebenarnya memang sayang tetapi apakan daya (macam lirik lagu - 'apakan daya hendak kubawa perahuku sempit,' he he!!) Layan foto di bawah yang diambil dari Pak Cik Google - foto bila pokok ini bunganya kembang!:

Keladi bunting/water hyacinth. Cantik bunganya, kan!

Ini pula yang Mak Aji punya, pasunya juga bukanlah besar. Juga tempat gapi seekor dua.




Thursday 22 November 2012

Berdandan Selepas Hujan

As-salam.

Dua hari lepas semasa hujan turun dengan gaka lebat Mak Aji memerhatikan beberapa ekor burung yang berteduh di dahan pokok kemboja di laman. Setelah hujan teduh kelihatan mereka berdandan/grooming! Hendak tergelak pun ada - seolah-olah manusia yang bersiap selepas mandi! Saksikan:

Burung merbuk tiga sekawan.
Sibuk berdandan!




Pisang Berbuah Lagi

As-salam.

Pagi ini Pak Aji tunjukkan pokok pisang belakang rumah yang berbuah lagi. Sebenarnya sekarang ada lima pokok besar yang menunggu untuk berbuah dan ini yang pertama berbuah. Selebihnya anak-anak pokok yang bakal dipindahkan ke sudut hujung depan rumah. Ini kerana tempat pokok pisang sekarang bakal diganti dengan projek lain - entah apalah nanti rancangan Pak Aji.

Kumpulan pokok pisang ini cukup tinggi melepasi bumbung rumah, jadi untuk mengambil foto terpaksalah mendongak dan zoom kamera. Yang menariknya bunga pisang boleh tahan juga cantiknya. Saksikan:

Saiz jantung pisangnya boleh tahan besar!
Ini tandannya lagi.
Ini bunganya, cantik kan!



Bunga Liar Lagi

As-salam.

Musim hujan sejak sebulan dua ini memang bukan sahaja menyuburkan pokok malah juga rumput-rampai. Rumput yang baru dipotong sebelum raya haji tempoh hari sudah mula menuntut agar dipotong lagi. Jadi, petang semalam Pak Aji terpaksa menggalas lagi mesin potong rumput dan memotong rumput di laman. 

Mak Aji cukup suka bau rumput yang baru dipotong - cukup menyegarkan! Bau yang kedua terbaik selepas bau pokok pudina Mak Aji.

Pagi ini (selepas Pak Aji memotong rumput semalam) kelihatan bunga liar ini yang belum pernah dilihat sebelum ini:

Jangan pula tertipu dengan daun tu, daun mimosa berada di sebelah pokok bunga ini.
Ini satu lagi bunga liar yang Mak Aji terjumpa pagi ini.



Monday 19 November 2012

Rindukan Pokokku!

As-salam.

Mak Aji bertolak ke kampung pada hari Khamis lepas dengan memandu kereta sendiri bertemankan Along serta dua anaknya, Naufal dan Imran. Pak Aji sudah pun berada di kampung (memandu keretanya) kerana menghadiri daurah ('kursus' pendek) seminggu di rumah gurunya. Sampai sahaja sekitar Raub, teringat pula pokok -pokok yang ditinggalkan di rumah - harap-haraplah hujan sehingga Mak Aji balik - anak-anak bujang bukannya boleh diharapkan sangat untuk menyiram pokok! Alasan yang biasa - terlupalah! Jangan ada yang menyembah bumi sudah.

Sesampai kami balik ke rumah (kali ini Pak Aji yang memandu dan keretanya dipandu pulang oleh kawannya) pokok dahulu yang diperiksa! Yang paling takut mati, yang belum dipindahkan ke tanah dan masih berasa di dalam polibeg - alhamdulillah semuanya walafiat seperti berikut:

Salah satu pokok kesum yang ditanam di pasu.
Pokok sirih segar bugar - persiapan awal untuk anak-anak bujang kiranya mahu Mak Aji pinangkan anak dara orang, he he!!
Pokok lidah jin pun segar setelah dipindah ke pasu.



Pokok di Belakang Rumah

As-salam.

Terdapat tiga pokok betik di belakang rumah. Satu sudah ditebang kerana tidak lagi menghasilkan buah dan untuk membina para bagi pokok kacang botor yang sudah mahu memanjat. Sementara Pak Aji menyediakan para yang elok sedikit, saksikan para sementara buatan Mak Aji - memanfaatkan batang paip PVC sedia ada:

Rumah sementara pokok kacang botor! Bertemankan pokok pandan yang agak kurang subur.
Pokok betik yang berbelas kaki tinggi - masih berbuah tetapi semakin kecil dan susah dikait.
Pokok cili galak berbuah - berapa banyak cili api dahhhh!
Pokok pagar sebelum pagar belakang rumah.
Serai wangi di sebelah beranda belakang rumah.
Bahagian pangkalnya berwarna merah, berbeza daripada serai biasa.



Bunga Cantik Lagi

As-salam.

Selamat bersiaran lagi setelah beberapa hari menghilangkan diri - Mak Aji balik kampung lagi untuk memeriahkan majlis perkahwinan adik di Pasir Puteh, Kelantan. Pokok bunga di laman Su (emak tiri Mak Aji - isteri kedua arwah ayah) sedang galak berbunga, seolah-olah meraikan juga majlis! Saksikan:


Menghias khemah kenduri!
Sesuai dengan warna tema - merah jambu.
Melilit pintu pagar.
Yang belum kembanmg.
Yang paling banyak, yang masuk ke pagar jiran sebelah.
Tak puas memandang, bergugus kembangnya seperti hydrangeas - lain kali kena ambil benihnya.

Dalam perjalanan ke Kota Bharu dan semasa menyinggah di Gua Musang, sempat Mak Aji merakam foto pokok bunga kemboja Jepun di pembahagi jalan berikut:

Kalaulah sempat melihat kembangnya bunga-bunga ini, tentu meriah sekali!
Ini pula bunga yang  kembang di tepi pantai di pantai Demong, Kuala Besut, tempat kami menginap semalaman.
Yang ini juga di tepi pantai yang sama - benih pokok apa ya??


Monday 12 November 2012

Terung Cantik

As-salam.

Oh ya, Mak Aji juga hendak kongsi foto terung yang cantik yang belum pernah dilihat sebelum ini. Layan:

Berbelang-belang, kan!




High on the Wishlist

As-salam.

Setiap kali ke nurseri, Mak Aji pasti menjeling kepada pokok/tanaman air ini tetapi setiap kali menjeling harganya, setiap kali itulah pulang tanpa membelinya! Perhatikan:

Takut melihat harganya!
Pun cantik warnanya!
Harganya boleh tahan!

Hendak tunggu kayalah dahulu sebelum membawanya pulang (bilalah agaknya ya???).



Vertical Garden

As-salam.

Semasa di nurseri Mak Aji meninjau harga/kos untuk membeli struktur untuk meletak pasu bagi menghasilkan vertical garden sendiri di rumah. Terbukti kosnya terlalu tinggi - kecualilah kalau sudah banyak sangat duit untuk dilabur ke situ, itupun belum masuk lagi kos pasu-pasu kecil untuk dimuatkan pada struktur itu. Perhatikan foto berikut:

Struktur vertical garden yang boleh dibeli dari nurseri.
Pokok pakis yang digunakan.
Seunit komponen struktur vertical garden ini. Harganya RM12!

Perhatikan lubang bulat itu - tempat letak paip besi agar struktur kuat dan tidak mudah tumbang. Perlu diingat banyak unit yang diperlukan bergantung pada sebesar mana dan setinggi mana vertical garden yang anda mahukan! Siapkan sahaja beberapa ratus ringgit untuk mendapatkan saiz yang agak decent!


Ini pula berbentuk bulat untuk ditempatkan ditengah-tengah laman.


Macam mana? Ada berani dengan kos yang begitu tinggi? Mak Aji kena berpuas hati dengan vertical garden jenis gantung-gantung pokok sahajalah!






Bunga Cantik Lagi

As-salam.

Lewat pagi tadi selepas selesai servis kereta dan menyelesaikan urusan di pejabat pos, Mak Aji pergi ke nurseri Sungai Buloh untuk melayan diri dan tentunya bersenjatakan kamera - tidak membeli tidak apa, dapat rakam foto dahulu cukuplah!

Nikmatilah kecantikan beberapa foto bunga yang sebahagian besarnya tidak diketahui namanya:

Bunga akar dani.
Pokok akar dani - penuh bunga walau pokok tak sebesar mana.
Senduduk ungu.
Bunga senduduk jenis yang kelopaknya lebar-lebar tidak seperti di atas yang agak runcing!
Senduduk putih.
Kemboja Jepun.
Bunga kemboja Jepun.
Bunga anthurium berkelopak dan berdaun kecil.
Semacam jasmin, cuma warnanya berbeza.
Bunga raya berbilang kelopak.
Bunga raya oren.
Bunga raya tidak kembang sepenuhnya.
Bunga raya merah jambu dengan kelopak semacam bersegi.
Another take.
Bunga berbentuk daun tetapi berwarna merah.
Bunga yang sama seperti di atas.
Bunga entah apa namanya.
Foto kurang terang - semacam ixora cuma berbeza kelopak bunganya.
Bunga entah apa nama tetapi cantik.
Ini pokok bagi bunga di atas.
Bila bunga ini dijual, kita tahu Krismas sudah dekat.
Kaktus yang cantik juga.
Teringin nak beli lagi kelopak bunga air ini.
Sejenis succulent yang cantik! RM 9 sepokok!
 
Seronok melayan diri hari ini dan tiada siapa yang memanggil-manggil suruh balik cepat, he he! (Pak Aji hadir Daurah di kampung).Yang Mak Aji bawa balik cuma pasu bunga lagi, 10 beg tanah serta pokok kesidang (untuk menggantikan yang sudah tinggal arwah), pokok sirih, serai wangi (persiapan awal untuk buat mandian selepas bersalin bagi menantu nanti - baru disahkan mengandung, alhamdulillah! Cucu ketiga, insya-Allah), serta pokok lidah jin warna kuning.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...