About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Thursday 30 May 2013

Asal Bertunas Terus Berbuah

As-salam.

Setelah selesai dan langsai buah mulberi Mak Aji kerjakan menjadi jem, Pak Aji terus mencantas pokoknya agar keluar tunas baru. Yang bagusnya elok sahaja keluar tunas, akan keluarlah juga buahnya sekali. Lihatlah:


Insya-Allah selepas ini akan dikerjakan lagi sebagai sirap mulberi pula?? Kita tunggukan saatnya nanti ya!




Betik Rambai

As-salam.

Pernahkah anda mendengar tentang betik rambai? Sebetulnya Mak Aji baru tahu tentang pokok betik ini. Kata Pak Aji betik jenis ini jenis betik jantan (yang biasa itu betik betina) dan kalau bernasib baik, pokok ini juga boleh mengeluarkan buahnya sendiri. Selain itu pokok ini juga (kurang pasti bahagian mana) boleh dibuat ubat! Ubat apa kurang pasti pulalah, kenalah buat rujukan sedikit. Mahu lihat pokoknya? 

Pokok betik rambai.
Bunga betik yang cukup banyak tetapi setakat ini buahnya yillek!!

Setelah membuat sedikit rujukan Mak Aji terjumpa foto ini. Agak pelik juga sebab inilah pertama kali Mak Aji melihatnya:

Agak pelik, kan!!
Sumber fotoaidakw.blogspot.com 
Kalaulah pokok betik rambai ini boleh berbuah seperti di atas, alangkah bagusnya ya!



Aksi Si Burung

As-salam.

Semasa Mak Aji merakam foto pokok betik rambai, terperasan pulak Mak Aji akan seekor burung (entah apalah jenisnya) bersaiz kecil dan berwarna-warni sedang leka melayan diri menghisap madu pada bunga betik. Lihatkan aksi si burung ini:

Cantik bukan burung ini! 




Aik, dia pula yang perhati kita ya!
Ada sesiapa yang tahu apa jenis burung ini??


Wednesday 29 May 2013

Sudut Kaktusku

As-salam.

Di sudut beranda Mak Aji ada sebuah meja lama yang diperoleh percuma daripada seorang tauke perabot apabila Mak Aji membeli sebuah rak kasut tidak lama dahulu (di sini). Setakat ini meja itu berkhidmat sebagai tempat letak pemanggang elektrik yang digunakan untuk barbeku. Kononnya meja ini akan diberi nafas baru dengan mengecatnya semula tetapi projek DIY itu asyik tertangguh sahaja, entah bila akan disempurnakan. 

Setelah mengumpulkan koleksi pokok kaktus di beranda, terfikir pula untuk menyediakan sudut khas untuk mereka! Dan dengan itu khidmat meja tersebut diperlukan. Lihatlah sudut kaktus yang baru tercipta pagi tadi:

Ada yang bergantung, dan ada yang di palang dan di atas meja. 
Kaktusku yang ini pula berbunga.
Bunga merah baldu menambat kalbu!
Gabungan kaktus pelbagai bentuk dan warna menceria suasana!



Tuesday 28 May 2013

Jem Mulberi

As-salam.

Alhamdulillah setelah menunggu sekian lama, akhirnya sebanyak 250gm mulberi terkumpul jua, cukuplah untuk membuat jem mulberi! Setelah melilau sana sini mencari resepi, akhirnya Mak Aji terjumpa resepi daripada Dapur Tanpa Sempadan. Walaupun resepinya untuk strawberi, rasanya tidak salah kalau diganti dengan buah mulberi - sukatan buahnya pun sama, kira ngamlah! Mahu lihat pembikinannya??

Mulberi yang baru keluar dari freezer (foto lama sebab lupa nak ambil foto terkini yang mulberinya jauh lebih banyak).
Bersihkan, toskan, tambah air lemon.
Tambah gula, kacau dan lenyekkan buahnya. Masukkan campuran air dan tepung jagung serta secubit garam. Masak hingga pekat.
Jem yang sudah siap, dapatlah separuh mangkuk ini.
Dari dekat, boleh tahan banyak bijinya ya! Rasanya alhamdulillah sedap!
Insya-Allah pagi esok kami bersarapan roti dengan butter dan jem mulberi bikinan sendiri! 

Catatan: Mak Aji jadikan resepi di atas sebagai panduan.  

Berikut bahan yang Mak Aji gunakan:-

250gm mulberi
jus daripada separuh lemon dan separuh asam limau nipis (lemon hanya tinggal separuh, kena top-up dengan     asam limau nipis, he he!)
150gm gula pasir
1/2 sudu teh tepung jagung
1 sudu besar air
secubit garam



Friday 24 May 2013

Misi Mencari Bunga Raya

As-salam.

Beberapa hari lepas kami ke nurseri Sungai Buloh dalam misi untuk mencari pokok bunga raya ungu dan kuning. Kami menuju ke nurseri paling hujung sebelah kanan sebelum kuil - kedua-dua warna ada cuma semua pokok bunga raya baru sahaja disembur racun, masih basah daunnya (serangan ulat - ada kesan-kesan daun mula mengeriting). Harga sepokok juga agak berpatutan berbanding di tempat lain.

Pilihan pokok bunga raya agak tidak banyak. Malaslah pula kami ke jalan menghala ke Subang Airport (dari Sungai Buloh) - pun agaknya harganya lebih mahal, wallahualam!

Yang bagusnya kami terjumpa pasu bunga yang harganya agak murah berbanding yang dibeli/ditinjau sebelum ini. Kami biasa membeli pokok di sini dan agak kenal dengan pakcik Indon yang berjual di situ. Selain itu Mak Aji membawa balik empat pokok bunga marigold (bunga tahi ayamlah), dua yang kuning dan dua yang oren untuk dikawankan dengan pokok tomato yang akan ditanam nanti (sistem buddy). Pokok roselle juga dibeli lagi sebab yang ditanam dahulu mati (mungkin gara-gara Pak Aji yang membakar sampah hingga terkena tempias api).

Sepokok hiasan gantung juga dibeli - mengeluarkan bunga seperti tiub berwarna merah. Entah apalah namanya ya?? Ini rupanya:

Versi berdaun besar warna bunganya merah darah ikan mengarah ke ungu.
Kelopak bunganya juga lebih besar tetapi jumlah bunganya kurang.
Mak Aji beli pokok yang berbunga begini.

Yang dibeli  berdaun kecil tetapi belum mengeluarkan bunga lagi.
Setelah pulang dari nurseri dan terbayang-bayangkan bunga raya ungu, terjumpa pula bunga raya ungu berikut dari imej Google - memang cantik, kan!
Terjumpa lagi foto bunga raya ungu! Cantik bukan!
Sumber foto: esciencenews.com

Bunga raya ungu, masih kutunggu kamu!!




Layan Bunga Raya Lagi

As-salam.

Selain kaktus Mak Aji juga mencari lagi bunga raya ungu - pun tiada stok dijual di tempat biasa. Ada tempat lain yang menjualnya RM20 sepolibeg - mahal sangatlah pulak! Tidak apa-apa, nantilah kalau ada rezeki lain kalilah. Mak Aji cuma dapat beberapa warna seperti merah jambu, merah terang (bunga kebangsaan - takkan tidak beli versi ini pula ya, nanti tidak patriotik pula!), yang berkelopak kecil warna merah jambu, warna pic. 

Lima pokok bunga raya yang dibawa balik semalam. Ada yang RM6 dan yang besar, RM8.

Tugas seterusnya mendapatkan tempat sama ada di tanah atau di pasu sahaja.


Koleksi Kaktus

As-salam.

Mak Aji tidak punya banyak kaktus dalam koleksi, cuma ada empat lima jenis sahaja. Walau bagaimanapun kaktus memang Mak Aji suka juga. Sebelum ini Mak Aji ada membuat entri koleksi kaktus pelbagai bentuk, corak serta warna yang dijual di nurseri Sungai Buloh. Memang cantik-cantik belaka, harganya juga agak cantik juga! Berikut kaktus yang sedia ada di rumah:

Tiga jenis di pasu ini.
Yang paling tinggi itu ada tujuh kudupnya (pagi ini).
Menjelang tengah hari kembang kesemua tujuh kelopak!
Sejenis lagi yang begitu lambat membesar - sudah bertahun usianya!
Yang ini paling mudah dijaga.
Pun akan mengeluarkan bunga tidak lama lagi.

Semalam Mak Aji ke nurseri Sungai Buloh bersendirian, jadi banyaklah masa dapat diluangkan (tanpa apa-apa gangguan) dengan membelek-belek kaktus. Ini tambahan beberapa pokok lagi untuk menambah koleksi. Oh ya, sebelum Mak Aji lupa, pekerja nurseri memaklumkan bahawa kaktus hanya perlu disembur air (bukan siram tau!) sekali dalam dua minggu sahaja (peringatan untuk diri sendiri yang selalu siram setiap hari!).

Lapan anak kaktus yang baru dibeli semalam. Ada yang 3 pokok RM10 dan ada yang RM5 setiap satu.

Cuba lihat pula foto kaktus yang sudah siap ditanam di pasu cantik dengan dihiasi batu kecil berwarna-warni - kalaulah anda sanggup membayar harganya yang jauh lebih mahal!!

Tambah kapsyen
RM10 untuk 3 pokok, boleh dicampur-campur jenisnya asalkan harganya sama.
Harganya juga 3 pokok RM10.

Projek seterusnya memasu kaktus ke dalam pasu biru terang yang dibeli semalam! Selamat bercuti dan berhari minggu semua!




Update Bunga Telang

As-salam.

Pokok bunga telang tempoh hari sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk memanjat. Jadi Mak Aji pacak plastik pintu bilik air (pintu longsor plastik) untuk dijadikan tempat berpaut.

Dah nak mula memanjat.



Tuesday 21 May 2013

Tanamnya di Luar, Tuainya dari Dalam!

As-salam.

Dalam perjalanan balik dari nurseri Sungai Buloh, kami menyinggah di kedai runcit. Kali terakhir menyinggah di situ Mak Aji perasan akan buah peria yang tumbuh di suatu sudut jeriji besi di kedai tersebut - seolah-olah secara tidak semena-mena peria tumbuh entah dari mana! (Tidak pula Mak Aji menjenguk di dinding kedai di belakangnya). Begini rupa-rupanya dia:

Peria bergantungan dari dalam kedai!
Di belakang dinding kedai -  pokok peria!
Pokok peria yang cuba 'menakluk' kedai runcit!
Bagus juga ya sekiranya pokok menjalar kita di tanam di luar rumah tetapi boleh dipetik dari dalam rumah - tidak perlu keluar pun!!


Saturday 18 May 2013

Cukup Ceria Si Bunga Raya

As-salam.

Berikut pula bunga raya kuning yang rupa-rupanya bukan Mak Aji seorang sahaja yang berkenan, ada ramai yang suka dan meminta keratan batangnya! Pak Aji kata - "kalau nak mudah beli saja kat nurseri, cepat besar, cepat keluar bunga!" Mak Aji ok sahaja asalkan ada yang mahu melayan Mak Aji ke sana (sudah muak memandu sendiri - sudah 38 tahun duduk di belakang stereng!) Sekarang nahu jadi mem sahaja.

Setiap kali lalu di jalan belakang pokok ini setiap kali itulah menoleh untuk melihat bunga ini!
Selain bunga raya ungu dalam entri lepas dan bunga kuning ini, ada lagi bunga raya lain yang terdapat di lamannya, seperti berikut:

Bunga merah dua lapis kelopak!
Menarik, bukan!!
Si merah jambu cukup manis sekali!

Bunga Raya Ungu??

As-salam.

Pada petang ini Mak Aji ada jemputan ke majlis bacaan Surah Yasin di rumah salah seorang jiran. Mak Aji sebenarnya memang menunggu-nunggu untuk ke rumahnya kerana setiap kali Mak Aji lalu di sisi rumahnya kelihatan bunga raya berwarna kuning yang cukup cantik - apa lagi kalau bukan untuk mengecek keratan batangnya! Sebelum majlis bermula sempat Mak Aji menjeling-jeling bunga raya kuning itu! 

Rupa-rupanya jemputan yang duduk di sebelah Mak Aji juga peminat pokok bunga raya. Dia pula menunjukkan bunga raya ungu di pasu di hadapan rumah jiran itu. Mak Aji terlalu asyik dengan yang kuning hinggakan tidak perasan akan yang ungu itu! Mahu lihat? Ini dia!:

Tidak puas rasanya melihat yang ungu ini!!
Kata tuannya pokok ini agak manja sedikit, mudah mati kalau tidak kena gaya!
Berbunga-bunga pula hati ini untuk ke nurseri mencari bunga raya!!




Wednesday 15 May 2013

Benih Sudah Mari

As-salam.

Setelah beberapa hari menunggu akhirnya tiba juga benih yang dipesan dari blog Tanam.sendiri.com. Benih terdiri daripada:

   betik sekaki
   timun Jepun
   tomato ceri full house
   kapsikum kuning
   kapsikum merah
   salad cina daun tajam manis

Lima benih yang teratas dibeli dan yang terakhir benih yang dikongsi, diberi secara gratis oleh En. Iskandar, tuan blog. 

Yang paling Mak Aji suka ialah benih betik sekaki. Cukup seronok Mak Aji melihat betik baka yang ditanam oleh Puteri Purnama dan disiarkan dalam blognya seperti berikut:
http://disinidalamlingkaranini.blogspot.com/2013/04/betik-sekaki-dan-catatan-hidupnya.html

Ini benih-benihnya:

Tidak sabar menunggu semuanya bercambah nanti, insya-Allah.

Jom Buat Som Tham!

As-salam.

Alhamdulillah percubaan pertama som tham menjadi dan oleh kerana ada rakan-rakan blogger yang ingin tahu versi som tham yang Mak Aji buat, berikut Mak Aji perturunkan:

Fotonya sekali lagi ya, bikin kecur air liur!
Lesung som tham yang diimport khas dari Siam
(tapi melambak di Kota Bharu!)
Bahan-bahannya:

250gm betik mengkal yang disagat kasar
1 biji tomato dipotong 8 bahagian (Mak Aji tak buang bijinya)
2 biji asam limau nipis diambil jusnya
1 sudu besar nisan/gula daripada nira kelapa/gula biasa - sesuaikan ikut selera
3 sudu besar kacang tanah yg disangai (goreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar)
2 sudu besar udang kering (basuh, toskan)
2 ulas bawang putih
20 ulas cili api (Mak Aji suka pedas, boleh kurangkan jika tak tahan pedas)
1 sudu makan sos ikan/nam pla  (boleh tambah jika kurang masin)


Cara-caranya:

Masukkan bawang putih dan cili api ke dalam lesung (lesung kayu som tham, kalau ada), dan tumbuk kasar. Masukkan udang kering, juga tumbuk kasar. Masukkan gula nisan/gula biasa, jus asam limau nipis dan tumbuk sedikit. Masukkan tomato dan lenyek-lenyekkan sedikit. Masukkan sos ikan dan akhir sekali masukkan betik. Tumbuk sedikit (jangan kuat-kuat) serta gaul rata. Rasa dan cuba sesuaikan rasa masin, masam, manis serta pedas mengikut selera anda sendiri! Sebelum dihidangkan tabur kacang tanah.


Catatan: Mak Aji tidak masukkan garam sebab sos ikan sudah sedia masin. Juga tiada MSG sebab Mak Aji tidak pakai perasa itu. Mak Aji guna gula nisan, jadi jika guna gula biasa kena kurangkan sedikit ya! Kalau anda suka kacang panjang, anda boleh patah-patahkan sepanjang 2 inci panjang dan masukkan juga dan gaul. Anda juga boleh masukkan kangkung jika suka, juga dipatah-patahkan dan gaul. Selamat mencuba dan harap menjadi!!



Tuesday 14 May 2013

Trellis Baru

As-salam.

Alhamdulillah selepas puas mengecek, akhirnya Pak Aji tunaikan juga permintaan untuk membina trellis yang agak teguh berbanding trellis yang ngok-ngek ngok-ngek hasil bikinan Mak Aji sendiri! Cumanya agak terlebih teguh, tak?? Apapun alhamdulillah siap sudah tempat baru untuk kacang panjang, bunga telang dan sirih memanjat. Pokok-pokok kacang lain yang sebelum ini menumpang pokok mangga, pokok katak puru serta pokok kemboja Jepun juga sudah dialihkan ke sini. Selesailah soal tumpang-menumpang (cuma agak sesaklah sedikit (jangan gaduh sudah). Saksikan:

Amacam, ok tak trellis baru ni??
Pokok kacang dah memanjat sampai ke atas dan bunga telang masih belum apa-apa lagi.
Sekali pandang trellis ini semacam tempat gantung buai sahaja! Pak Aji tidak mahukan yang kekal melekat di dinding jadi inilah yang dihasilkannya. Habis baki stok kayu yang disimpannya untuk projek ini. Alhamdulillah hajat akhirnya kesampaian (never deny the power of persuasion, he he!!)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...