About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Saturday 29 November 2014

Rezeki yang Tanpa Putusnya!

As-salam.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah atas segala limpahan rezeki yang kita peroleh dalam segala bentuk. Untuk tukang kebun macam Mak Aji rezeki bunga telang cukup melimpah ruah. Setiap hari bunga berpuluh-puluh kelopak dikutip setiap pagi - maka bertambah-tambahlah stok sirap biruku! Maka setiap pagilah Mak Aji menyirap - dan setiap hari juga sirapku luak sebab menjadi minuman kegemaran semua. Warna aquanya juga cukup menarik sekali. Yang paling pentingnya kita mendapat minuman berkhasiat tanpa apa-apa pewarna serta bahan tambahan tiruan (bahan kimia) yang lain!:

Proses menyirap bunga telang.
Si cantik manis, bunga telang!



Aku Bahagia di Sini

As-salam.

Mak Aji bukanlah pandai sangat berkebun, banyak trial n error. Kadang-kadang OK dan kadang-kadang KO pokok!

Seperti yang kita semua tahu, pokok yang berbeza memerlukan jumlah cahaya matahari dan jumlah siraman air yang berbeza. Apabila selesai trial n error yang kadangkala menyebabkan pokok mati dek kerana terlalu banyak disiram atau kering terus kerana tidak cukup air, maka tahulah tukang kebun akan perangai pokok tersebut! Berikut 2 pokok contoh yang Mak Aji ada pengalaman aeperti di atas.:

Bird's nest  bahagia di sini dan semakin subur apabila mendapat curahan hujan serta
cahaya matahari yang cukup!
Berikut satu lagi pokok yang kaum Cina cukup suka menanamnya. Kalau tidak silap juga digelar money plant (ada ong mengikut mereka!). Mak Aji sudah banyak kali memindah-mindah pasu ini ke hulu ke hilir (tentunya dengan bantuan orang lain) untuk mendapat tempat yang sesuai dengan keperluannya. Akhirnya dia bahagia di pintu sisi rumah (sebagai pengawal tak bertauliah!):


Akhirnya bertemu bahagia di tempat redup serta kurang air - sesekali sahaja siramnya, jangan kerap!

Itulah dia, sebagai tukang kebun kita banyak belajar daripada kesilapan. Sambil belajar, tentulah ada sahaja pokok yang menjadi mangsa (kantoi sebab tukang kebun kurang tahu). Namun begitu, alhamdulillah dengan buah fikiran serta tunjuk ajar daripada kawan-kawan blogger lain yang sudi menegur dan memberi sumbangan fikiran serta ilmu bertanam, Mak Aji menjadi tukang kebun yang lebih yakin! Alhamdulillah atas hubungan ukhwan yang terjalin antara kita!  



Thursday 27 November 2014

Ada Buah???

As-salam.

Semasa Mak Aji di kampung tempoh hari, kami ke rumah kakak Pak Aji menziarahnya yang semakin uzur. Sebelum sempat naik ke rumah, Mak Aji terpandang sesuatu yang agak luar biasa (mungkin bukan luar biasa pun pada orang lain). Lihatkan:

Sejenis pokok pakis yang mengeluarkan buah!!
Buahnya seperti buah markisa!
Juga kelihatan semacam jeli di pangkal pokok!
Jeli semacam yang terdapat pada lidah buaya!
Inilah pertama kali Mak Aji lihat dan juga tahu yang pokok ini sebenarnya mengeluarkan buah. Mak Aji ada tanam pokok ini tetapi belumlah pernah buahnya kelihatan. Mungkin juga sebab pokoknya kurang subur?? Allahualam!



Sudah Hampir Mencapai Puncak

As-salam.

Beberapa bulan lalu Mak Aji tanam pokok bunga yellow mandevillea (sebelum ini entah apa ya nama yang Mak Aji panggil pokok ini - hakisan memori melanda lagi!) Nama baru ini Mak Aji peroleh daripada pengusaha nurseri yang menjual anak pokok ini - tumpang info daripadanya. Pokok tersebut Mak Aji sandarkan pada tiang lampu yang Pak Aji bikin sendiri di laman untuk meneranginya pada waktu malam. 

Sehari dua yang lepas pokok tersebut sudah berjaya memanjat hingga tinggal hanya sekitar 2 kaki lagi untuk sampai ke puncak tiang! Yess!!:

He he, memang pandai juga dia memanjat hingga hampir ke puncak!
Pada mulanya Mak Aji 'ajar' dia memanjat dengan melilit sulurnya ke tiang. Namun setelah pokok ini sudah pandai memanjat sendiri, Mak Aji biarkan sahaja dia. Pandai juga dia ya!





Petua di Dapur: Cara Menyimpan Halia

As-salam.

Mak Aji ingin kongsikan cara menyimpan halia agar kekal segar walaupun sudah sekian lama dibeli (untuk mereka yang tidak menanamnya) atau digali di laman. Petua ini diperoleh daripada Rachel Ray, seorang personaliti/tukang masak di ASTRO (30-Minute Meals with Rachel Ray).

Sebelum mendapat petua ini Mak Aji sering mendapati halia yang dibeli (yang ditanam tidak menjadi) sudah busuk sebelum sempat habis digunakan. Petua Rachel ini menyelesaikan masalah tersebut!

Caranya:

Kopek kulit halia dan masukkan halia yang siap dikopek itu di dalam plastik (sebaik-baiknya  jenis yang resealable agar lebih mudah). Simpan halia di bahagian sejuk beku. Setiap kali anda perlukan halia, potong sebanyak mana yang anda perlukan dan parutkan sahaja. Halia yang disejuk beku memudahkan kerja memarutnya! 

Sumber fotokhazanahalamkita.blogspot.com

Pemarut kecil yang biasa Mak Aji gunakan. 
Maka tiadalah lagi halia busuk! Selamat mencuba!!



Wednesday 26 November 2014

Berbunga Sudah!

As-salam.

Beberapa bulan lau Mak Aji mendapat keratan batang bunga raya beberapa jenis sambil pergi kenduri kahwin anak buah Pak Aji di Pahang. Alhamdulillah kelopak bunga pertama sudah kembang dan alhamdulillah cantik warna picnya. Bunganya juga dua tingkat. Lihatkan:

Cantik warna dan bentuknya!
Kembang nan sekuntum!

Dengan itu bertambahlah koleksi bunga raya Mak Aji, alhamdulillah! Seronok tukang kebun apabila pokoknya mengeluarkan bunga sulung!



Minuman kesihatan

As-salam.

Mak Aji ingin kongsikan maklumat kesihatan yang diperoleh daripada FB kawan Mak Aji. Minuman ini dibikin sendiri di rumah dan menurut sumber, insya-Allah berkesan untuk menurunkan paras kolesterol serta melancarkan perjalanan darah (dengan mengatasi masalah saluran darah yang menyempit)., juga dapat membantu menurunkan berat badan serta mencantikkan kulit! Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan serta cara pembikinannya:

Bahan:

3 biji lemon
3 labu bawang putih
1 liter air

Cara-caranya:

Hiris lemon dalam bentuk bulatan dan buangkan bijinya. Kupas bawang. Masukkan lemon serta bawang ke dalam slow cooker dan tuangkan air. Masak selama 8 jam. Biarkan sejuk. Kisar agar menjadi seperti puri. Simpan di dalam peti ais.

Cara Menghasilkan minuman:

Ambil 2-3 sudu besar bancuhan tadi dan tambah air suam. Tambahlah madu jika anda berasa pahit. Amalkan meminum minuman ini sebelum atau selepas makan.

Selamat mencuba!

Lemon serta bawang putih serta air.
Selepas siap masak selama 8 jam.
Mak Aji dapat hasilkan dua botol purinya.

Beginilah rupanya.

Dari segi rasa alhamdulillah, not bad! Mak Aji pernah rasa yang lagi pahit seperti air hempedu bumi, jadi Mak Aji boleh cuba amalkan minuman ini setelah dicampur sesudu besar madu. 

Mak Aji tunjukkan asal-usul minuman ini:


Catatan: Penghargaan untuk saudara Kee Cheong Ngu atas perkongsiaan ini! Semoga kita semua beroleh manfaat, insya-Allah.





Tuesday 25 November 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Pokok mahkota dewa banyak berbuah musim hujan ini. Semasa buah hampir masak, agak kemerahan, katanya itulah waktu paling sesuai untuk menuainya untuk diricih dan dijemur. Bunga telang juga banyak berbunga. Baru sehari dua lepas sudah Mak Aji sirapkan. Hari ini disirap lagi. Sudah agak lama juga Mak Aji tidak membeli sirap/atau yang sewaktu dengannya sejak mula menyirap sendiri hasil tuaian dari laman, alhamdulillah!:

Dua tangkai anggur, 3 biji sahaja mulberi, serta bunga telang.
Buah mahkota dewa yang bakal diricih dan dijemur.

Buah anggur dua tangkai sudah matang dan dituai walaupun buahnya agak kecil - sudah ada yang busuk ditangkai itu. Rasanya mak datuk punya masam! Benarlah kata Diana KBB, kalau anggur dituai pada musim hujan, nescaya masam buahnya manakala kalau dituai pada musim panas akan manis! Begitu juga pengalaman Mak Aji sendiri. Tuaian sebelum ini pada musim panas masam-masam manis rasanya, oklah sedikit berbanding tuaian yang ini! Apapun alhamdulillah atas rezeki! 

Buah mulberi juga ditambah kepada stok buah sedia ada yang entah bilalah lagi akan diusahakan - teringin pula untuk dibikin topping untuk kek keju (telan air liur!) - insya-Allah entah bilalah nanti akan dikerjakan. Orang pencen pun namanya tidak keluar bekerja, sibuk juga seharian di rumah!






Monday 17 November 2014

Yang Berbatik dan Terbalik juga Pemalu

As-salam.

Sejenis pokok bunga raya Mak Aji memang jarang berbunga dan kalau berbunga pun hanya sekadar sekuntum sahaja - kurang TLC agaknya! Tidaklah menyempat Mak Aji melayan 'anak-anak' yang memang ramai di laman! Kasihan pula dia. Walaupun begitu mari Mak Aji kongsikan bunganya yang agak 'pemalu' sebab bunganya menunduk (tawaduk gitu!):

Mak Aji terpaksa dongakkan dia!
Bunga yang agak 'pemalu', asyik menunduk sahaja!
Nampak tidak corak batik pada kelopaknya itu??

Sekianlah adanya bunga raya yang tahu malu! Macam mana pula kita manusia yang kadangkala hilang terus malu kita (baik dari segi berpakaian mahupun kelakuan)?? Malulah kita pada bunga raya ini ya!! - tazkirah pagi daripada ustazah tidak bertauliah!





Besarrr Punya!

As-salam.

Ingin Mak Aji kongsikan foto dapatan Mak Aji semasa berkunjung di Pasar Pasir Puteh, Kelantan beberapa hari lepas. Mak Aji memang terkejut melihat saiz sayuran ini:

Lihatlah saiz labu air itu berbanding buah betik dan petai itu!
Ini satu lagi labu yang sama di gerai sebelahnya!

Mak Aji mengagak panjangnya sekitar 4 kaki setengah! Pernahkah anda menjumpai labu air sepanjang itu??? Boleh masuk ke Guiness Book of World Records agaknya ya!? 

Yang menarik juga ialah betapa lawanya peniaga di gerai ini - walau berniaga di gerai di pasar, peniaga ini kelihatannya seperti mana-mana staf yang bertugas di pejabat yang berhawa dingin, bukan! Jangan terkejut kalau mereka juga berpakaian batik sutera seperti anda yang bertugas di pejabat!!



Bayam Peraksi Lagi

As-salam.

Mak Aji baru balik dari kampung dan seperti biasa salah satu aktiviti wajib semasa di kampung ialah berkunjung ke pasar. Kalau di sekitar KL kita akan hanya dapat menikmati pelbagai tumbuhan/ulam-ulaman kampung di pasar tani, di kampung segalanya tersedia saban hari! Mak Aji pernag sekali merasa ulam bayam peraksi semasa balik kampung dahulu. Daunnya agak kecil dan apabila merasanya tiadalah berasa apa-apa yang istimewa dengannya. Pada kali ini yang kebetulannya musim tengkujuh,bayam peraksinya cukup subur sekali. Daunnya cukup besar dan lebar. Rasanya pula lemak dan rangup sekali - dicicah dengan budu dalam cuaca dingin bertemankan ikan budu/pekasam, maka bertambah-tambahlah nasi di pinggan! 

Bayam peraksi yang segar bugar untuk Mak Aji tanam nanti!
Saiz bayam peraksi yang biasa kita lihat - agak kurus keding!
Sumber foto: https://www.flickr.com/photos/adaduitokla/6073167395/in/photostream/
Sebenarnya bayam peraksi ini tumbuh sendiri meliar di laman/di pasu. Namun dek kerana terpikat dengan keenakan serta kerangupannya, maka Mak Aji akan menanamnya agar mudah untuk diulam nanti! 

Catatan: Untuk mengetahui khasiat bayam peraksi, anda boleh merujuk DI SINI:



Monday 10 November 2014

Up-date Laman Belakang

As-salam.

Sejak Mak Aji terkejut dek kerana disapa nyamuk Aedes sehinggakan terpaksa masuk hospital, (sehari sahaja) kerja-kerja berkebun di laman belakang sedikit terganggu. Gangguan sekali lagi berlaku apabila seekor ular berkunjung ke situ. Setelah dibuat langkah-langkah tertentu, maka Mak Aji beranilah ke belakang lagi - kalau tidak mahu kering pokok-pokok di belakang itu! Mari kita tengok video laman belakang:




Rumput mutiara yang ditanam tempoh hari sudah hampir penuh meliputi kawasan dan sebahagian pokok/tanaman sudah ada yang berhasil seperti kacang renek serta daun pudina serta daun selom. Insya-Allah banyak lagi yang bakal dimanfaatkan lagi nanti.



Kembang di Laman

As-salam.

Mari Mak Aji kongsikan bunga-bungaan yang kembang dilaman Mak Aji:

Bunga pokok selasih - pertama kali berbunga.
Bunga pokok hempedu bumi - di kiri atas dan bawahnya, lenggai buah/biji benihnya.
Bunga pokok basil.
Bunga kucai yang cukup cantik - putih bersih.
Bunga kaktus yang kembang menunduk - semacam manta ray (ikan pari tu!)
Bunga bayam Malabar/merah.
Bunga bayam merah lagi.

Semua tanaman ini Mak Aji tanam di laman belakang rumah. Dengan adanya laman belakang maka bertambahlah kawasan bertanam dan begitu juga koleksi herba di laman Mak Aji, alhamdulillah. 




Alhamdulillah Rezeki Kami Pulak!

As-salam.

Kalau dalam entri lepas Mak Aji tunjukkan rezeki tamu yang datang berkunjung ke laman, sekarang Mak Aji tunjukkan apa yang menjadi rezeki kami pula (sebelum kami bahagi-bahagikan kepada orang lainlah - tidak termakan semuanya!):

Buah mangga cokanan, jantung pisang abu dan buah betik.
Daripada dua tangkai anggur, ini sahaja yang tinggal setelah dibuang buah yang merekah. 

Sebahagian besar buah mangga dan betik diberi kepada kawan yang kami ke rumahnya untuk berziarah kerana dia sakit terlantar, dan sebahagian lagi kepada kawan yang sama-sama pergi berziarah. Jantung pisang dicelur (alahai, lupalah pulak untuk diberikan sup sayur kepada pokok/tanaman!) dan dicicah dengan budu (bertemankan ikan bakar dan ikan pekasam) - musim hujan seperti sekarang, kalau makan lauk seperti itu, memang laju, sedar-sedar habis nasi dua pinggan!

Anggur pula habuan tuannya - rasanya masam-masam manis (semacam cerita P. Ramleelah pulak!) Buahnya pula seperti juga sebelum ini, berbintik-bintik umpama tahi lalat walaupun sudah dibungkus rapi. Apapun alhamdulillah atas pemberian-Nya jua!


Catatan: Entah bilalah agaknya mahu dibuat hard pruning pada pokok anggur - asal mahu cantas sahaja, keluar buah, sayanglah pula. Kenalah buat hati kering sedikit, pakai cantas sahaja! 





Tuesday 4 November 2014

Kalau Sudah Bukan Rezeki

As-salam.

Laman Mak Aji sering dikunjungi tamu yang seringkalinya tidak menggangu ketenteraman kami sekeluarga. Ada juga ketika yang tamu menimbulkan kekecohan serta ketakutan, terutama sekali di pihak Mak Aji sendiri. Apapun, kesemuanya termasuklah kita merupakan makhluk Allah SWT yang sudah dijanjikan rezeki masing-masingnya. Siapalah kita untuk menafikannya??

Kunjungan burung-burung sekawan menceriakan suasana pagi di laman, apalagi dengan bunyi kicauan mereka yang merdu sekali! Gelagat tupai pula seringkali mencuit hati. Hanya sang ular menjalar yang menggerunkan dan sering menyebabkan Mak Aji berkurung di dalam rumah berhari-hari!

Pokok buah-buahan seperti betik dan juga mangga sering menjadi rezeki kami sebagai tuannya dan juga sang burung serta tupai. Alhamdulillah atas rezeki yang melimpah ruah hingga kami sendiri tidak termakan. Berikut pula rezeki tamu kami:

Entah burung, entah tupai yang menumpang makan betik kami.
Sisa mangga cokanan habuan sang tupai.
Semoga hati kita reda dan pasrah dengan ketentuan pemberian rezeki daripada Allah SWT, insya-Allah!



Monday 3 November 2014

Sup Sayur untuk Pokok??

As-salam.

Semua orang sedia maklum yang sayuran memang baik untuk kesihatan kita. Tahukah anda yang sayuran juga bagus untuk kesihatan tanaman kita?? 

Mak Aji ada terbaca terbaca tentang hal ini dan sumbernya (macam biasalah, hakisan memori - lupa pula sumbernya!). Di sini Mak Aji panjangkan maklumat tersebut agar dapat kita sama-sama manfaatkan.

Jika anda mencelur/merebus atau mengukus sayur, tentunya ada lebihan air yang biasanya kita akan curah begitu sahaja ke singki. Apa kata kita manfaatnya untuk menyiram tanaman kita, terutama yang ditanam di pasu? Katanya kita akan melihat betapa responsifnya tanaman kita akan sup sayur ini! Mak Aji belum mencubanya lagi tetapi mengikut kata orang begitulah halnya!

Jom kita cuba! 

Sumber foto: hotcooking.co.uk

Catatan: Pastikan anda sejukkan dahulu sup sayur itu, kecuali jika anda ingin bunuh tanaman itu, he he!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...