About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Tuesday, 28 August 2012

Water Feature di Masjid Negeri di Shah Alam

As-salam.

Walaupun sudah berkali-kali berkunjung ke masjid negeri di Shah Alam, belum pernah berpeluang merakam foto water feature di lamannya. Ini foto yang sempat dirakam petang tadi - manalah tahu ada rakan-rakan yang berminat atau sedang meninjau-ninjau jenis water feature yang ingin dibina di laman rumah! Mari kita tengok:

Air terjun dua tingkat.
Air terjun setingkat dan di kelilingi dengan batuan putih di sekelilingnya.

Catatan: Mohon maaf, foto yang diambil oleh jurufoto amatur yang masih belum cukup pandai - sepatutnya latar foto diambil kira semasa merakam foto (jangan ada kereta di belakang!). I'll do better next time insya-Allah.


Bunga Cantik

As-salam.

Mak Aji sekeluarga makan tengah hari di Pusat Rekreasi Antan Batura (di pinggir Tasik Shah Alam berhadapan Kompleks PKNS Shah Alam) tengah hari tadi. Kami pekena makanan kegemaran, ayam penyet. Selesai makan, Mak Aji sempat memerhatikan suatu jenis pokok kemboja yang ditanam di pasu seperti berikut:

Bunga seolah-olah kemboja tetapi jenis daunnya lain rupanya berbanding daun kemboja!?
Dari dekat.

Ini pokoknya.


Monday, 27 August 2012

Bunga Puding Kembang

As-salam.

Mak Aji ingin berkongsi foto pokok puding yang keluar kudup bunganya yang berbentuk bulat tempoh hari. Mak Aji pun kurang pasti adakah ia buah atau bunga. Akhirnya semalam terjawablah - bunga rupanya! Ini rupanya:

Rupa bunganya dari dekat.
Ini lagi fotonya.


Pergola Cantik

As-salam.

Petang semalam Mak Aji dan Pak Aji berkunjung ke rumah bekas jiran di rumah lama kami di Sungai Buloh juga. Kami berpindah dari rumah di kawasan tersebut (kawasan ini agak terpencil dengan keluasan tanah masing-masing sekurang-kurang dua ekar, jadi jarak rumah ke rumah agak jauh) selepas ketakutan akibat disamun empat orang dari seberang (mengikut loghat percakapan mereka). Walaupun rumah itu agak besar dengan keluasan tanah yang memang luas, namun kami memilih untuk berpindah ke kawasan perumahan (juga rumah lama di Subang Bestari). Setelah menjual rumah di Subang kami berpindah ke rumah kami sekarang yang memang serba sederhana dan dengan keluasan tanah yang agak kecil, sekadar lot banglo sahaja. Apa-apapun, home is where the heart is - rumah mana-manapun sama sahaja, yang paling penting, hati kita tenang dan sentiasa tidak diburu ketakutan setiap kali meletak kepala ke bantal setiap malam. (hanya mereka yang pernah menghadapinya sahaja yang mengetahui). Rumah Mak Aji sekarang letaknya betul-betul sepagar dengan (di belakang) balai polis - apa yang hendak ditakutkan lagi ya!!??  

Apapun, segala apa yang berlaku semuanya ketentuan Allah SWT. Kita hanya mampu berusaha dan seterusnya bertawakal kepada-Nya semata-mata. Jauh pula melencung cerita Mak Aji. Mari kita kembali ke cerita sebenar!

Sebenarnya Mak Aji ingin berkongsi beberapa foto yang dirakam dari rumah bekas jiran tersebut. Mari kita lihat:


Dibina dek yang menghubungkan kawasan binaan pergola ini dengan anjung rumah.
Dihiasi pokok sekelilingnya, juga pada binaan kayunya.
Ada air terjun binaan dan kolam ikan koi.
Entah apa nama bunganya tetapi cukup cantik warnanya! 

Memang cantik dan menenangkan apabila mendengar bunyia air jatuh dari air terjun buatan di kawasan laman tersebut. Kedudukan rumahnya pula di atas bukit. Semasa Mak Aji menginap di kawasan itu, kami tidak menggunakan pun pendingin hawa kerana suhu agak dingin - kabus mengiringi semasa Mak Aji keluar ke ofis! Sungguh nyaman, sunyi, dan tenang (tetapi Mak Aji agak takut tinggal di sini!!) 



Thursday, 23 August 2012

Pokok Mahkota Dewa

As-salam.

Mak Aji pernah minum kopi 3 dalam 1 yang ada dimasukkan sekali herba mahkota dewa di dalamnya tetapi tidak pernah melihat pokok serta buahnya. Semasa pergi beraya di rumah saudara di Gombak, mereka ada menanamnya di dalam pasu dan pokoknya subur sekali. Saksikan:

Pokok mahkota dewa.
Buah mahkota dewa (foto dirakam menggunakan telefon bimbit - agak tidak terang).

Kalau namanya sudah begitu hebat, tentunya khasiatnya juga cukup hebat - nanti dicari maklumat tentang herba ini!!


Bunga Kertas Pelbagai Warna

As-salam.

Selepas bersolat di Masjid Negara Mak Aji sempat merakam foto pokok bunga kertas yang ditanam di dalam pasu dan bunganya pelbagai warna. Saksikan: 

Cantik sekali - kalau di nurseri Sungai Buloh tentu mahal harganya!!



Tuesday, 21 August 2012

Pisang Abu berbuah lagi

As-salam.

Pokok pisang di belakang rumah alhamdulillah berbuah lagi dan sedia untuk diambil buahnya. Sebahagian sudah dimasak pelbagai cara - disira untuk hidangan berbuka pada hari terakhir Ramadan, digoreng semalam untuk hidangan bapa saudara sekeluarga yang datang beraya. Juga sebahagian sudah diberikan kepada jiran tetangga dan rakan-rakan yang datang beraya. Ini bakinya lagi:

Baki pisang abu - any takers??? 


Kaktus Berputik Lagi

As-salam.

Pokok kaktus Mak Aji yang sepokok ini memang cukup rajin berbunga. Mak Aji perhatikan yang pokok ini sudah mula berputik lagi, tidak lama lagi akan kembanglah lagi dua kuntum bunganya:

Kaktus nak berbunga lagi! Perhatikan buah cili (di kiri bawah) yang enter frame!
Ini pula poko cili yang sibuk enter frame di atas!

Cili api merah menyala.
Beberapa pokok cili di rumah berbuah dengan banyaknya sehinggakan tidak terhabis dimakan. Semalam Mak Aji memberikan satu tipuware penuh cili api kepada bapa saudara sekeluarga yang datang beraya ke rumah. Alhamdulillah dapat berkongsi rezeki.


Macam Anak Kucing Tidur

As-salam.

Mak Aji memerhatikan pangkal pokok kemboja Jepun di dalam foto di bawah seperti anak kucing tidur! Perhatikan:

Macam anak kucing tidur, macam ginseng pun ada juga ya!?
Ini pokoknya di pasu.
Tempoh hari Mak Aji ingat pokok ini mahu dialihkan ke pasu yang lebih besar, tetapi setelah berfikir dua kali, tidak jadi berbuat demikian. Sebabnya - bukankah pokok seperti ini yang dibonsaikan sengaja 'disakitkan' dengan diletak di pasu leper yang sedikit sahaja tanahnya agar pertumbuhannya terbantut - pokoknya tua tetapi saiznya kecil!? Jadi perlulah pula didapatkan pasu yang leper dan cetek pula untuknya! 


Hempedu Bumi Menunggu Tuan

As-salam.

Beberapa bulan lepas, seorang pengunjung blog Mak Aji ini, Intan Nor, bertanya tentang anak benih hempedu bumi dan menyatakan kesukaran mendapatkannya. Jadi, Mak Aji sudah mengalihkan anak benihnya ke pasu kecil untuk diambil pada bila-bila masa Intan Nor dapat datang sendiri ke rumah Mak Aji untuk mengambilnya. Ini dia pokoknya untuk Intan Nor:

Anak pokok hempedu bumi menunggu tuannya!!
Intan Nor, anak pokok menunggu anda, jangan lupa menelefon sebelum datang ya!!


Buah Mangga Meluyut

As-salam.

Sejak monyet tidak lagi berkunjung ke rumah, pokok mangga dan buahnya sekali selamat (setakat inilah insya-Allah). Buah-buahnya tidak beberapa hari lagi akan sedia dipetik untuk dinikmati kami sekeluarga - murah rezeki kami! Saksikan foto pokok serta buahnya:

Buahnya hampir mencecah tanah - terpaksa disangga rantingnya.
Ini buahnya lagi!
Ini pokok 1 yang sedang berbuah.
Ini pokok 2 yang sedang berbuah.
Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan kepada kami!!



Kembang Kemboja Menyambut Raya

As-salam.

Kembang kemboja menyambut raya;
Raya disambut penuh meriah;
Saling bermaafan sesama kita;
Moga erat hubungan ukhwah.

Salam aidilfitri buat semua rakan yang berkunjung di sini, baik dari dekat mahupun dari jauh! Mak Aji buka entri blog dengan serangkap pantun yang tidak seberapa ini sempena hari lebaran yang disambut dengan meriah sekali.

Mak Aji sekeluarga tidak beraya di kampung kerana menguruskan hal-hal berkaitan majlis perkahwinan anak Mak Aji yang akan berlangsung tidak beberapa hari lagi. Jadi tiadalah timbul kerungsingan yang pokok-pokok akan mati akibat tidak bersiram.

Seperti biasa, pagi-pagi Mak Aji meninjau pokok di laman. Pokok kemboja kembang pada hari semalam, juga untuk menyambut raya agaknya! Perhatikan:





Cukup senang hati melihat bunga kemboja kembang. Cuma sayangnya tiada foto dari dekat kerana pokok sudah tinggi (tidak kuasa Mak Aji memanjat tangga semata-mata untuk merakam foto!).

Kalau masih beraya di kampung, mintalah doa banyak-banyak agar hujan turun dan pokok-pokok anda sentiasa dibasahi air hujan tanpa perlu bersiram!!





Mother-in-law's Tongue

As-salam.

Pernahkah anda dengar nama pokok ini? Terjemahan mudah - lidah emak mertua! Janganlah kita menjadi emak mertua yang sebegini tajam dan keras lidahnya ya!

Mak Aji hendak bercerita sedikit tentang pokok ini sebab kebetulan pokok ini sedang dalam proses berbunga. Sebenarnya Mak Aji sendiri tidak pernah tahu yang pokok ini berbunga. Memang agak terkejut juga bila melihat bunganya untuk pertama kali. 

Kalau anda gemarkan pokok tetapi setiap kali menanamnya pokok sering mati, maka inilah pokok yang boleh anda tanam tanpa mematikannya! Pokok ini agak lasak dan agak susah mati (baik jika ditanam di dalam pasu di dalam mahupun di luar rumah, juga di luar rumah - di tanah atau di dalam pasu!) meskipun jika anda sering terlupa menyiramnya! Mari kita saksikan pokok dan bunganya:

Bunga pokok lidah emak mertua.
Ini lagi gambarnya.
Ini rumpun pokoknya.
Kalau anda tanam pokok ini dan pokoknya mati juga, maka kenalah buat homework lagi untuk mencari pokok lain yang lebih lasak lagi!!?? Selamat bertanam!


Sunday, 12 August 2012

Petua di Dapur

Pernahkan anda terpaksa membeli sayur layu sebab sudah tiada lagi sayur jenis yang sama yang masih elok? Mak Aji pernah terpaksa berbuat demikian - daun kesum - untuk masak asam rebus. 

Selepas membelinya dan sebaik sahaja balik ke rumah, Mak Aji terus merendamkan keseluruhan sayur di dalam air. Tidak lama kemudian, sayur kembali segar seperti sediakala!

Sayur yang layu jangan direndam akar/batangnya sahaja.
Sumber foto:   http://sihat-lestari.blogspot.com/2012/03/10-sebab-untuk-memilih-get-clean-basic.html

Sebaliknya rendam keseluruhannya.
Sumber foto:  http://gobiodisc.com/2010/12/14/benarkah-biodisc-memberi-energi-ke-air/

Pagi yang Nyaman

Dalam cuaca panas sejak kebelakangan ini, pokok memerlukan siraman dua kali sehari, sekali pagi dan sekali petang. Malangnya seringkali waktu petang Mak Aji jarang berkesempatan sebab sibuk di dapur menyediakan juadah berbuka. 

Sebenarnya Mak Aji sedikit takut untuk keluar ke laman pagi-pagi ekoran insiden bertembung dengan monyet garang bebarapa minggu lepas. Selepas anak Mak Aji membaling mercun bola ke arah monyet (maaf ya, main mercun bola - entah dari manalah anak-anak Mak Aji beli?) untuk menakutkannya, monyet sudah tidak kelihatan lagi. Buah-buah mangga pun kelihatan selamat, walaupun dahan-dahannya agak meluyut sebab ditarik monyet. Harap-harap begitulah.

Berikut foto yang sempat dirakam pagi ini:

Cantik bunga putihnya.
Tidak pernah sangka pokok pagar ini berbunga! Ini bunga kali pertama
Pokok ini juga mahu juga berbunga. Lihat bunga kecilnya yang putih!
Ini bunganya dari dekat - sedikit seperti bunga kunyit.
Salah satu pokok puding yang diambil dari kampung Pak Aji. Pun berbunga juga!
Ini bunga (atau buahnya??) dari dekat.
Ini pula sejenis kaktus. Belum berbunga sejak Mak Aji pindah ke rumah sekarang. Bunganya memang unik - kelopak bersegi-segi, warnanya merah darah ikan dan dengan manik perak di tengahnya. Lalat suka hurung - distant cousin of  the rafflesia, he he!!

Selamat bertanam! Biar kita sahaja berpuasa, jangan pokok juga berpuasa (mengingatkan diri sendiri!).



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...