About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Saturday, 11 October 2014

Raya, Raya juga, Pokok, Pokok juga!

As-salam.

Seperti biasalah apabila balik kampung untuk apa-apa sahaja tujuan, baik untuk beraya dan atas urusan lain. minat terhadap pokok tidak mampu dipadamkan begitu sahaja. Peluang untuk menanbah koleksi herba serta pokok hiasan atau buah tetap tidak dikesampingkan apabila muncul peluang!

Semasa berziarah ke rumah sepu[u Pak Aji, Mak Aji sempat mengenen sedikit herba daripada isteri tuan rumah:

Cekur yang sudah diberikan dua tiga pokoknya kepada ibu saudara. Ini yang tinggal untuk dibawa balik.
Yang pastinya cekur banyak khasiat - tinggal lagi Mak Aji perlu buat sedikit pencarian maklumatnya!

Friday, 10 October 2014

Tuai Hasil Cendawan

As-salam.

Mak Aji sudah beberapa kali menuai hasil cendawan yang 'ditanam' di dalam kabinet dapur, di bawah singki. Namun begitu belum lagilah Mak Aji kongsikan dengan anda sekalian. 

Sebelum balik beraya di kampung, Mak Aji sempat menuai sedikit cendawan (belum cukup matang tetapi dituai juga sebab takut terlalu tua apabila balik dari kampung). Sebahagian besarnya pula dituai sebaik sahaja balik dari kampung. Saksikan:

Cendawan sebelum dituai.
Masak tumis dengan petola secara ringkas sahaja - alhamdulillah cukup manis sekali!
Alhamdulillah cendawan sudah dapat dimanfaatkan. Insya-Allah beberapa hari lagi Mak Aji akan terus menuai lagi sebab bongkah yang lain pula sedang tumbuh cendawannya!



Ada Jantan Ada Betinanya!?

As-salam.

Salam Aidiladha - masih raya lagi ke?? 

Mak Aji ingin kongsikan beberapa foto pokok tiger orchid di rumah pak cik Mak Aji di kampung. Mak Aji diberitahu bahawa pokok ini ada jantan betinanya! Kebetulan pula ada pokok jantan dan betinanya di laman tersebut. Mari kita lihat:

Tadaaa!! Bunga tiger orchid tengah kembang pada pokok betina.
Ini keseluruhan pokoknya.
Ini pula pokok jantan - perhatikan sulur bunga yang tidak menjadi di atas tengahnya!
Ini sulur yang tak menjadi bunga!
Balik kampung pun Mak Aji dapat info baru tentang pokok ini. Rupa-rupanya ada jantan betinanya juga seperti juga pokok betik! Entah-entah Mak Aji punya pun yang jantan!! Alamat sampai kucing bertanduklah Mak Aji tunggu dia berbunga!?? Allahualam.

Amacam, betina ke jantan kamu ni???



Saturday, 27 September 2014

Tertunai Kehendak Hati!

As-salam.

Sekitar 8.00 pagi Mak Aji memandu (sudah agak sihatlah ni memandu sendirian!) ke UIA untuk menjemput anak buah Mak Aji untuk berhujung minggu di rumah. Pak Aji tidak dapat keluar menemani sebab kami ada tetamu di rumah. 

Setelah sesat barat sekitar setengah jam mencari-cari Mahalla (asrama) Ameenah hingga ke mahalla lelaki (sebetulnya Mahalla Ameena dahulunya di sini tetapi sekarang sudah berpindah ke tempat lain - tiada kemas kini pada aplikasi Waze!! Itulah masalahnya apabila terlalu bergantung kepada Waze - padan muka! Mak Aji terpaksa meminta bantuan daripada seorang pelajar lelaki untuk keluar ke jalan utama dan mencari destinasi - pagi-pagi lagi sudah makan 'langsat' - sesat!

Mak Aji mengajak anak buah sarapan terlebih dahulu sebelum melencung ke nurseri milik Mee Lan Ting di Taman Bolton, Batu Caves - tujuan untuk menjenguk sambil membeli-belah jika ada yang berkenan di hati!

Nurseri di lot tepi unit rumah Mee Lan Ting penuh dengan pelbagai jenis pokok buah, herba serta bunga-bungaan - seronok menjamu mata di situ! Mak Aji kongsikan beberapa foto berikut:

Bersama-sama tauke nurseri, Mee Lan Ting.
Sejenis kaktus - teringin tetapi Mak Aji tahan sahaja nafsu!
Berikut pula antara pokok yang dibawa pulang:

Sejenis ginseng menjalar, ginseng noto yang katanya boleh membantu menurunkan kolesterol dan tekanan darah.
Pokok betik sekaki.
Pokok seperti setawar sebagai penawar Denggi!
Pokok bangun-bangun untuk mengubat batuk.
Pokok ceri Barbados.
Pokok ajaib.
Pokok epal bidara.
Buah epal bidara.

Tertunai sudah kehendak terhadap beberapa pokok yang tersenarai dalam wishlist Mak Aji untuk sekian lama! Jangan buat tambahan pada wishlist lagi, sudah!!

Oh ya, Mak Aji juga hanya sempat mengangkut dua pasu dengan harga RM7 sepasu - Mak Aji memandu kereta sedan biasa - perlu pandu Hilux barulah boleh memborong pasu - berat yang amat!

Apapun, seronok berbelanja di nurseri ini masih terasa, he he!! Nantikan Mak Aji datang lagi ya!


Catatan: Keterangan lanjut tentang ginseng noto/notoginseng boleh dibaca di sini:
http://www.smart-publications.com/articles/lower-cholesterol-and-improve-cardiovacular-function-with-notoginseng

Wednesday, 24 September 2014

Larangan Berkebun Berkuatkuasa Serta-merta!

As-salam.

Anda tentu terkejut akan larangan ini, kan! Ini larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di rumah Mak Aji - siapa lagi kalau bukan Pak Aji! Alasannya - tukang kebun kena demam Denggi! 

Pada hari Khamis lepas Mak Aji bertolak ke Skudai untuk berziarah anak cucu - lama tidak bertemu mereka, tambahan pula cucu bercuti sekolah dan abah mereka sedikit sibuk dan tidak berkesempatan membawa mereka balik bercuti ke Sungai Buloh - apa lagi, kami yang pergi!

Sebelum berangkat ke sana, Mak Aji (walaupun pada ketika itu badan sudah mula kurang sihat dan suhu badan mula naik, segala urat sendi mula sakit-sakit juga), terpaksa menyelesaikan terlebih dahulu kerja-kerja menanam rumput di laman belakang - 10 keping rumput mutiara dengan harga RM1.70 sekeping dibeli sehari sebelumnya. Kalau mengharapkan anak yang tinggal untuk menyiramnya, takut asyik terlupa, mahu kering rumput itu. Ini yang sempat dibuat sebelum bergerak ke Johor:

Selesai 10 keping rumput bersaiz 1 x 2 kaki Mak Aji tanam. Berpeluh sampai ke keting juga dibuatnya.
Mak Aji juga tambah 4 keping stepping stone jenis refleksologi  seperti yang disarankan!

Sekarang tinggal lagi mahu dipenuhkan bed dengan tanaman pilihan agar penuh - sudah hampir siap!

Berbalik ke cerita asal. Mak Aji sampai sahaja di Skudai demam makin teruk dan suhu badan naik. Mak Aji bertahan dengan ubat demam untuk mengawalnya. Pada hari pertama dan kedua di sana Mak Aji berurut (demam urat, kut!) tetapi memandangkan demam masih tidak baik-baik, Mak Aji ke klinik - doktor kata jangkitan pada tekak, bengkak katanya. 

Pada hari Sabtu kami pulang ke KL dalam keadaan Mak Aji masih sedikit demam dan berasa badan cukup letih luar biasa. Pak Aji bertegas membawa Mak Aji ke klinik lagi. Semasa menyarungkan stokin untuk keluar, Mak Aji perasan ruam merah mula timbul di betis dan paha - Dengue alert!!

Setelah diuji darah dan disahkan Denggi Pak Aji membawa Mak Aji ke KPJ Damansara dan Mak Aji sempat sehari semalam di situ. Setelah didapati platelet darah merah mula naik dan doktor berpuas hati Mak Aji dibenarkan balik pada petang semalam, alhamdulillah!

Jadi, untuk beberapa hari ini Mak Aji hanya memerhati laman dari dalam rumah sahaja - ada juga Mak Aji curi-curi keluar sekejap-sekejap untuk melepaskan gian!

Mak Aji masih berasa letih dan cepat penat. Sementara itu Pak Ajilah yang mengambil alih tugas di rumah, alhamdulillah. Namun begitu, al-maklumlah orang lelaki di dapur, ala kadar sahajalah - pejam sebelah mata sahajalah! 

Doakan Mak Aji cepat pulih ya!





Sunday, 14 September 2014

Disapa Haruman Kesidang

As-salam.

Beberapa hari lalu sambil Mak Aji meninjau-ninjau laman hadapan Mak Aji disapa lembut oleh haruman kesidang yang cukup wangi. Alhamdulillah seronok rasanya pada ketika itu! Jambak bunganya tidak kelihatan namun harumannya cukup untuk menandakan kehadirannya! Setelah dibelek-belek maka kelihatanlah bunganya:

Alhamdulillah atas anugerah-Mu!
Sila abaikan benda yang di hujung kanan atas - bukan hantu yang enter frame, sekadar jari
jemari Mak Aji memaut ranting!



Tepus Wangi dan Asparagus

As-salam.

Petang semalam Mak Aji mendapat tambahan kepada koleksi herba daripada Diana KBB - Tepus wangi yang pernah disebut oleh Diana dari blog Kebun Bahagia Bersama DI SINI dan juga Ibu Qistina DI SINI. Mak Aji mahukan tepus wangi untuk kegunaan anak menantu serta cucu Mak Aji yang agak kurang sihat dengan batuk selsema yang mengganggu tidur mereka. Tepus wangi juga dikatakan boleh dibuat air rebusan untuk mengalami suasana spa apabila dibuat air mandian! Lihat apa yang Mak Aji dapat semalam:

Tepus wangi - yang di dalam plastik untuk dibuat air mandian.
Ini pula bunga tepus wangi yang kembang di pangkal pokok!

Selain tepus wangi Mak Aji juga dapatkan benih asparagus - cemburu melihatkan rakan-rakan FB menanam asparagus. Mak Aji juga dimaklumkan bahawa pucuknya juga boleh dimakan! 


Benih asparagus Connover Colossal.

Berikut rupa asparagus connover colossal, memang colossal saiznya!:

Inilah yang diidamkan agar dapat dihasilkan nanti, insya-Allah!!
Sumber foto: www.imagejuicy.com

Jom tanam asparagus pula! Tumis mudah-mudah taruh udang segar sedap tu (macam yang dimasak di kedai tomyam tu)!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...