Mak Aji baru sahaja selesai berurut seluruh badan dengan seorang tukang urut yang juga merupakan saudara (bau bacang). Mak Aji memang puas hati dengan urutannya. Alhamdulillah dapat juga tukang urut yang bagus! Mak Aji juga baru tahu yang dia juga boleh bertungku - lamanya tidak merasa batu tungku - sesiapa yang pernah bertungku tahulah betapa sedap dan ringannya badan selepas diurut dan ditungku sekali!!
Apa yang bagus dengan kakak ini, semasa berborak dia sempat memberi petua yang belum pernah Mak Aji dengar - tentang pokok semalu.
pokok semalu |
Kalau selama ini Mak Aji amat tidak sukakan (bermusuh dengan) pokok semalu sebab tangan kadang-kadang terluka semasa membuang rumpai gara-gara duri semalu. Sekarang Mak Aji kena 'semak semula' permusuhan tersebut! Insya-Allah banyak lagi petua yang bakal dikorek daripadanya yang kemudiannya akan dikongsi nanti!
Menurut tukang urut ini, pokok semalu yang dicabut menggunakan playar (keseluruhan pokoknya termasuk akar) direbus di dalam periuk hingga menggelegak. Biarkan sejuk sedikit sehinggalah agak-agak boleh dimasukkan tangan atau kaki di dalam air rebusan itu (masukkan air itu ke dalam besen atau baldi terlebih dahulu!).
Air rebusan ini cukup baik untuk mengekalkan kelembapan tangan dan kaki, menghilangkan gatal-gatal tangan dan kaki akibat 'makan sebayan' (loghat Kelantan) atau tangan dan kaki 'dimakan' dek air atau istilah saintifiknya, Athlete's foot dan juga cekam pada kuku tangan dan kaki.
Foto Athlete's foot. |
Gatal-gatal tangan jenis ini dan juga tangan (keliling kuku) yang agak merah dan bengkak-bengkak (semacam dipenuhi air) - biasa dialami mereka yang banyak 'main air' seperti tukang masak, tukang cuci pinggan dan tukang cuci baju (basuh tangan).
Sebenarnya tukang urut ini juga pengusaha warung yang setiap pagi memasak pelbagai hidangan untuk sarapan dan juga makan tengah hari dan melihatkan tangan (akibat banyak 'main air' dalam proses memasak) dan kakinya, tiada langsung kesan jenis kerja tersebut pada tangan dan kakinya (akibat berdiri hampir sepanjang hari - tiada langsung pecah tumit dan sebagainya!!) - She is a living proof!
Petua di ataslah yang diamalkan olehnya selama berpuluh tahun lepas!! Mak Aji belum menguji sendiri lagi petua ini tetapi berharap agar petua ini membawa manfaat!
Sumber petua: Kak Lah Tukang Urut (Sg. Buloh).
No comments:
Post a Comment