As-salam.
Alhamdulillah percubaan pertama som tham menjadi dan oleh kerana ada rakan-rakan blogger yang ingin tahu versi som tham yang Mak Aji buat, berikut Mak Aji perturunkan:
|
Fotonya sekali lagi ya, bikin kecur air liur! |
|
Lesung som tham yang diimport khas dari Siam
(tapi melambak di Kota Bharu!)
|
Bahan-bahannya:
250gm betik mengkal yang disagat kasar
1 biji tomato dipotong 8 bahagian (Mak Aji tak buang bijinya)
2 biji asam limau nipis diambil jusnya
1 sudu besar nisan/gula daripada nira kelapa/gula biasa - sesuaikan ikut selera
3 sudu besar kacang tanah yg disangai (goreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar)
2 sudu besar udang kering (basuh, toskan)
2 ulas bawang putih
20 ulas cili api (Mak Aji suka pedas, boleh kurangkan jika tak tahan pedas)
1 sudu makan sos ikan/nam pla (boleh tambah jika kurang masin)
Cara-caranya:
Masukkan bawang putih dan cili api ke dalam lesung (lesung kayu som tham, kalau ada), dan tumbuk kasar. Masukkan udang kering, juga tumbuk kasar. Masukkan gula nisan/gula biasa, jus asam limau nipis dan tumbuk sedikit. Masukkan tomato dan lenyek-lenyekkan sedikit. Masukkan sos ikan dan akhir sekali masukkan betik. Tumbuk sedikit (jangan kuat-kuat) serta gaul rata. Rasa dan cuba sesuaikan rasa masin, masam, manis serta pedas mengikut selera anda sendiri! Sebelum dihidangkan tabur kacang tanah.
Catatan: Mak Aji tidak masukkan garam sebab sos ikan sudah sedia masin. Juga tiada MSG sebab Mak Aji tidak pakai perasa itu. Mak Aji guna gula nisan, jadi jika guna gula biasa kena kurangkan sedikit ya! Kalau anda suka kacang panjang, anda boleh patah-patahkan sepanjang 2 inci panjang dan masukkan juga dan gaul. Anda juga boleh masukkan kangkung jika suka, juga dipatah-patahkan dan gaul. Selamat mencuba dan harap menjadi!!