About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday, 30 October 2013

Puas Menggayakan Pisang

As-salam.

Beberapa hari lepas sekembalinya Pak Aji dari Surabaya, terus dikerjakannya pokok pisang (dengan bantuan Hamzah tentunya). Buahnya sudah mula masak di pokok sepeninggalannya dan pokoknya juga sudah mula layu (begitu rupanya perangai pokok pisang ini ya! - baru kutahu!). Inilah hasil daripada setandan pokok pisang abu:

Yang masak sudah mula dimakan tupai agaknya!
Ini ada lagi!
Sempatlah Mak Aji bawa pisang ke Skudai untuk anak cucu (macam orang tua-tua dulu-dulu, kan, bawa ole-ole hasil tanaman dari kampung untuk anak-anak di bandar! (tua sangatlah pula rasanya diri ini!) 

Selebihnya ada yang direbus (yang masaknya) dan untuk kali ini Pak Aji tuang madu, kicap serta ditaburnya keju parut (mozarella saja yang ada) - sedap juga ya semasa pisang masih panas-panas!

Pisang juga dibuat pengat dan dibuat pisang goreng. Pisang masih ada lagi tetapi Mak Aji sudah ketandusan idea untuk menggayakannya!!

Mabuk pisanglah kami ya!



Tamu yang Tidak Diundang!

As-salam.

Pokok ceri yang besar di tanah sebelah hadapan rumah terbukti mengundang tamu yang tidak diingini. Pokok ini sedang berbuah lebat sekarang dan laman Mak Aji bertaburan dengan buahnya yang ranum - itu yang disukai sang monyet. Lihatlah aksinya:

Ada aku kisah harga gula naik???
Jom main enjut-enjut!
Aku tak payah beli gula, ceri ini sudah cukup bagiku!
Tinggi sangatlah pulak kau ya!
Sebelum memanjat pokok ceri sempat dia main cak cak dengan Mak Aji sebelum Mak Aji cabut masuk ke dalam rumah:

Menyorok di belakang kerusi batu.
Lari untuk memanjat pokok ceri.
Catatan: Empat foto atas diambil dari dalam rumah sahaja - takut nak keluar dah!




Tanaman Dwifungsi

 As-salam.

Mak Aji suka akan usaha menanam pokok yang memberi dua fungsi secara sekaligus, sebagai tanaman hiasan dan juga tanaman yang boleh dimakan (tentunya ada khasiatnya yang tersendiri). Laman menjadi cantik dan pada masa yang sama memberi hasil tuaian yang berkhasiat khusus untuk tukang kebunnya dan juga seisi rumah!

Antara contoh pokok yang ada fungsi demikian (yang ada di laman Mak Ajilah), seperti berikut:

Bunga telang yang cantik memikat birunya. 
Pokoknya juga cantik apabila lebat bunganya.
Bunga gincu (Mak Aji saja boh nama tu!) yang kelopak kiri dan kanan itu boleh dibuat salad! Pokoknya juga
cantik apabila ditanam sederet sebagai pokok sempadan (hedge).
Pegaga - siapa yang tidak tahu akan khasiatnya?! Juga berfungsi sebagai tanaman hiasan, apalagi bila ditemankan dengan ikan gapi.
Bunga jarum tujuh bilah (oren).
Bunga daun tujuh bilah (ungu).
Daun pokok daun tujuh bilah dikatakan boleh mengubati kanser. Apabila pokok ini banyak berbunga, berseri juga laman kita.

Mak Aji cuba menggabungkan pokok cili (fungsi) dengan tanaman hiasan lain di ruang yang sama - kira semacam dwifungsi jugalah ya, he he!

Anak cili di kiri bawah.
Anak cili juga di kiri bawah.
Moga bahagia dan makmurlah pokok cili yang dikawankan dengan pokok hiasan lain! 




Berati-ati di Laman

As-salam.

Beberapa hari lepas pokok ati-ati yang dibawa balik dari nurseri tempoh hari di tanam ke tempatnya sebagai pokok sempadan:






Ada empat jenis semuanya, cukup untuk ruang yang diperuntukkan untuknya. Mak Aji paling suka foto yang paling atas, cukup unik warnanya, kan!

Berikut pula foto keseluruhan ruang:

Pokok ati-ati berada di bahagian bawah sekali, berstur sederet.


Tamu Lain Pula

As-salam.

Petang semalam bunga hoya pula yang menerima kunjungan kupu-kupu. Mari kita lihat aksinya yang begitu asyik sampai tertungging-tungging!:









Baru Kutanam Sudah Berbunga!

As-salam.

Alhamdulillah setelah meninjau-ninjau di laman, adalah ruang untuk pokok kemuntingku. Sambil membantu menanamnya, baru Mak Aji perasan yang pokoknya sudah siap kudup bunganya! Maka berbunga-bungalah hati Mak Aji!! Terima kasih banyak-banyak Rose, insya-Allah tidak lama lagi berbuahlah dia dengan izin-Nya jua! 



Sudah terbayang di ruang mata buah kemuntingnya! Nyam nyam nyam!!!



Menyirap Mulberi

As-salam.

Alhamdulillah hujan yang turun saban hari membenarkan kita berehat sebentar daripada kerja menyiram, kecuali untuk pokok yang di bawah teduhan. Berkat turunnya hujan juga buah mulberi banyak yang masak ranum!:

Kecur air liur dibuatnya!
Hasil tuaian petang semalam.
Projek menyirap mulberi asyik tertangguh sahaja dan memandangkan petang semalam hasil tuaian semalam dan juga sehari sebelumnya agak-agak cukup, maka alhamdulillah menjadilah sirap mulberi seperti berikut:

Dapatlah sirap hampir separuh botol Sunquik. Jom minum!!


Monday, 28 October 2013

Buah Nona

As-salam.

Semasa kami dalam perjalanan balik ke KL dari Skudai, kami menyinggah di R & R Pagoh untuk solat. Sebelum masuk semula ke kereta, kami menyinggah di gerai buah. Sempat kami membeli kerepek sebagai ubat tahan mengantuk dan juga buah jambu madu serta buah nona seri kaya. Mak Aji baru pertama kali membeli buah nona yang kelihatan begitu segar sekali dengan harga RM12 sekilo. Ada versi berkulit hijau dan ada yang berkulit merah. Harganya sama sahaja. Semasa Mak Aji budak-budak arwah emak ada menanamnya di belakang rumah dan pokoknya asyik berbuah. Buah itu merupakan antara buah kegemaran arwah emak. Buahnya dibeli dan bijinya disimpan untuk dijadikan benihnya pula. 

Segar buahnya.
Enak rasanya!


Nostalgia Buah Kemunting

As-salam.

Pokok kemunting yang dipamerkan oleh Rose dalam blog Semua Menjadi cukup menggamit nostalgia. Arwah ayah Mak Aji pernah bertugas sebagai guru di S.K Tok Bali, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan semasa Mak Aji masih kecil. Pada ketika itu setiap pagi arwah perlu memandu ke Semerak terus ke tempat untuk menaiki perahu. Setelah berperahu dia terpaksa pula berjalan kaki untuk sampai ke sekolah. Sepanjang-panjang berjalan kaki ke sekolah terdapat begitu banyak pokok kemunting tumbuh meliar! Sesekali kami mengikut arwah ayah ke sekolahnya dan kami membawa baldi untuk mengisi buah kemunting. Arwah mak akan menghasilkan jem kemunting yang to die for! Masih terasa kesedapan jem tersebut! 

Dek kerana itulah apabila ada sahaja pokok kemunting Mak Aji terus sambar sahaja! Pada lewat pagi ini kiriman daripada Rose tiba. Kirimannya termasuklah juga benih bayam malabar, sambung nyawa ungu, biji benih sawi bunga, petola bantal, timun betik, kangkung serta durian Belanda! Terima kasih banyak-banyak Rose! 

Untuk manfaat mereka yang belum pernah melihat buahnya ini dia:

Buah kemunting
Sumber foto:  ibujunes.blogspot.com


Seronoknya! Petang ini kenalah Mak Aji tinjau di mana agak-agaknya tempat kemunting akan ditanam. Begitu juga dengan benih-benih lain ini. 



Wangimu Menggamit Tamu

As-salam.

Bunga akar dani masih berbunga lebat menghiasi arbor hasil kerja tangan Pak Aji sendiri. Sambil membelek pokok di laman Mak Aji terpandang tamu pagi yang masya-Allah cukup cantik sekali. Tamu ini datang agaknya dek tertarik oleh wanginya bunga akar dani. Saksikan:

Sungguh cantik warna kuningmu!!




Hoi Hoya Hoi

As-salam.

Setangkai bunga hoya yang disiram embun pagi begitu indah sekali. Mari Mak Aji kongsikan fotonya:




Masya-Allah begitu indah sekali ciptaan-Mu ya Allah!!



Hati Gumbira Tidak Terkata!

As-salam.

Kami kembali ke rumah dari menziarah anak cucu di Skudai, Johor sekitar jam 5.30 petang semalam. Usai membawa barang-barang masuk ke rumah, Mak Aji mula melawat kawasan laman dan berasa cukup teruja apabila disambut pulang dengan ini!:

Cuba teka!!
Ada lagi....
Dan lagi.....
Dan lagi.....

Akhirnya, alhamdulillah pokok anggurku berbuah lagi dan insya-Allah kami dapat melihatnya dan insya-Allah akan dapat merasanya nanti! 

Pagi ini Pak Aji mengejek Mak Aji apabila Mak Aji memaklumkan bahawa Mak Aji rasa pokok anggur berbuah. "Mimpi ke??" katanya!

Nampak gaya mimpi sudah menjadi kenyataan! Terima kasih banyak-banyak Rose dari blog Semua Menjadi kerana memberi petua agar anggur berbuah! 




Wednesday, 23 October 2013

Sekitar Laman di Pagi Hari


As-salam.

Sementara cucunda tidur balik setelah mandi dan minum susu, keluarlah Mak Aji ke laman. Orang kata wordless wednesday, Mak Aji kata less words on a wednesday, he he!! Biarkan sahaja foto bercerita:

Tuaian mulberi hari ini setelah menuainya 3 hari berturut-turut! Besar-besar saiznya daripada biasa - sebab hujanlah kut!
Cukup meriah buah mahkota dewa!
Ada yang dah nak merah - nak cuba potong nipis dan keringkan, pastu, ........
My lovely peach hibiscus. Love the colour!!
Melur kembang di laman.
Di siram hujan.
Kunyit hitam yang dibongkar untuk dibuat ulam dan juga ditanam semula. Semacam kacang tanah pun ada!
Last but not least, anak heliconia jenis sexy pink!!

Catatan: Kata tak nak cakap, cakap juga - apa nak buat tabiat orang tua begitulah! Kalau tak berleter, tak sah!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...