About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Tuesday, 30 April 2013

Amaryllis yang Ceria

As-salam.

Sesampai sahaja Mak Aji dari kampung, terus sahaja Amaryllis yang dijenguk dahulu. Memang betul kata kawan-kawan blogger, bunganya kembang lama, sempat kembang sehinggalah Mak Aji balik! Seronok melihat warnanya yang cukup ceria sekali:




Mahu sahaja rasa hati untuk menambah koleksi amaryllis berwarna lain lagi! 

Mak Aji sempat ke nurseri pada petang ini (sebelum Pak Aji kembali malam ini, ada projek yang perlu diselesaikan, he he!!) untuk menambah stok tanah baja serta membeli pokok kari (yang agak sudah besar saiznya) serta pokok tenggek burung (untuk dibuat ulam) . Nantikan entrinya esok ya!




Friday, 26 April 2013

Pokok Sirih

As-salam.

Sudah lama Mak Aji berkenan akan pokok sirih. Suka Mak Aji melihat pokok sirih memanjat junjung. Teringat zaman kanak-kanak bila berkunjung ke kampung sebelah arwah ayah. Pokok sirih dan pokok pinang ditanam sebahagian besar orang di kampung sebab memang mereka makan sirih dan pinang tersebut, tidak payah berbeli. 

Dek kerana itulah Mak Aji beli sepokok. Sejak kebelakangan ini barulah nampak segar sedikit. Mak Aji masih tercari-cari tempat untuknya memanjat. Kalau mendapat kelulusan tentu sirih ini akan berkawan dengan kacang panjang, bunga telang serta tomato, kan!

Lihatlah, kasihan dia, entah ke manalah nak dipanjatnya nanti??:

Masih sedikit daunnya, belum cukup untuk dibuat sirih junjung!


Update Kacang Panjang dan Bunga Telang

As-salam.

Pak Aji sudah pindahkan anak benih kacang panjang ke polibeg besar dan dia kata tidak perlu tanam di tanah sebab jangka hayat kacang panjang pendek sahaja, jadi tidak perlu tempat khusus, sekadar ada tempat memanjat cukuplah. 

Mak Aji pula konon-kononnya berangan-angan untuk meneroka kawasan baru di tepi pagar hadapan yang bertembok dan berjubin. Mahu rasanya dibuat container gardening di situ. Banyak bekas polisterin di belakang rumah kononnya akan dimanfaatkan untuk bertanam sayur sebab batas tidak terbuat-buat. Sudah terbayang pokok kacang, bunga telang serta tomato di situ....

Apakan daya projek tidak mendapat kelulusan. Lagipun sementara Pak Aji tiada di rumah beberapa hari ini, Mak Aji pun akan balik kampung juga esok. Maka untuk meneruskan projek 'larangan' tidak sempat pun. Kalau banyak masa sepeninggalan Pak Aji mahu sahaja diteruskan projek. Apabila dia balik sudah siap, dia diam sahaja, he he!! 

Jadi, pokok kacang dan bunga telang insya-Allah akan memanjat tali rafia yang bakal diikat ke pergola jugalah nampak gayanya: 

Alhamdulillah ada tiga pokok yang cukup sihat.
Cuma dua pokok bunga telang. Dua kantoi dek hujan lebat.
Nanti nak manjat mama pasang tali ya!!

Catatan: Pak Aji memang suka pacak-pacak sahaja keratan batang pokok di pasu atau polibeg. Menumpang katanya. Yang tidak tahan tu, yang menumpang pula yang lebeh pulak! 



Patah Tumbuh Hilang Berganti

As-salam.

Pokok betik di belakang rumah sudah sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak berjasa dengan mengeluarkan begitu banyak buahnya, alhamdulillah. Bukan hanya kami malah sempat Mak Aji berikan kepada jiran-jiran, juga sempat dibawa untuk kenduri di ofis dahulu. 

Apabila pokoknya mengeluarkan anak, maka kami pindahkan pula anak-anaknya ke bahagian hadapan laman. Sekarang pokok di belakang sudah tinggal arwah dan anak-anaknya pula bakal menggantikan tempat. Tidak lama lagi akan masaklah buah sulungnya:

Antara buah sulung pokok baru.
Hajat membuat som tam sendiri setakat belum kesampaian (walau lesung kayu sudah lama dibeli dari Tak Bai, Thailand), jangan sampai pokok lama sudah mati dan pokok baru sudah berbuah som tam tidak muncul-muncul lagi ya! Oklah, oklah, nanti Mak Aji buatlah ya! Syy, jangan kasi tau Pak Aji, nanti kena perli!

Lesung som tam yang belum pernah digunakan lagi!
Takpa, takpa nanti kita guna ya!




Bayam Mengancam

As-salam.

Sejak sehari dua ini yang hujan turun hingga ada kalanya banjir, pokok bayam jiran sebelah sudah semakin subur hingga melepasi ketinggian pagar. Adalah setinggi 6/7 kaki kut. Kelihatannya semacam mengancam kami di sebelah sini (sudahlah tanah jiran itu agak lebih tinggi daripada kawasan kami). Semacam mahu menerkam ke mari lagaknya!

Tinggi bayam melepasi pagar chain-link yang sudsah agak uzur.

Tunggu Mama Balik ya!

As-salam.

Pada pagi ini Mak Aji perhatikan bunga amaryllis yang pernah berbunga hanya sekali seumur hidupnya sudah mula mengeluarkan kudupnya. Sukanya hati tidak terkata! Mahu lihat bunganya semasa pertama kali kembang dulu? Ini dia:

Berbunga-bunga hati bila melihat semula foto lama ni! 
Berikut kudupnya yang baru kelihatan pagi tadi:

Tunggu mama balik dari kampung baru kembang ya!!
Mak Aji hendak balik kampung lagi esok dan akan kembali dua hari selepas itu. Harap-harap sempatlah melihat kembangnya amaryllis ni ya!! Tunggu mama tau!!



Saturday, 20 April 2013

Mulberiku

As-salam.

Setelah operasi pangkas-memangkas tempoh hari agar pokok mulberi merendang dan tidak menegak terlalu tinggi dan lebih mudah memetik buahnya, maka inilah hasilnya:

Begitu banyak tunas baru dan buahnya juga!
Cantik pucuk barunya.
Insya-Allah banyaklah nanti buahnya. Mahu juga dicuba buat jem kalau cukup banyak nanti!


Hutan Bandar

As-salam.

Ketika Mak Aji bertugas di JB, untuk pertama kalinya Mak Aji menemui Hutan Bandar di bandaraya itu. Setiap kali melalui pinggir kawasan itu, meskipun berada di dalam kereta, masih terasa redup dan sejuk mata memandang! 

Semasa di rumah Along, Mak Aji tidak dapat membuat senaman (briskwalking atas treadmill) seperti biasa, jadi Mak Aji (bersenjatakan kasut sukan) ajak Along jalan-jalan di sekitar kawasan rumahnya. Diajaknya Mak Aji ke Hutan Bandar Taman Impian Emas (kawasan perumahannya) dan untuk sekitar setengah jam kami berjalan sambil menikmati suasana pagi dalam hutan! Mari Mak Aji kongsi foto-foto berikut:


Along di salah satu jalan masuk ke hutan bandar tersebut.
Kerusi batu di hutan tersebut. Jom naik haji!!
Bunga Mar pun ada di sini, mountainebony!
Taman mainan pun ada cuma kurang jagaan, rumput pun panjang! Yang terlintas pacat aje!!
Macam nampak tak nampak aja bunga rumput ni, halus manis, kan!!
Apapun, setelah berpeluh sedap sedikit rasa badan. Dalam perjalanan pergi dan balik ke hutan tersebut, kelihatan bunga putih ini yang pokoknya dijadikan pokok pagar di tepi pejalan kaki:  

Bunga apa entah??
Sekuntum lagi bunga yang sama.
Ini pula pokoknya.
Mak Aji sukakan konsep hutan bandar ini dan usaha mewujudkan hutan seperti ini patut dicontohi oleh pihak-pihak berwajib yang lain!!

Berikut sedikit keterangan tentang konsep Hutan Bandar yang dipetik dari Wikipedia:

Hutan bandar ialah hutan atau sekumpulan pokok yang tumbuh di bandar, pekan atau subbandar. Dari konteks yang lebih luas, ia boleh ditakrifkan sebagai apa-apa jenis tumbuhan tanaman kayu yang tumbuh di dan di sekitar penerokaan manusia. Dari konteks yang lebih spesifik (juga digelar taman hutan), ia menjelaskan kawasan-kawasan yang ekosistemnya diwarisi dari peninggalan rimba. Penjagaan dan pengurusan hutan bandar digelar perhutanan bandar.

Hutan bandar memainkan peranan penting pada ekologi habitat manusia dalam pelbagai cara; ia menapis udara, air, cahaya matahari, menyediakan tempat berteduh untuk haiwan dan berfungsi sebagai kawasan rekreasi untuk orang ramai. Mereka menyeimbangkan cuaca tempatan, melengahkan angin ribut, dan meneduhi rumah dan perniagaan untuk menyimpan tenaga. Ia amat penting dalam proses penyejukan pulau panas bandar, dan berpotensi mengurangkan bilangan hari-hari ozon yang tidak sihat yang menghantui bandar-bandar utama pada bulan-bulan puncak musim panas.

Di kebanyakan negara sekarang kefahaman tentang kepentingan ekologi asli pada hutan-hutan bandar telah meningkat. Beberapa projek sedang diadakan bertujuan untuk memulihkan dan mengekalkan ekosistem, merangkumi penghapusan mudah pengautan daun dan penghapusan tumbuhan ceroboh kepada pengenalan semula spesies asal dan ekosistem riparian.


Catatan: Kalau terjumpa istilah yang pelik-pelik dalam petikan ini, jangan tanya Mak Aji ya, namapun copy paste aja!



Yang Menyambut Kami Pulang

As-salam.

Sebaik sampai ke rumah dari Skudai, Mak Aji disambut dua kuntum bunga ros dan anak benih yang sudah mulai tumbuh selama kami tiada di rumah. Kalau tiba di Fantasy Island (suatu siri TV tidak lama dahulu) kita disambut kalungan bunga orkid, Mak Aji dan Pak Aji pula disambut dengan ros!!

Ros pertama.
Ros kedua.
Ada yang sudah bercambah, ada yang belum!

Syukur alhamdulillah pokok-pokok sihat, cuma sedikit layu dek panas terik. Nasib baiklah anak bujang tolong siramkan sepeninggalan kami.



Yang Ditanam di Pusara

As-salam.

Lama sungguh rasanya tidak membuat entri dalam blog ini. Kali terakhir, sebelum ke Skudai untuk menziarah anak cucu di samping menghadiri majlis Hol Habib Ali bin Zaenal Abidin al-Idrus di Masjid Sultan Ismail di Batu Pahat. Dalam perjalanan pulang ke KL kami menyinggah lagi ke Batu Pahat untuk menziarah makam beliau. 

Mak Aji pernah ditanya oleh seorang pengunjung blog tentang apa jenis pokok/tumbuhan yang sesuai ditanam di atas pusara. Selepas membuat sedikit rujukan sana sini, Mak Aji memaklumkan bahawa kebiasaannya pokok yang ditanam jenis yang tidak berakar tunjang dan yang tidak tumbuh terlalu besar sehingga menyukarkan kerja menggali kubur. Jenis tanaman pula biasanya jenis puding, bunga cina serta melur.

Semasa di makam Habib Ali Mak Aji sempat merakam bunga melur jenis duke of tuscany. Rupa-rupanya bunga bersaiz kecil sahaja. Walaupun begitu bentuknya yang berlapis-lapis cukup cantik. Wangi atau tidak, terlupa pula untuk menciumnya!

Duke of Tuscany (kalaulah boleh ditukar ke Duchess, sebab cantik biasanya pada perempuan, he he!!).
Makam Habib Ali serta keluarganya.
Tanah perkuburan tempat makam Habib Ali.
Masjid Sultan Ismail, Batu Pahat, lokasi majlis hol.
Wajah allahyarham Habib Ali.
Sumber foto: oghangbaado.blogspot.com




Saturday, 13 April 2013

Semaian Benih

As-salam.

Semalam Mak Aji baru menyemai benih kacang panjang, bendi dan bunga telang yang diperoleh dari kampung tempoh hari. Harap mereka akan sihat walafiat sementara Mak Aji tinggalkan untuk menziarah anak di Skudai esok tengah hari insya-Allah.:

Benih yang baru ditanam.

Cili Ungu Berbunga Sudah

As-salam.

Pokok cili yang sudah dipindahkan ke pasu dari semaian sudah menampakkan bunganya. Tidak sabar rasanya ingin melihat buahnya:

Bunga cili sudah berputik.
Banyak lagi anak cili ungu yang perlu dipindahkan ke pasu-pasu lain lagi.
Tidak termakanlah nanti cili ungu pulak. Berlebihlah pulak cili ungu ini, sesiapa yang di sekitar Shah Alam yang berminat boleh dapatkan gratis daripada Mak Aji!! (macam GA-lah pulak ya!!)



Yang Sedang Kembang

As-salam.

Pokok akar dani sedang kembang bergugus-gugus banyaknya di laman. Cukup ceria dibuatnya:



Bunga melur ini juga (seperti juga bunga anting-amting puteri) tidak berhenti-henti berbunga.


Perhatikan tiga tona warna pada bunga kertas ini. Sayang untuk dipangkas, tunggulah sehingga selesai berbunga nanti.


Bunga kemboja juga tidak mahu kalah.


Bunga kenanga di bawah cukup lebat bunganya tetapi sayang agak kurang wangi.





Thursday, 11 April 2013

Senduduk Putih

As-salam.

Ingin dikongsi  foto pokok senduduk putih yang sedang menghasilkan bunga untuk pertama kali - cukup seronok tuannya. Pokok ini dibeli di Nurseri Pak Ali tidak lama dahulu. Kata Pak Ali pokok ini agak sukar ditemui, tidak seperti senduduk ungu yang tumbuh meliar:

Foto senduduk putih kembang.
Senduduk putih dikatakan banyak khasiatnya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang khasiat senduduk putih, anda boleh juga merujuk di sini:


Dia Sudah Mari!

As-salam.

Alhamdulillah setelah beberapa hari membuat persiapan, kerusi laman sampai juga ke rumah. Persiapan tapak terpaksa dibuat supaya kerja memotong rumput tidaklah perlu dibuat di celah-celah kaki kerusi. Sebagai tambahan juga satu lagi hiway terpaksa dibuat dari arbor ke kerusi laman. Ini rupanya yang masih belum dikemaskan sempurna:. Apapun Pak Aji sudah merasmikannya dengan sekole kopi!: 

Pak Aji bersantai dengan sekole kopi!
Ini hiway baru - batu-bata sepenuhnya sebab berlebihlah pulak!
Hiway asal yang sudah siap (jangan ambil pot pasal Ferrari Pak Aji di sebelah kiri itu ya!). Mahu senaman refleksologi?? jom ke mari!!
Insya-Allah esok bolehlah berkemas sedikit agar siap sepenuhnya untuk dinikmati oleh kami sekeluarga!  


Friday, 5 April 2013

Tinjau Kerusi Laman

As-salam.

Pagi ini kami meninjau lagi kerusi laman di sekitar kawasan berdekatan rumah kami (jalan besar Kuala Selangor sebelum masjid Sungai Pelong). Banyak jenis kerusi serta bangku yang ada. Mari Mak Aji kongsikan reka bentuk berserta harganya sekali, mana tahu ada kawan-kawan lain yang berminat juga!:






   
Pak Aji kata ambik yang ni aja tapi Mak Aji kurang berkenan.
Yang ini pun cantik juga.
Yang ini juga menarik.
Mak Aji paling suka yang ini!! Nak, nak, nak!! Tengok harga, haih, tengoklah (kena pecahkan tabung ni, he he).

Amacam, cantik, memang cantik, kan!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...