About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday, 30 November 2011

Kacang Botol atau Kacang Botor

Pak Aji mula memindahkan anak pokok kacang botol ke tanah beberapa bulan lepas. Ditanamnya di tepi pagar dengan harapan ia akan memanjat ke pagar. Sebaliknya ia memanjat ke pokok pisang yang berhampiran. Tahu-tahu saja sudah mengeluarkan buah sulungnya. Ini gambar kacang botol sulung kami yang dipetik untuk dijadikan ulam malam tadi. Sungguh rangup dan lemak sekali:

Kacang botol segar dari ladang.

Bunga 'Nasir'

Semasa bertugas di Johor Bahru, Mak Aji menduduki rumah institusi. Penghuni lama memang gemar bertanam. Semasa beliau berpindah beberapa buah lori tidak cukup untuk mengangkut kesemua pokok-pokoknya, jadi ada sebahagian yang terpaksa ditinggalkan. Antara pokok yang terpaksa ditinggalkan ialah pokok yang Mak Aji tidak tahu namanya, lalu menggelarnya pokok 'Nasir' saja, sempena nama tuannya! Tentu senyum tuannya, dapat diabadikan namanya pada pokok! Usah perasan, nanti Mak Aji tahu nama sebenarnya, akan bertukarlah namanya! Maaf ya, sementara itu, senyumlah untuk kredit yang diberikan ini! Inilah dia bunga 'Nasir', sekuntum saja yang sedang kembang di sudut pagar: 

Dari hadapan

Pandangan dari sisi

Monday, 28 November 2011

Khasiat Daun Pudina

Mak Aji cukup suka teh daun pudina (Mentha arvensis/field mint) selepas minum untuk pertama kalinya di al-Rawsha beberapa tahun lepas. Selepas mencari anak pokoknya, Mak Aji tanam ditanah tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, pokoknya hampir mati. Walau bagaimanapun Mak Aji sempat selamatkan dan pudina ditanam semula di tanah, di tempat lain. Selepas ini pudina perlu dipindahkan semula ke dalam pasu kerana rasanya pudina bersifat sedikit invasive, jadi perlu dikawal di dalam pasu.

Pudina banyak digunakan sebagai ulam dalam laksa, pewangi untuk nasi briyani, juga sebagai ulam dengan sambal. Daun pudina juga boleh dimasukkan sekali dalam air sirap kerana aromanya yang cukup harum. Sebagai tambahan, pudina juga sekarang ditanam secara komersial selain tumbuhan herba lain ekoran permintaan yang tinggi. 


Pudina dikatakan berkhasiat untuk penawar lelah dan batuk. (Caranya,  bersihkan 14 helai daun pudina dan ramas sedikit.  Masukkan dalam cawan kaca tahan panas dan bubuh air 3/4 penuh. Masukkan dalam cawan kaca tahan panas dan bubuh air 3/4 penuh. Masukkan gula batu. Masukkan cawan tersebut ke dalam periuk nasi letrik (nasi sedang mendidih dan bila cawan dimasukkan ia tidak tenggelam. Bila nasi sudah masak (air dah kering) keluarkan cawan dan biarkan sejuk. Keluarkan daun pudina dan minumlah air tersebut 3 hari berturut turut.  (sumber:http://www.melur.com/).


Perubatan cina menyebut pudina sebagai mempunyai ciri menyejukkan badan dan biasa digunakan untuk mengubat penyakit berkaitan paru-paru seperti demam selsema serta permulaan selsema, juga sesuai untuk membuang angin (juga gastrik. Caranya buatkan teh 'O' macam biasa, masukkan beberapa helai daun pudina, tutup cawan, selepas sekitar 5 minit, minum.) serta penyakit ruam kulit (juga jerawat. Caranya: buat jus pekat daun pudina, jadikan masker, untuk menjadikan kulit muka halus dan boleh atasi masalah gatal-gatal dan jerawat), juga untuk menghilangkan rasa mual dan sakit kepala (sapukan minyak yang dicampur daun pudina atau guna daun pudina segar dan hidu baunya), membantu mengubat kanser (enzim pada daun ini dikatakan dapat membantu melawan sel kanser dari terus merebak).  Wallhualam!


Ini pudina di belakang rumah:


Pudina

Sunday, 27 November 2011

Khasiat Rumput Cina

Pak Aji pernah diberi anak tumbuhan rumput cina (murdannia bracteata - Beijing spiderwort atau Rumput Aur Beijing, berasal dari Laos, Thailand dan Vietnam) ini oleh sepupunya kerana dikatakan berkhasiat untuk mencuci buah pinggang dan mencuci darah. Pak Aji biasa membuat air rebusannya dan diminum begitu sahaja. Apabila dijadikan amalan, katanya kencing menjadi lawas berbanding biasa. Pernah lihat tumbuhan ini?:

Rumput Cina
Tumbuhannya yang macam rumput itu. Yang tumbuh mencelah itu, dukung anak.
Setelah membuat sedikit rujukan, tumbuhan ini juga dikatakan boleh mengeluarkan angin dari dalam badan dan juga boleh mencairkan darah beku. Kaedahnya wallahualam, tidak dijelaskan.

Satu lagi sumber menyatakan bahawa berdasarkan buku Chinese Medical Herbs of Hong Kong, Jilid 6, halaman 160, keseluruhan tumbuhan ini digunakan. Tumbuhan ini manis, menyejukkan, mempunyai ciri anti-inflamatory dan mencairkan kahak. Tiga kegunaan perubatannya:

a. Tuberculous lymphadenopathy
b. Dysuria
c. Untuk kegunaan luaran furuncles

Tumbuhan ini juga dikatakan dapat menyejukkan badan. Caranya: Rebus lima tumbuhan ini dengan air sebanyak 3 cawan. Masukkan sesudu besar gula perang. Biarkan menggelegak sehingga tinggal secawan sahaja. 

Di Thailand, tumbuhan ini digunakan untuk merawat kanser tekak, hati, rahim, ileum, kulit dan sebagainya. Caranya: Ambil enam tumbuhan ini dan gunakan pengisar untuk menghancurkannya setelah dicampur dengan 4 sudu besar air, tapis, minum sebelum makan pagi dan sebelum tidur. Berikut amaran pada sumber maklumat ini:




Disclaimer:
We are not doctors and it is not our intension to practice medicine.
We cannot be held responsible for the consequences of self medication.
Use this information at your own risk.

Mak Aji sekadar berkongsi sahaja, semoga bermanfaat.

Khasiat Daun Kesum

Pucuk daun kesum (vietnamese mint) biasa digunakan sebagai salah satu ramuan penting dalam masakan Melayu. Mak Aji tanam kesum di belakang rumah untuk tujuan masakan asam rebus, asam pedas, ulam untuk laksa Kelantan, ulam untuk nasi kerabu dan jika tiada ulam lain untuk dimakan dengan budu. Rasa kesum yang dipetik 'segar dari ladang' memang berbeza daripada yang dibeli di kedai.

Daun kesum di belakang rumah

Tentang khasiat daun kesum pula, Mak Aji kurang arif. Walau bagaimanapun Mak Aji tertarik dengan rencana dalam Metro pada hari ini yang memaparkan khasiat  pucuk  kesum seperti yang boleh dibaca lanjut di sini!

Mengikut berita ini, Pok Nik (Mohamed Nor Awang), 60 tahun (bekerja sebagai penjual kayu api dan buruh) dari Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, Terengganu, beristeri empat yang masing-masing berusia 55, 42, 43 dan 37 tahun (ada 18 anak dan 12 cucu) mengekalkan stamina dan susuk tubuh menarik dan awet muda dengan mengamalkan memakan pucuk kesum dan pucuk ubi sebagai ulam!! Pada usia tersebut beliau tidak menghidap apa-apa penyakit berbahaya sehinggakan ada VIP yang datang menemui beliau untuk mendapatkan petua mengekalkan keharmonian berumahtangga dan kekuatan batin. 

Selain mengamalkan pucuk kesum dan pucuk ubi, Pok Nik juga mengamalkan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai setiap malam Jumaat untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga. Pantang beliau nombor satu ialah  tidur siang secara berlebihan dan beliau hanya berehat pada waktu malam. Mak Aji percaya jualan daun kesum dan pucuk ubi akan naik mencenanak selepas rakyat Malaysia membaca berita ini??!!

Saturday, 26 November 2011

Bunga Daisy, Bunga Butang

Mak Aji cuba ambil gambar bunga jarak dekat untuk melihat sejauh mana keupayaan kamera merakam perincian pada bunga. Sila lihat betapa cantiknya bunga biasa-biasa jika dilihat dari dekat:

Bunga butang - such brilliant colours!

Bunga daisy

Semoga dengan melihat bunga-bungaan ciptaan Allah ini, maka akan terbit rasa betapa kerdilnya kita berbanding Kebesaran Allah!!

Akar Dani

Mak Aji pernah tanam pokok ini dulu dan ia menjalar ke atas pergola. Pokoknya subur selalu berbunga dan oleh sebab pokok ini Mak Aji tanam di sebelah luar tingkap ruang tamu, maka apabila pokok mengeluarkan bunga, harum semerbaklah ruang tamu kami. Sekarang hanya tinggal nostalgia. Itu di rumah lama yang sudah ditinggalkan. Gambar di bawah pula pokok yang anak pokoknya dahulu kami bawa dari rumah lama. Pokok dah agak tinggi, sengaja dipangkas (dah agak lama tak pangkas) rantingnya supaya meninggi agar boleh memanjat ke pergola - soalnya, pergolanya masih entah di mana?? (Pak Aji kata tunggu dulu - tapi bila??) Janganlah sampai pokok atau lebih parah lagi Mak Aji yang merajuk!! Apapun mari kita lihat pokoknya dahulu:

Mana pergolanya?? Nak panjat ke mana??


Nilah dia bunga yang bakal terhasil nanti, tunggu!!
Kesian pokok ni ya, masih menunggu, setakat ini dengan sabarnya. Ingat, jangan sampai merajuk!!

Bunga Kenanga

Pokok bunga kenanga baru dipindahkan ke flower bed tempoh hari. Mak Aji tengok pokok ini agak serasi di tempat baru dan sudah mula mengeluarkan bunga walaupun baru setinggi sekitar dua kaki tinggi. Cuba lihat:

Pokok kenanga

Boleh tahan banyak juga bunga yang hampir mekar

Monday, 21 November 2011

Bunga di Laman

Pagi semalam, berbekalkan kamera baru, Mak Aji testing ambil gambar pokok dan bunga-bunga di laman. Ini hasilnya:

Kudup bunga jarum tujuh bilah

Bunga daisy

Bunga butang

Bunga tudung periuk

Lagi bunga tudung periuk

Kudup kemboja merah

Closer look - kemboja merah

Bunga ixora

Lagi tudung periuk sekuntum

Bunga liar

Pokok tepi pagar

Bunga orkid? Kurang pasti.

Susu kambing

Susu kambing lagi

Susu kambing juga

Keluarga besar gapi

Gapi - cukup rajin membiak!

Berenang cari makan

Gapi lagi
Amacam, gambar lebih baiklah daripada dahulu, alhamdulillah!

Saturday, 19 November 2011

Kemboja lagi

Pagi-pagi lagi menjenguk laman, meninjau-ninjau kemboja yang akan kembang. Ini gambar yang lebih terang - pun guna kamera telefon saja. Sehari dua lagi kembanglah!

Kemboja merah
Pokok hempedu bumi yang ditanam semula juga semakin subur dalam musim hujan ini:

hempedu bumi
Pokok cili ungu sudah menampakkan warna ungu pada daunnya:

Tuesday, 15 November 2011

Bunga Kemboja Jepun

Beberapa hari lepas pokok kemboja Jepun di hadapan rumah berbunga, tengah kembang. Lihatlah betapa cantik warnanya:

kemboja Jepun
Tadi ada kawan menyebut tentang kemboja yang biasa dibonsaikan dan bunganya berwarna putih. Harga anak pokoknya setinggi sejengkal saja sudah mencecah RM30?? Tidak terbelilah teman kalau sampai begitu harganya! 

Bila ke nurseri dan melihat jenis pokok ini dibonsaikan dan cantik bentuknya, teringin nak buat juga tetapi apabila terfikir bahawa jika kita sendiri diikat begitu, tak sampai hati pulak rasanya! Mereka pun hidup macam kita juga kan??

Monday, 14 November 2011

Pucuk Ketereh

Anak pokok ketereh baru setinggi sekaki dua dan nampak macam nak menegak sahaja tanpa ranting. Maka Pak Aji memutuskan untuk mengambil pucuknya agar bercabang nanti pucuk mudanya. Dapatlah barang 5, 6 helai untuk buat ulam. Berikut pucuknya:

pucuk ketereh
Bagi yang belum pernah dengar nama pucuk ini, kalau nak tahu, orang pantai timur memanggilnya pucuk ketereh tapi orang pantai barat menggelarnya pucuk gajus! Samalah tu.

Sunday, 13 November 2011

Flower Bed - sambungan

Awal-awal pagi selepas makan nasi goreng dan kopi di depan rumah, terus sambung projek di atas. Buatkan sempadan dengan menyusun batu bata merah (boleh tahan, harganya 46 sen sekeping! Dulu tahun 1988 masa bina rumah pertama kami, kosnya 14 sen satu!). Lepas tu, tanam semua pokok baki yang belum sempat ditanam semalam kerana hujan hampir berpanjangan sepanjang hari dari pagi ke malam. Cuma belum tambah lagi tanah untuk menaikkan sikit paras tanahnya. Juga belum kemas sisa batu tanah merah. Dah 99% siap, tinggal sikit lagi. Elok sahaja matahari mula panas, siap kerja. Berikut gambarnya:

nampak semak tanah orang sebelah, boring betul

harap-harap subur!

berderet macam polis berbaris


kamera telefon, kurang jelas bunga kemboja yang nak keluar

baru beli semalam, pegaga air, utk ikan gapi main sorok-sorok


Saturday, 12 November 2011

Beli Pokok Lagi

Alhamdulillah hujan reda, berpeluang ke nurseri, tempat biasa, supaya boleh kecek makcik pekerja Indo agar dapat pokok pada harga diskaun. Mak Aji beli beberapa jenis pokok pagar (hedge) sebab tak cukup, juga sejenis pokok bunga kecil purple dan pink terang (tak tahu apa namanya). Pokok malberi di bawah, sebenarnya sudah lama nak beli tapi tiap kali pergi nurseri, lupa nak beli. Masa bertugas di Johor Bahru dulu, ada penghuni lama rumah institusi yang Mak Aji duduk itu tanam pokok ini dan ketinggiannya sehingga ke tingkat atas! Itupun selepas kerap dicantas. Buahnya pula memang banyak dan burung-burung cukup suka datang makan buahnya!

pokok malberi RM6.00 sepokok

Bila dicampur-campur dengan pokok yang sedia ada (semai sendiri), rasa-rasanya cukuplah pokok untuk flower bed. Sebelum itu, ke kedai hardware (Pak Aji kalau kat situ, macam budak kecil dapat masuk kedai mainan, macam tak nak balik, habis segala barang dibeleknya, lama pulak tu!) beli batu bata merah untuk buat sempadan flower bed/curb agar lebih kemas dan agar boleh ditambah tanah lagi supaya lebih tinggi dan lebih senang dijaga, juga supaya tak payah banyak sangat tunduk (kesian belakang Mak Aji, nanti sakit!).

Semasa meninjau-ninjau flower bed, terpandang pokok kemboja sedang subur, daunnya besar-besar, kemudian terlihat tanda-tanda bunga nak keluar! Alhamdulillah! Tak sabar nak tengok, dekat setengah tahun menunggu!

Thursday, 10 November 2011

Betik Sulung

Selepas sekali pengalaman menunggu pokok betik membesar hingga berbuah dan nasib tidak baik dan pokoknya pokok jantan, maka kami terpaksalah tunggu pokok lain membesar. Kali ini alhamdulillah pokoknya betina dan sekarang sedang berbuah sulung. Tak sabar rasanya nak merasa buah sulung masak nanti!

Inilah buah sulung kami



Angkara Pokok Pisang

Sejak sebulan dua yang hujan kerap turun tanpa mengira pagi, petang atau malam, pokok pisang di belakang rumah bukan main lagi suburnya sehingga mencecah ketinggian sekitar 15 kaki, melepasi bumbung rumah. Buah pula sudah keluar bertandan-tandan, jenis buahnya kurang pasti pula. Yang pasti bukan berangan atau tanduk, mungkin pisang batu. 

Gara-gara pokok pisang yang membesar cepat inilah beberapa kali kami mengalami gangguan siaran Astro hinggakan anak terpaksa cantas dahannya beberapa kali, itupun dengan tangga - ada dua tangga - yang lebih panjang!

Ini pokoknya:
melepasi bumbung rumah

Cili Api Ungu

Beberapa hari lepas kawan ada memberikan beberapa biji cili api berwarna ungu untuk dirasa dan beberapa anak pokonya sekali untuk ditanam. Berikut gambar-gambarnya:

cili api ungu - menarik dan boleh tahan berapi!

anak cili api ungu + sirih cina/air sesat
sudah tanam dalam pasu, sekali dengan sirih cina/air
 Terima kasih Mohaini atas pemberian!

Monday, 7 November 2011

Tong Air

Sekarang musim hujan, jadi pokok mungkin hanya perlu disiram sekali sehari sahaja dan bukannya pagi petang. Kalau sepanjang hari hujan, maka tak payah langsung siram. Ada petua yang menyatakan bahawa pokok perlu disiram dengan air yang kecil tetapi lama sedikit, berbanding dengan air besar tetapi sekejap. Ini untuk mengelak run-off air. 

Satu lagi cara untuk menjimatkan air ialah dengan mengumpulkan air hujan. Air yang terkumpul boleh digunakan untuk menyiram tanaman. Langkah ini boleh menjimatkan bil air anda. Walau bagaimanapun anda perlu berhati-hati agar air yang disimpan tidak sekali-kali menjadi tempat membiaknya nyamuk aedes! 

Di bawah gambar contoh tong air yang dibuat sendiri untuk menyimpan air (gambar dan penerangan ehsan: www.bhg.com):
Tong untuk menyimpan air hujan
Anda boleh menggunakan tong sampah biasa dan ubahsuaikannya menjadi tong takungan air hujan. Tebuk bahagian atas tong dan sesuaikan lubangnya dengan air yang turun dari gutter rumah anda. Untuk mengelak pembiakan nyamuk, gunakan sekeping jaring sebelum memasang penutup tong. Paip boleh dipasang pada bahagian bawah tong untuk disambungkan ke hos untuk tujuan menyiram pokok. Tong elok kalau diletakkan di atas susunan bata. 

Saturday, 5 November 2011

Flower Bed dalam Pembikinan

Sekarang merancang flower bed yang agak besar di depan rumah. Terlebih dahulu kena buat sempadan dahulu (supaya tidak diceroboh rumput), sudah ditandakan tetapi Pak Aji belum pasti nak buat konkrit atau susun bata sahaja. Selain itu, perlu juga dapatkan tanah, Pak Aji sudah beberapa kali menelefon pihak yang iklankan tanah untuk dijual, namun telefon tidak berjawab - sudah sibuk nak beraya ke?? 

bentuknya suku bulatan

membiasakan pokok di tempat panas sebelum benar-benar tanam


Sebahagian pokok yang akan ditanam nanti sudah ada tetapi belum cukup lagi. Tiger orchid (paling kiri) sudah lama di dalam pasu, belum pernah berbunga, harap-harap akan berbunga di tanah nanti, dengan cukup cahaya matahari. Mak Aji baru diberitahu bahawa jika Tiger orchid berbunga, jangan dipetik, jika dipetik akan merajuk sampai beberapa tahun baru berbunga lagi!  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...