As-salam.
Tidak lama dahulu Mak Aji ada menyebut tentang ikan gapi yang dibela di dalam pasu leper yang besar bersekali dengan pegaga. Selain memakan lumut yang tersedia, gapi juga diberi makan pelet halus. Rupa-rupanya ada orang yang berminat juga untuk membela ikan gapi ini. Sebenarnya memang sudah beberapa kali Mak Aji benarkan orang ambil gapi dari pasu itu, tetapi kali ini (selepas orang itu ambil) apabila dijenguk pasu, kelihatan hanya anak-anak gapi (sebesar hujung kuku) sahaja yang tinggal!!!
![]() |
| Habis licin gapiku diambil orang!! |
Kalau ya pun Mak Aji benarkan ikan gapi diambil, biarlah berpada-pada. Takkanlah semuanya mahu diambil!!??? Panas juga telinga dibuatnya!
Teringat pula Mak Aji akan pengalaman yang lebih kurang sama yang dialami berpuluh tahun dahulu. Ketika itu Mak Aji menyewa rumah dan kami menanam cili api dalam beberapa pasu. Rumah yang kami sewa itu sebenarnya merupakan salah satu daripada beberapa kelompok rumah sewa yang dimiliki beberapa beradik. Salah seorang tuan rumah (bukan tuan rumah kami) mengetahui yang kami ada menanam cili api (burung) dan dia meminta cili untuk diberi makan kepada burungnya. Tanpa berfikir panjang kami mengiyakan. Selepas dia selesai memetik, kami keluar dan mendapati bahawa pokok cili kami kesemuanya togel tanpa cili langsung - habis disebatnya!!!!
Itulah dia sikap manusia, diberi betis mahukan paha pula, diberi paha entah apa lagi yang dia mahu! Kita selalu menganggap hati orang macam hati kita - apabila kita meminta dan orang memberi, kita ambillah secara berpada-pada, cukup sekadar yang kita perlu sahaja. Memang betul perumpamaan, rambut sama hitam tetapi hati lain-lain!



