About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label demam Denggi. Show all posts
Showing posts with label demam Denggi. Show all posts

Wednesday, 24 September 2014

Larangan Berkebun Berkuatkuasa Serta-merta!

As-salam.

Anda tentu terkejut akan larangan ini, kan! Ini larangan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di rumah Mak Aji - siapa lagi kalau bukan Pak Aji! Alasannya - tukang kebun kena demam Denggi! 

Pada hari Khamis lepas Mak Aji bertolak ke Skudai untuk berziarah anak cucu - lama tidak bertemu mereka, tambahan pula cucu bercuti sekolah dan abah mereka sedikit sibuk dan tidak berkesempatan membawa mereka balik bercuti ke Sungai Buloh - apa lagi, kami yang pergi!

Sebelum berangkat ke sana, Mak Aji (walaupun pada ketika itu badan sudah mula kurang sihat dan suhu badan mula naik, segala urat sendi mula sakit-sakit juga), terpaksa menyelesaikan terlebih dahulu kerja-kerja menanam rumput di laman belakang - 10 keping rumput mutiara dengan harga RM1.70 sekeping dibeli sehari sebelumnya. Kalau mengharapkan anak yang tinggal untuk menyiramnya, takut asyik terlupa, mahu kering rumput itu. Ini yang sempat dibuat sebelum bergerak ke Johor:

Selesai 10 keping rumput bersaiz 1 x 2 kaki Mak Aji tanam. Berpeluh sampai ke keting juga dibuatnya.
Mak Aji juga tambah 4 keping stepping stone jenis refleksologi  seperti yang disarankan!

Sekarang tinggal lagi mahu dipenuhkan bed dengan tanaman pilihan agar penuh - sudah hampir siap!

Berbalik ke cerita asal. Mak Aji sampai sahaja di Skudai demam makin teruk dan suhu badan naik. Mak Aji bertahan dengan ubat demam untuk mengawalnya. Pada hari pertama dan kedua di sana Mak Aji berurut (demam urat, kut!) tetapi memandangkan demam masih tidak baik-baik, Mak Aji ke klinik - doktor kata jangkitan pada tekak, bengkak katanya. 

Pada hari Sabtu kami pulang ke KL dalam keadaan Mak Aji masih sedikit demam dan berasa badan cukup letih luar biasa. Pak Aji bertegas membawa Mak Aji ke klinik lagi. Semasa menyarungkan stokin untuk keluar, Mak Aji perasan ruam merah mula timbul di betis dan paha - Dengue alert!!

Setelah diuji darah dan disahkan Denggi Pak Aji membawa Mak Aji ke KPJ Damansara dan Mak Aji sempat sehari semalam di situ. Setelah didapati platelet darah merah mula naik dan doktor berpuas hati Mak Aji dibenarkan balik pada petang semalam, alhamdulillah!

Jadi, untuk beberapa hari ini Mak Aji hanya memerhati laman dari dalam rumah sahaja - ada juga Mak Aji curi-curi keluar sekejap-sekejap untuk melepaskan gian!

Mak Aji masih berasa letih dan cepat penat. Sementara itu Pak Ajilah yang mengambil alih tugas di rumah, alhamdulillah. Namun begitu, al-maklumlah orang lelaki di dapur, ala kadar sahajalah - pejam sebelah mata sahajalah! 

Doakan Mak Aji cepat pulih ya!





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...