About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label pergola. Show all posts
Showing posts with label pergola. Show all posts

Tuesday, 8 October 2013

Projek 'Menganggur'

As-salam.

Pokok anggur yang sudah ditanam sekitar dua tahun lepas sudah tiga kali berbuah, namun dek kerana kelalaian Mak Aji, juga dek kerana faktor ketidaksesuaian para anggur, maka buah anggur jatuh ke bumi tanpa disedari mahupun dinikmati! 

Akhirnya, dek kerana niat untuk benar-benar memanfaatkan pokok yang sudah seharusnya membuahkan hasil untuk dinikmati, Pak Aji membuatlah sedikit perluasan pada pergola sedia ada - khusus untuk anggur, yang paranya jarang-jarang agar apabila berbuah nanti, insya-Allah dapatlah kami lihat dengan jelas (harapnya nanti berjuntai-juntailah buahnya!!)

Ini dia perluasan yang dimaksudkan itu, dengan menggunakan kayu sedia ada di laman:

Tambahan di sisi pergola asal, khas untuk anggur. Batang anggur yang di tengah-tengah bawah foto. 
Sebelum pokok anggur yang menjalar di angkat naik ke rumah barunya, hampir semua daunnya dibotakkan dan ranting-ranting yang masih hijau juga dipotong. Yang tinggal hanya batangnya yang sudah keras sahaja. Mak Aji sudah mengamalkan petua Rose dari blog Semua Menjadi ni, harap-harap akan benar-benar menjadi nanti ya, insya-Allah!!




Saturday, 29 September 2012

Tunggu Akar Dani Memanjat Pergola

As-salam.

Pokok akar dani sudah agak tinggi, sudah hampir setinggi pergola. Tidak sabar rasanya menunggu akar dani memanjat pergola. Juga untuk berbunga. Apabila berbunga, nescaya harumlah bilik tidur Mak Aji nanti sebab pergola di hadapan bilik tidur utama. Bagusnya apabila mendapat haruman semulajadi!  

Panjatlah dan berbungalah akar daniku!
Pergola dari porch rumah.

Monday, 27 August 2012

Pergola Cantik

As-salam.

Petang semalam Mak Aji dan Pak Aji berkunjung ke rumah bekas jiran di rumah lama kami di Sungai Buloh juga. Kami berpindah dari rumah di kawasan tersebut (kawasan ini agak terpencil dengan keluasan tanah masing-masing sekurang-kurang dua ekar, jadi jarak rumah ke rumah agak jauh) selepas ketakutan akibat disamun empat orang dari seberang (mengikut loghat percakapan mereka). Walaupun rumah itu agak besar dengan keluasan tanah yang memang luas, namun kami memilih untuk berpindah ke kawasan perumahan (juga rumah lama di Subang Bestari). Setelah menjual rumah di Subang kami berpindah ke rumah kami sekarang yang memang serba sederhana dan dengan keluasan tanah yang agak kecil, sekadar lot banglo sahaja. Apa-apapun, home is where the heart is - rumah mana-manapun sama sahaja, yang paling penting, hati kita tenang dan sentiasa tidak diburu ketakutan setiap kali meletak kepala ke bantal setiap malam. (hanya mereka yang pernah menghadapinya sahaja yang mengetahui). Rumah Mak Aji sekarang letaknya betul-betul sepagar dengan (di belakang) balai polis - apa yang hendak ditakutkan lagi ya!!??  

Apapun, segala apa yang berlaku semuanya ketentuan Allah SWT. Kita hanya mampu berusaha dan seterusnya bertawakal kepada-Nya semata-mata. Jauh pula melencung cerita Mak Aji. Mari kita kembali ke cerita sebenar!

Sebenarnya Mak Aji ingin berkongsi beberapa foto yang dirakam dari rumah bekas jiran tersebut. Mari kita lihat:


Dibina dek yang menghubungkan kawasan binaan pergola ini dengan anjung rumah.
Dihiasi pokok sekelilingnya, juga pada binaan kayunya.
Ada air terjun binaan dan kolam ikan koi.
Entah apa nama bunganya tetapi cukup cantik warnanya! 

Memang cantik dan menenangkan apabila mendengar bunyia air jatuh dari air terjun buatan di kawasan laman tersebut. Kedudukan rumahnya pula di atas bukit. Semasa Mak Aji menginap di kawasan itu, kami tidak menggunakan pun pendingin hawa kerana suhu agak dingin - kabus mengiringi semasa Mak Aji keluar ke ofis! Sungguh nyaman, sunyi, dan tenang (tetapi Mak Aji agak takut tinggal di sini!!) 



Wednesday, 4 July 2012

Pergola Siap

Akhirnya setelah lama menunggu pergola siap. Sekarang selesalah sedikit pokok-pokok, ada tempat berteduh daripada terik matahari dan ada tempat memanjat untuk pokok akar dani dan juga anggur (harap di sini akan berbuahlah, insya-Allah!).

Berikut foto sekitar pergola dan laman pada pagi yang permai ini:




Tambah kapsyen



Pokok mangga sedang berbuah lebat.
Ini antara pokok mangga yang sedang berbuah.



Sunday, 24 June 2012

Pergola Hampir Siap

Dua hari berturut-turut kami mengerjakan lantai pergola hingga hampir siap. Pokok pun mula dipindahkan ke pergola dari porch - Pak Aji sukakan porch yang tidak semak dengan pokok. Cumanya, ada beberapa keping lagi batu turap yang tidak cukup dan perlu ditambah. Selepas itu bahagian tepinya perlu dikemaskan dengan simen atau konkrit. Ini perkembangan pergola setakat hari ini:

Lantai pergola hampir siap.
Mungkin sehari lagi siaplah sepenuhnya, insya-Allah.
Perhatikan pokok anggur dan akar dani bersebelahan.



Thursday, 21 June 2012

Sambung Projek Pergola

Setelah memindahkan pokok-pokok ke pergola, nampak gaya pokok akar dani dan pokok anggur segar bugar tetapi pokok kerak nasi/kesidang nampak gaya tewas! Tiada langsung pucuk baru yang timbul. Agaknya akarnya yang sudah menjalar kuat telah terbantut terus tinggal arwah! Kenalah cari anak pokok baru nampaknya.

'Lantai' pergola masih belum diusahakan sepenuhnya, jadi masih belum boleh diletak pasir dan batunya.

Apapun, Mak Aji sudah memesan  batu turap (paving stones) untuk membuat lantainya. Baki pasir masih ada dari projek lepas, maka akan digunakan yang sedia ada sahaja. 

Corak batu turap yang dipilih. Tanpa warna - nak cat warna gajah ke
rimau ke, pun boleh, he he!!

Ini pula longgokan batu turap dan kawasan di bawah pergola yang hampir siap dibersihkan rumputnya:

Longgokan batu turap. Perhatikan pokok kesidang (di sebelah kiri atas) yang tewas!
'Lantai' pergola yang hampir siap dibersihkan.

Sebahagian kerja merumput dilakukan anak Mak Aji, Boy. Katanya kena beri upah (alamak, mahu terbang lagi duit aku, kerceng, kerceng - bunyi duit syiling!). Sebut upah sahaja Mak Aji pandang muka dia, memang tahu, tentu ada yang dimahukannya. Kali ini mahu ganti kasut basketball yang sudah koyak. Kasihanlah pulak sebab dia akan bermain basketball mewakili UniKL minggu hadapan dan bakal bermain di sebuah politeknik di Kedah (boleh tahan juga anak aku ni ya??). Oklah, Mak Aji cakap, "mahal betul upah orang berkelulusan Diploma merumput!" (sebab belum habis degree lagi). Dia kata, "tak mahal mana, lepas ni nak letak pasir lagi, pastu baru letak batu!" Betul juga tu, Mak Aji fikir, tetapi Mak Aji senyum sahaja!


Catatan: Tak sabar hendak tengok pergola siap!!



Saturday, 19 May 2012

Pergola dalam Pembikinan

Sesampai Mak Aji di rumah petang semalam, seronok Mak Aji melihatkan pergola yang sudah separuh siap. Ini dia:

Pergola separuh siap
Boy pun sibuk dengan projek spray rim tayar keretanya! Enter frame pulak tayar dia!
Insya-Allah esok lusa siaplah tu!
Pak Aji menggunakan kayu second hand (selaras dengan usaha reduce, reuse and recycle!) yang pernah digunakan. Kayu jenis ini lebih murah dan yang lebih utama, lebih tahan lama - sudah terbukti sebab sudah digunakan sekian lama. Untuk struktur utama kayu cengal digunakan dan untuk selebihnya kayu resak, juga jenis kayu keras.


Friday, 18 May 2012

Pergola

Semasa Mak Aji sibuk berkursus, Pak Aji telefon memaklumkan bahawa kayu yang dipesan sudah sampai, tinggal lagi hendak dibuat sahaja, kos kayunya sekian-sekian dan kos membuatnya percuma sahaja! Hendak buat apa?? Rumah akar dani rupanya - pergolalah tu!! Yes!! At long last, pujukan membuahkan hasil juga! Dalam hati Mak Aji ada taman, he he!! 

Foto pergola yang sudah separuh jalan siap tidak sempat dirakam. Tunggu esok ya insya-Allah!! Untuk makluman tukang buatnya Pak Aji sendiri dengan bantuan Boy, anak kedua Mak Aji yang sedang bercuti selepas exam semester.

Catatan: Thank you dear, appreciate it much!! Jangan buat kerja tengah-tengah panas sangat, nanti lebihlah hitam manisnya!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...