About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday 29 October 2014

Cara Mudah untuk Keringkan Herba

As-salam.

Dalam keadaan sekarang yang hujan turun saban hari mereka yang tiada tempat khusus untuk menyidai kain di tempat terlindung akan menghadapi masalah. Apa lagilah kalau anda juga ingin mengeringkan herba atau dedaun yang ingin dibuat teh dan sebagainya. Berkaitan dengan hal ini, Mak Aji ada terbaca dari satu sumber (lupa dari mana) cara yang mudah untuk mengeringkan herba tanpa perlu menjemurnya di panas matahari atau menggunakan alat (seumpama ketuhar) yang mengeringkan herba/bahan lain yang sewaktu dengannya. Mari Mak Aji kongsikan:


     Hamparkan kertas surat khabar di tempat duduk di kereta anda. Susun herba secara selapis 
     dan tutp tingkap serta pintu kereta. Buatlah selama beberapa hari sehinggalah herba anda 
     kering. Faedah sampingannya, kereta anda juga akan berbau harum dek herba tadi! 


Mahkota dewa yang dikeringkan secara menjemurnya. Jenuh jugalah berlari-lari anak setiap kali hujan turun tanpa disedari!
Selepas ini bolehlah digunakan kaedah baru ini!


Pemburu Serangga

As-salam.

Serangga perosak sentiasa menjadi igauan tukang kebun termasuk juga Mak Aji. Tanaman rosak dan kita sering kecewa dengan hasil buahnya. Mak Aji ada membeli neem oil dan menghasilkan bancuhannya untuk disembur ke pokok-pokok di laman. Walau bagaimanapun dengan keadaan cuaca sekarang yang hari-hari hujan turun, nampaknya bancuhan neen oil terhapus begitu sahaja. 

Pak Aji cukup kecewa dengan kesan serangga perosak terhadap pokok mangga serta hasil tuaian mangga. Setelah puas menghendap, maka terjumpalah dia tuan punya angkara - sejenis serangga yang berwarna oren!


Serangga perosak red cotton bug atau nama lainnya dysdercus cingulatus.
Sumber fotoagropedia.iitk.ac.in
Sumber foto: https://www.facebook.com/Tanamsendiri?fref=photo

Entah dari mana datangnya idea Pak Aji untuk menghapuskan serangga ini dengan kaedahnya sendiri. Mari kita lihat alat yang digunakannya:

Ini dia senjata pemburu serangga - sebatang buluh yang hujungnya dilumur gam tikus!

Sebenarnya perburuan berlaku beberapa minggu lepas. Ketika itu adalah serangga tersebut melekat pada senjata ini. Agak berjaya pemburu ini melakukan tugasnya sebab serangga ini tiada lagi kelihatan sekarang! Pak Aji kata seranggan ini agak mudah 'ditangkap' sebab agak jinak! 

Sekian kisah Pak Aji, si pemburu serangga!






Monday 27 October 2014

Piza Cendawan Segala Bagai

As-salam.

Mak Aji menuai lagi beberapa helai cendawan tanam sendiri pada hari ini dan untuk memanfaatkannya Mak Aji menggunakannya sebagai sebahagian bahan untuk topping piza. Makan pizalah kami untuk hidangan malam ini.

Antara bahan topping. Cendawannya cenonet aja!
Mak Aji pakai sos spagheti siap, frankfurter ayam ini serta minyak zaitun yang dibuat drizzle atas pisa sebelum piza dibakar.
Siap untuk masuk ke dalam ketuhar. 
Tadaa, siap piza bikin sendiri dengan topping cendawan segala bagai!
Kalau ada sesiapa yang terliur akan piza ini, anda boleh dapatkan resepinya di sini:


Untuk menghasilkan toppingnya, terpulanglah kepada kreativiti serta kegemaran anda. Taruhlah apa-apa topping yang anda gemari. 

Jom bikin piza!!



Thursday 23 October 2014

Suci Bersih Warnamu

As-salam.

Bunga raya putih dikatakan ada khasiat dari segi perubatan (belum lagi Mak Aji dapatkan infonya). Selain khasiatnya rupanya walau hanya putih cukup cantik juga kerana stamennya yang dwiwarna. Lihatkan:

Stamennya berwarna oren, juga kuning di hujungnya! Cantik!




Yang Pelik itu Menawan

As-salam.

Mak Aji cukup suka menikmati keindahan bunga RJ yang memang cukup meriah bunganya. Sambil memerhati Mak Aji terpandang sekuntum yang warnanya berbelak-belak, agak luar biasa sekali!:

Cantik, kan! Gabungan merah dan merah jambu!
Berikut pula RJ yang meriah berbunga:


Manis, kan warna pic ini!
Gabungan pelbagai warna.


Mak Aji mahu kongsikan juga bunga pukul 4 yang warnanya juga berbelak:

Comel pula apabila sekelopak sahaja yang merah sementara yang lainnya kuning! Ini warna bendera Selangor!




Tamu yang Khusyuk

As-salam.

Sambil menyiapkan kerja-kerja di laman, Mak Aji terdengar kruk krik, kruk krik. Puas Mak Aji mencari punca bunyi - seram kalau-kalau sang ular datang lagi (ular ada bunyi ke??)! Akhirnya Mak Aji terpandang tamu ini yang sedang khusyuk menghadap buah mangga yang dimakan sehingga licin bersih hingga ke bijinya!:

Dari sini datangnya bunyi itu!
Cukup khusyuknya dia makan!

Beberapa minggu lepas Mak Aji sempat melihat beberapa biji mangga bersepah di atas bumbung khemah di laman - rupa-rupanya mereka kenduri mangga di situ! Memang seronok mereka apabila mangga banyak buahnya! Kami juga sebagai tuan puas makan dan sempat juga berbagi buah mangga dengan jiran-jiran. Alhamdulillah atas rezeki!




Trellis Tumbang Akibat Ribut

As-salam.

Sekarang hujan turun setiap hari dan alhamdulillah kerja menyiram cukup ringan! Walaupun begitu hujan juga kadangkala membawa sekali ribut. Dua hari lepas ribut mengakibatkan kemusnahan beberapa buah rumah di Kelang. Mak Aji juga terkesan dek ribut tersebut. Trellis yang menempatkan pokok akar dani serta kesidang tumbang menyembah bumi. Sebuah pokok di luar pagar hadapan juga tumbang dibongkar angin kuat!

Trellis tumbang. Khemah pun tersangat uzur, rabak dek hujan panas!
Sedih Mak Aji tengokkan trellis yang terbongkang!
Setelah operasi mencantas hingga togel kedua-dua pokok, trellis dinaikkan semula ke tempat atas - top-heavy yang menyebabkan tumbang trellis ni.
Khemah berganti baru yang saiznya lebih kecil dan warna yang lebih ceria! - warna bendera Kedah!

Esok insya-Allah akan bersambung lagi operasi membersihkan laman agar tiada lagi kesan ribut dua hari lepas. 




Monday 20 October 2014

Pokok Udara

As-salam.

Satu-satunya pokok udara yang ada di laman ialah jenis yang ini:



Petang tadi selepas Asar Mak Aji ajak Pak Aji keluar ke nurseri Sungai Buloh untuk membeli pasu khas untuk mengalihkan kaktus yang semakin membesar, membeli baja tahi ayam serta menjamu mata (kalau dengan Pak Aji memang tidak puas rasanya sebab dia menunggu sahaja di kereta, jadi perlulah cepat-cepat sebelum dibunyikan hon!). Pun Mak Aji tidak boleh lama sebab hujan sudah mula turun. 

Walau bagaimanapun, dalam mahu cepat itu sempatlah juga Mak Aji sambar 2 pokok udara - lama sudah mengidam tetapi setiap kali melihat harganya, Mak Aji tidak jadi beli. Mak Aji pilih yang paling murah pun, satunya RM12 dan satunya RM15. Yang berpuluh-puluh ringgit usah ceritalah!:

Dua pokok udara menumpang duduk di pasu kawanan kaktus.
Yang ini RM12.
Yang ini pula RM15.
Bird's nest semacam tak bahagia di sini. Perlu dialihkan ke lain tempat sebelum kering terus. Itu yang Mak Aji
mahu gunakan rangka kayu ini sebagai rumah baru pokok udara!

Semasa menunggu penjual pokok mengambil baja Mak Aji ternampak pokok bunga raya putih - katanya pokok ini ada khasiat dari segi perubatan. Sambarlah satu.

Pokok bunga raya putih.

Yang berbunga ungu tiadalah pula. Pokok bunga ros banyak tetapi dek kerana tergesa-gesa dan tiada kelihatan yang betul-betul mengancam, Mak Aji berlalu sahajalah. Lain kali Mak Aji datang lagi ya! 

Catatan: Ada 4 ceruk/lekuk pada rangka kayu. Pokok udara cuma ada 2 sahaja. Alamak, kena belilah lagi ni! Haisy (terbang lagi sen!).





What's for Breakfast??

As-salam. 

Itulah soalan yang sering ditanya pagi-pagi hari oleh Pak Aji (versi Melayunyalah!). Mak Aji tawarkan nasi goreng Cina, tidak mahu dia. Dia mahu makan roti. Jemu pula kalau makan roti bakar begitu sahaja. Oh ya, di FB atau di mana entah tempoh hari Mak Aji ada terlihat resepi yang ada sedikit kelainan - sounds like fun to try! Jadi, selepas sekitar 10 minit sarapan siap untuk kami berdua:

The star of the show - roti bakar masak apa entah!
Sarapan kami pagi ini.

Mangga yang sudah dipetik sehari dua lalu sudah masak dan kami mulakan sarapan dengannya first course, appetizer, cewah!). Seterusnya, main dish, roti bakar (roti disapu mentega dan diletakkan ke dalam ramekin.Pecahkan sebiji telur dan taburkan keju Cheddar, serbuk cili, garam serta lada hitam dan juga daun kucai yang dipotong. Bakar selama 10 minit dengan suhu 200 darjah Selsius) dan disudahi dengan teh-O! Maka lengkaplah sarapan kami, alhamdulillah! (ini pengaruh saluran masak-masak di TV-lah ni, he he!)

Oh ya, sebelum lari jauh daripada isu berkebun - Mak Aji memanfaatkan mangga, tentunya dari laman/kebun dan kucai juga segar dari kebun! 


Catatan: Telurnya separuh masak ya, jangan ingat macam tak masak pula!




Sunday 19 October 2014

Yang Tersembunyi di Sebalik Daun

As-salam.

Pokok anggur Mak Aji sekarang sedang berbuah - pada mulanya ada dua tangkai, sudah siap berselindung di dalam jaring (jaring pencuci pinggan mangkuk). Minggu lepas pula Mak Aji perasan ada setangkai lagi anggur yang baru menghasilkan buahnya. Pagi ini pula Mak Aji perasan ada lagi setangkai dua anggur yang sudah agak besar saiznya di sebalik daun anggur dan juga tanduk rusa! Seronok umpama dapat hadiah!

Yang tersembunyi di balik daun!
Tadaa, sudah besar kau! Mak Aji tidak perasan walaupun sentiasa berjalan di bawahnya!
Ini yang Mak Aji perasan minggu lepas.

Berikut pula dua tangkai awal yang sudah siap berbaju:





Terbukti benar seperti yang disebut oleh sifu anggur di FB, pokok anggur memang kena kerap dicantas agar berbuah dengan lebat! Harap-harap cuaca akan lebih berpihak kepada anggur agar buahnya (musim hujan akan menghasilkan buah yang masam) nanti manis dan bukannya masam, insya-Allah.





Berani Walau Takut!

As-salam.

Setelah 'mengeram'/berkurung di dalam rumah selama dua tiga hari, Mak Aji beranikan juga diri keluar ke laman - mata sentiasa berjaga-jaga terhadap apa-apa yang kehitaman, panjang dan seumpama tali bentuknya, apa lagi yang bergerak-gerak! Berasa seolah-olah ada mata yang sentiasa memerhati dan menunggu untuk menerkam! 

Pagi-pagi tadi Pak Aji sudah pun menabur belerang di sekeliling rumah. Mak Aji juga sudah mengenal pasti mana satu kayu tas (yang disebut oleh Puteri Purnama berkenaan kayu itu yang ditakuti ular!) daripada koleksi tongkat Pak Aji - manalah tahu kalau terserempak lagi! (nauzubillahhi minzalik! - jangan  kayu ke mana,Mak Aji ke mana, berlari tak cukup tanah!) 

Ke dalam rimbunan daun kaduk serta pangkal pokok anggur inilah ular itu masuk bersembunyi!
Di longkang inilah ular itu meniru akar pokok keladi yang seperti ini hanya menyusur longkang untuk memoeroleh air. Ular pula merentang longkang!
Konon ingin ditiru akar keladi inilah!
Koleksi tongkat Pak Aji - banyak juga yang sudah diberikan orang. Yang ditunjukkan
anak panah itu kayu tas.
Sebagai langkah tambahan Mak Aji perlu cari buah limau (seperti yang disarankan kawan-kawan) untuk ditabur sekitar laman. Mungkin juga kawasan tepi pergola itu perlu dibersihkan sedikit agar tidak menjadi terlalu redup dan sejuk serta sesuai untuk menjadi tempat persembunyiaan!

Kalau ke laman dengan memakai but getah hitam, pasti kena gelak dengan Pak Aji, he he!



Setia Menanti

As-salam.

Mak Aji kadang-kadang diminta anak pokok daripada saudara-mara, kawan-kawan, juga mereka yang Mak Aji belum pernah kenali - mereka membuat carian di Google dan terjumpa blog ini lantas menghubungi. Untuk mengepos dan sebagainya Mak Aji kurang pandai menguruskannya. Kalau datang ke rumah, insya-Allah bolehlah. Antara pokok yang sering diminta, dukung anak, hempedu bumi, pecah beling dan juga anggur. Berikut dua pokok yang sudah Mak Aji semai dan pindahkan ke polibeg masing-masing dan menanti untuk diambil tuannya:

Pecah beling.
Masih ada lagi beberapa anak pokok pecah beling yang belum diasingkan ke polibegnya sendiri, juga atas permintaan (tidak keluar ke laman dek seramkan sang ular!)


Anak pokok anggur hijau seperti yang ada di laman.



Friday 17 October 2014

Bertentangan Mata!

As-salam.

Lutut Mak Aji masih menggeletar lagi walaupun sudah sekitar setengah jam yang lalu Mak Aji bertentangan mata dengan sang ular di tepi rumah Mak Aji! Warnanya coklat kehitaman dan panjangnya sekitar sekaki lebih. Kepalanya kecil, badannya semakin besar dan ekornya meruncing. Dua tiga hari lepas semasa Mak Aji keluar pintu ke beranda belakang, ekor mata Mak Aji perasan akan sesuatu yang bergerak di pagar. Mak Aji perhatikan dan memang ya seekor ular sedang menyusur pokok keladi yang bersandar di luar pagar (semak di tanah jiran belakang). Mak Aji menjerit memanggil Pak Aji. Mak Aji tunjukkan lokasinya dan Pak Aji baling batu ke arahnya lalu ular itu cabut lari. Mak Aji rasa ular yang baru Mak Aji lihat tadi ular yang sama seperti tempoh hari!

Sekadar hiasan
Sumber fotoid.wikipedia.org

Sambil Mak Aji memerhati benda yang ekornya di longkang dan kepalanya di birai longkang - akar pokok keladi akukah itu? Akar keladi biasanya turun ke longkang sahaja, tiada pula naik ke birai longkang! Benda itu diam memerhati Mak Aji! Dalam kepala Mak Aji (standing at a safe distance away), apa benda ni, ularkah ini?? Tiba-tiba sahaja benda itu menyusur masuk ke rumpun pokok bunga di tepi longkang, hilang lenyap.  

Aduhai, nasib baiklah sehari dua ini hujan setiap hari jadi tugas menyiram pokok tidak perlu dibuar. Takut Mak Aji hendak ke laman dengan kehadiran sang ular ini! Belerang sudah Mak Aji beli seminggu dua yang lalu, Pak Aji belum sempat menaburnya di sekeliling rumah dan laman. 

Adakah kaedah lain yang boleh digunakan agar benda-benda macam ini menjauhi kita(selain belerang)?? Mohon kongsikan agar boleh Mak Aji buat sebagai langkah pencegahan. Kalau tidak tidak keluar rumahlah Mak Aji dek takut!!





Lasagna Ayam ala Malaysia

As-salam.

Cendawan dari dalam kabinet dapur sudah dipetik dan dalam memikirkan apa yang mahu dihidangkan untuk tengah hari ini, Mak Aji teringat akan lasagna - lama sudah tidak memasaknya. Cendawan sedia ada boleh dimanfaatkan untuk menggantikan cendawan butang (sedikit takut untuk membeli cendawan butang di kedai ekoran heboh tempoh hari cerita cendawan butang dari China yang sebenarnya tidak halal, haisy!).

Selain cendawan Mak Aji manfaatkan juga daun kari daripada pokok kari yang baru pulih ekoran sekarang 'makhluk asing' (lupa pula nama makhluk berkepala hitam yang menakutkan itu!). Lihatkan hasilnya:

Lasagna ayam ala Malaysia.
Kuah spaghetti versi Mak Aji dimasukkan cili giling serta rempah kari (juga tentunya daun kari). Jadi rasanya memang lain daripada versi asal (extra spicy kick) - tiada sesiapa marah, kan! Kami suka versi ini berbanding versi asal. 


Cendawan nan dua keping!
Setelah cendawan dipotong - semacam perut (orang Kelantan sebut perut kitab - perut tuala) pula.
Mak Aji letak daun kari untuk baunya.
Mak Aji pakai keju tempatan ini. 

Jom makan!

Catatan: Resepinya di bawah:

Resepi Lasagna ala Malaysia

       Kuahnya:

1 bawang besar/2 yang bersaiz sederhana - saiz besar (potong kiub)
2 tangkai daun kari
4 sudu besar cili giling (sesuaikan ikut kepedasan masing2)
3 sudu besar rempah kari daging
1 paket 400gm daging/ayam cincang (jenama Ramly)
1 tin bsr tomato puri (boleh kurangkan kalau tak suka masam)
1/2 tin cendawan butang (cincang)
Sekotak lasagna segera*
200 gm Keju mozarella

Cara2nya:

Tumis bawang hingga wangi, masukkan daun kari, cili giling d rempah kari. Bila pecah minyak, masukkan daging. Masukkan segelas air.  Bila daging/ayam masak, masukkan cendawan, garam dan sedikit gula. Sesuaikan rasa ikut selera anda.

 B.      Sos bechamel/putih:

2 sudu bsr mentega
4 sudu bsr tepung gandum
1/2 ketul stok ayam (hancurkan dlm 1 gelas air panas)
Garam d lada hitam
Sedikit susu segar (kalau suka)

Cara2nya:

Gunakan non-stick pan. Panaskan pan, masukkan mentega. Masukkan tepung. Kacau sebentar tetapi jangan sampai bertukar warna ke gelap (seperti buat sos untuk steak atau chicken chop) – sedikit kuning sahaja. Terus masukkan air panas (dengan stok ayam). Guna whisk plastik dan kacau sentiasa agar  tidak berketul. Masukkan susu segar. Sesuaikan kepekatan (kalau sejuk sos akan jadi lebih pekat).


Lenserkan acuan dgn mentega. Susun selapis kepingan lasagna. Senduk kuah daging/ayam hingga meliputi seluruh permukaan lasagna. Tuang sos bechamel. Taburkan selapis keju  mozarella. Ulang dgn lapisan lasagna lg. Buat hingga selesai. Tutup dgn aluminium foil. Bakar dgn suhu 170 selama 20 minit. Buka foil dan bakar lagi selama 10 minit lagi supaya keemasan  permukaannya. Hidang dengan salad.

*Kepekatan sos daging/ayam bergantung pada jenis lasagna yang anda gunakan. Kuah Mak Aji agak cair sedikit sebab Mak Aji gunakan lasagna segera yang tidak perlu dimasak terlebih dahulu.

Selamat mencuba!




Wednesday 15 October 2014

Cendawan Besar Giler!

As-salam.

Alhamdulillah dengan empat bongkah cendawan (3 yang dibeli dan 1 yang diberikan oleh menantu Mak Aji, Mida) Mak Aji dapat menuai cendawan berkali-kali sebab cendawan tumbuh silih-berganti (sudah berjanji sesama sendiri ya, cendawan!).

Petang tadi satu bongkah lagi mengeluarkan hasilnya - kali ini saiznya, mak aai, yang paling besar setakat ini - sebesar tapak tangan Mak Aji (yang debab ini)! Lihatkan:

Alhamdulillah walau hanya dua (helai ke keping ke??) yang tumbuh. 
Saiznya boleh tahan!
Insya-Allah esok akan Mak Aji lihat lagi kalau-kalaulah mahu dia membesar lagi! Rasanya esok sudah boleh dituai kut ya!?




Sunday 12 October 2014

Angkara Siapakah Ini??

As-salam.

Setelah mengeram di dalam rumah selama berapa minggu ekoran larangan berkebun oleh Pak Aji dek kerana Mak Aji diserang demam Denggi, Mak Aji dapati pokok bakawali magenta hampir habis daunnya dimakan sesuatu!:




Geram di hati tidak terkira dek kerana hampir gondol daunnya dikerjakan - nanti kau! Bilalah nak berbunga pokok ini kalau begini nasibnya?? Aduhai kesian bakawaliku!



Teman Berkebun yang Baru!

As-salam.

Selepas baik daripada demam Denggi, Mak Aji agak sedikit takut untuk berkebun semula, takut terkena Denggi lagi - memang biasa perasan akan si belang itu setiap kali berkebun! Asal keluar rumah sahaja Pak Aji akan mengintai dan mengajak Mak Aji masuk ke rumah! Untuk kekal lama di laman, Mak Aji membawa rakan baru (sebagai langkah keselamatan!). Mahu kenal siapa dia? Ini dia!:

Tadaa! Merah lagi warnanya!

Rupa-rupanya bukan Mak Aji sahaja yang berkebun bertemankan lingkaran ubat nyamuk. Ada rakan FB Mak Aji yang berbuat demikian juga! Agak 'universal' jugalah ya! Pernah juga Mak Aji saksikan posting rakan FB yang mengajak untuk sama-sama menikmati buah mangga yang dicicah colek di kebunnya dan di sebelahnya juga ada lingkaran ubat nyamuk sebagai teman, he he!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...