About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label pokok anggur. Show all posts
Showing posts with label pokok anggur. Show all posts

Sunday, 19 October 2014

Setia Menanti

As-salam.

Mak Aji kadang-kadang diminta anak pokok daripada saudara-mara, kawan-kawan, juga mereka yang Mak Aji belum pernah kenali - mereka membuat carian di Google dan terjumpa blog ini lantas menghubungi. Untuk mengepos dan sebagainya Mak Aji kurang pandai menguruskannya. Kalau datang ke rumah, insya-Allah bolehlah. Antara pokok yang sering diminta, dukung anak, hempedu bumi, pecah beling dan juga anggur. Berikut dua pokok yang sudah Mak Aji semai dan pindahkan ke polibeg masing-masing dan menanti untuk diambil tuannya:

Pecah beling.
Masih ada lagi beberapa anak pokok pecah beling yang belum diasingkan ke polibegnya sendiri, juga atas permintaan (tidak keluar ke laman dek seramkan sang ular!)


Anak pokok anggur hijau seperti yang ada di laman.



Sunday, 14 September 2014

Cantik Tidak Bajuku??

As-salam.

Kali terakhir anggur berbuah Mak Aji sarungkan baju plastik agar terlindung daripada mata makhluk perosak yang terdiri daripada burung, tupai dan yang sewaktu dengannya. Kali ini setelah mengambil manfaat daripada kawan-kawan dari FB, Mak Aji bertukar ke baju jaring pula. Ada rakan yang menggunakan jaring untuk gosok badan semasa mandi menggunakan shower foam tetapi setelah Mak Aji mencari di pasaraya berdekatan, tiada yang dijumpai. Yang ada cuma jaring penyental pinggan mangkuk - maka itulah yang Mak Aji gunakan! Lihatkan:

Baju orenku - cantik, tak??
Selak sikit, hah tu dia!
Kedua-dua tangkai bertahi lalat - kenapa ya?? 
Berikut pula keratan anggur yang Mak Aji beli daripada rakan bertanam anggur di FB. Ada 4 keratan semuanya dan 3 sudah bertunas manakala satu lagi belum. Lihatkan:


Keratan no. 1 - alhamdulillah bertunas!
Keratan no. 2 - bertunas.
Keratan no. 3 - bertunas.
Keratan no. 4 - belum bertunas.

Berikut pula keratan angur jenis masak hijau (seperti di foto atas) yang Mak Aji semai sendiri setelah kerja-kerja mencantas ranting anggur. Ada yang main cucuk begitu sahaja tanpa meletak serbuk penggalak akar pun. Alhamdulillah elok sebahagian besarnya.


Keratan yang Mak Aji semai - ada yang sudah dicop orang!
Ini hasil dapatan pagi ini - anggur yang sudah menjadi kismis tanpa disedari Mak Aji! 
Apabila sudah besar nanti pokok-pokok anggur, maka timbullah pula isu - manakan kuletak para anggur pula?? Mak Aji sedang meninjau-ninjau ceruk mana lagi yang akan dimanfaatkan!




Monday, 28 October 2013

Hati Gumbira Tidak Terkata!

As-salam.

Kami kembali ke rumah dari menziarah anak cucu di Skudai, Johor sekitar jam 5.30 petang semalam. Usai membawa barang-barang masuk ke rumah, Mak Aji mula melawat kawasan laman dan berasa cukup teruja apabila disambut pulang dengan ini!:

Cuba teka!!
Ada lagi....
Dan lagi.....
Dan lagi.....

Akhirnya, alhamdulillah pokok anggurku berbuah lagi dan insya-Allah kami dapat melihatnya dan insya-Allah akan dapat merasanya nanti! 

Pagi ini Pak Aji mengejek Mak Aji apabila Mak Aji memaklumkan bahawa Mak Aji rasa pokok anggur berbuah. "Mimpi ke??" katanya!

Nampak gaya mimpi sudah menjadi kenyataan! Terima kasih banyak-banyak Rose dari blog Semua Menjadi kerana memberi petua agar anggur berbuah! 




Tuesday, 8 October 2013

Projek 'Menganggur'

As-salam.

Pokok anggur yang sudah ditanam sekitar dua tahun lepas sudah tiga kali berbuah, namun dek kerana kelalaian Mak Aji, juga dek kerana faktor ketidaksesuaian para anggur, maka buah anggur jatuh ke bumi tanpa disedari mahupun dinikmati! 

Akhirnya, dek kerana niat untuk benar-benar memanfaatkan pokok yang sudah seharusnya membuahkan hasil untuk dinikmati, Pak Aji membuatlah sedikit perluasan pada pergola sedia ada - khusus untuk anggur, yang paranya jarang-jarang agar apabila berbuah nanti, insya-Allah dapatlah kami lihat dengan jelas (harapnya nanti berjuntai-juntailah buahnya!!)

Ini dia perluasan yang dimaksudkan itu, dengan menggunakan kayu sedia ada di laman:

Tambahan di sisi pergola asal, khas untuk anggur. Batang anggur yang di tengah-tengah bawah foto. 
Sebelum pokok anggur yang menjalar di angkat naik ke rumah barunya, hampir semua daunnya dibotakkan dan ranting-ranting yang masih hijau juga dipotong. Yang tinggal hanya batangnya yang sudah keras sahaja. Mak Aji sudah mengamalkan petua Rose dari blog Semua Menjadi ni, harap-harap akan benar-benar menjadi nanti ya, insya-Allah!!




Friday, 26 July 2013

Anggur Sudah Menjadi Kismis

As-salam.

Pagi semalam semasa berkemas di laman, secara khususnya di bawah pergola, Mak Aji perasan akan beberapa biji buah bertaburan di bawah pergola - hitam dan sudah semakin kecut dan kering, kelihatan seperti kismis! Mak Aji terus mendongak ke pokok anggur di atas pergola - oh tidak (macam dialog kartun pulak, he he!), anggurku berbuah dan gugur tanpa kusedari!!?? 

Sebenarnya pokok anggur ini sudah bertahun ditanam, dialihkan tempatnya beberapa kali dan sekarang secara kekal berada di atas pergola. Kebiasaannya kalau pokok anggur, tempat menjalarnya kayu atau wayar sahaja. Mak Aji pula pakai netting hitam (sebabnya untuk menyejukkan bilik tidur di belakang pergola daripada panas petang yang terik), jadi itu yang bila anggur berbuah tidak nampak pun!!

Mak Aji bercadang untuk memanjat tangga bagi mengintai atas pergola tetapi anak dara Mak Aji tidak membenarkan, takut Mak Aji jatuh macam tempoh hari (nanti susah semua orang). Tak mengapa, nanti diminta anak bujang yang panjat nanti. Mana tahu, masih ada sisa yang tinggal!!

Daun-daunnya subur menjalar.
Apakah gerangan ini yang bertaburan????
Anggur sulungku rupa-rupanya! 
Alahai, inilah yang dikatakan tiada rezeki! Dek kerana merajuk dengan pokok ini Mak Aji biarkan sahaja dia - agaknya berbuah untuk memujuk Mak Aji - agaknya lah! Oklah, dah hilang rajukku, berbuahlah lagi ya!!



Saturday, 16 February 2013

Pokok Anggur Memanjat Dulu

As-salam.

Dalam pada mengharap akar dani memanjat pergola, rupa-rupanya pokok anggur yang memanjat dahulu. Serba salahlah pula, takkan akar dani pun hendak memanjat di tempat yang sama? Hai, masalah juga ni. Lihatkan:

Pokok anggur.
Memanjat sudah sampai ke atas! Berbuahnya entah bila??
Pokok akar dani masih terkial-kial di bawah, belum memanjat pun.




Thursday, 12 January 2012

Bunga Kesidang Semerbak Mewangi

Pada pagi yang segar dan dengan udara yang bersih dan nyaman, Mak Aji berasa kurang sihat, tekak terasa kering dan perit, badan berasa seram sejuk. Bila menghampiri singki di dapur, terbau haruman bunga kesidang yang masuk melalui tingkap dapur - harum semerbak - terapi yang cukup baik untuk diri yang kurang sihat!! Memang Mak Aji tanam bunga di sudup belakang dapur untuk memberi semangat agar lebih rajin 'bersilat' di dapur meskipun keletihan setelah seharian bekerja di ofis.

Walaupun sejambak cuma, namun cukup semerbak!!
Subur menjalar di atas para sehingga ke bumbung rumah burung dan ayam.
Dengan cuaca yang agak panas sekarang, dan disulami hujan sekali-sekala, Mak Aji lihat pokok anggur mengeluarkan pucuk baru. 

Ini pokoknya
Pucuk baru
Bilalah agaknya pokok anggur akan mengeluarkan buah?? Agak lama lagilah kut?? Tiada rupa bayang pun tanda-tandanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...