About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label makan. Show all posts
Showing posts with label makan. Show all posts

Monday, 27 October 2014

Piza Cendawan Segala Bagai

As-salam.

Mak Aji menuai lagi beberapa helai cendawan tanam sendiri pada hari ini dan untuk memanfaatkannya Mak Aji menggunakannya sebagai sebahagian bahan untuk topping piza. Makan pizalah kami untuk hidangan malam ini.

Antara bahan topping. Cendawannya cenonet aja!
Mak Aji pakai sos spagheti siap, frankfurter ayam ini serta minyak zaitun yang dibuat drizzle atas pisa sebelum piza dibakar.
Siap untuk masuk ke dalam ketuhar. 
Tadaa, siap piza bikin sendiri dengan topping cendawan segala bagai!
Kalau ada sesiapa yang terliur akan piza ini, anda boleh dapatkan resepinya di sini:


Untuk menghasilkan toppingnya, terpulanglah kepada kreativiti serta kegemaran anda. Taruhlah apa-apa topping yang anda gemari. 

Jom bikin piza!!



Friday, 17 October 2014

Lasagna Ayam ala Malaysia

As-salam.

Cendawan dari dalam kabinet dapur sudah dipetik dan dalam memikirkan apa yang mahu dihidangkan untuk tengah hari ini, Mak Aji teringat akan lasagna - lama sudah tidak memasaknya. Cendawan sedia ada boleh dimanfaatkan untuk menggantikan cendawan butang (sedikit takut untuk membeli cendawan butang di kedai ekoran heboh tempoh hari cerita cendawan butang dari China yang sebenarnya tidak halal, haisy!).

Selain cendawan Mak Aji manfaatkan juga daun kari daripada pokok kari yang baru pulih ekoran sekarang 'makhluk asing' (lupa pula nama makhluk berkepala hitam yang menakutkan itu!). Lihatkan hasilnya:

Lasagna ayam ala Malaysia.
Kuah spaghetti versi Mak Aji dimasukkan cili giling serta rempah kari (juga tentunya daun kari). Jadi rasanya memang lain daripada versi asal (extra spicy kick) - tiada sesiapa marah, kan! Kami suka versi ini berbanding versi asal. 


Cendawan nan dua keping!
Setelah cendawan dipotong - semacam perut (orang Kelantan sebut perut kitab - perut tuala) pula.
Mak Aji letak daun kari untuk baunya.
Mak Aji pakai keju tempatan ini. 

Jom makan!

Catatan: Resepinya di bawah:

Resepi Lasagna ala Malaysia

       Kuahnya:

1 bawang besar/2 yang bersaiz sederhana - saiz besar (potong kiub)
2 tangkai daun kari
4 sudu besar cili giling (sesuaikan ikut kepedasan masing2)
3 sudu besar rempah kari daging
1 paket 400gm daging/ayam cincang (jenama Ramly)
1 tin bsr tomato puri (boleh kurangkan kalau tak suka masam)
1/2 tin cendawan butang (cincang)
Sekotak lasagna segera*
200 gm Keju mozarella

Cara2nya:

Tumis bawang hingga wangi, masukkan daun kari, cili giling d rempah kari. Bila pecah minyak, masukkan daging. Masukkan segelas air.  Bila daging/ayam masak, masukkan cendawan, garam dan sedikit gula. Sesuaikan rasa ikut selera anda.

 B.      Sos bechamel/putih:

2 sudu bsr mentega
4 sudu bsr tepung gandum
1/2 ketul stok ayam (hancurkan dlm 1 gelas air panas)
Garam d lada hitam
Sedikit susu segar (kalau suka)

Cara2nya:

Gunakan non-stick pan. Panaskan pan, masukkan mentega. Masukkan tepung. Kacau sebentar tetapi jangan sampai bertukar warna ke gelap (seperti buat sos untuk steak atau chicken chop) – sedikit kuning sahaja. Terus masukkan air panas (dengan stok ayam). Guna whisk plastik dan kacau sentiasa agar  tidak berketul. Masukkan susu segar. Sesuaikan kepekatan (kalau sejuk sos akan jadi lebih pekat).


Lenserkan acuan dgn mentega. Susun selapis kepingan lasagna. Senduk kuah daging/ayam hingga meliputi seluruh permukaan lasagna. Tuang sos bechamel. Taburkan selapis keju  mozarella. Ulang dgn lapisan lasagna lg. Buat hingga selesai. Tutup dgn aluminium foil. Bakar dgn suhu 170 selama 20 minit. Buka foil dan bakar lagi selama 10 minit lagi supaya keemasan  permukaannya. Hidang dengan salad.

*Kepekatan sos daging/ayam bergantung pada jenis lasagna yang anda gunakan. Kuah Mak Aji agak cair sedikit sebab Mak Aji gunakan lasagna segera yang tidak perlu dimasak terlebih dahulu.

Selamat mencuba!




Friday, 2 May 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Tuaian hari ini adalah untuk melengkapkan ramuan ulam-ulaman bagi makan tengah hari - nasi kerabu. Ini tuaiannya:

Dari kiri pucuk serai kayu, pucuk tenggek burung dan di kanan daun kesum.
Mak Aji menggunakan isi ikan yang siap dijual. Begitu juga dengan kerisik kelapa yang sudah siap disangai. Sambal (serunding) ikan hanya dibuat dengan mencampurkan isi ikan, kerisik, serbuk lada hitam, sedikit garam dan secubit gula. Bawang besar cuma dimayang halus dan ditabur. Mak Aji juga menyediakan tumis (kuah pekatnya) dengan menumis bawang merah dan putih (yang dikisar), cili giling. Setelah naik minyak dicampurkan santan pekat. Letakkan sekeping asam keping. Boleh juga ditambah budu dan juga serai yang diketuk (serai yillek jadi tak bubuh). Biarkan mendidih lagi dan naik minyak serta pekat. Nasi kerabu sedap bila dikawankan dengan telur asin dan juga bawang putih jeruk! Jemput tengok!!

Nasi kerabu - sengaja diletakkan pewarna kuning agar lebih menarik.
Alhamdulillah - senyum puas kerana ulam-ulaman di laman berjaya dimanfaatkan lagi!



Wednesday, 15 May 2013

Jom Buat Som Tham!

As-salam.

Alhamdulillah percubaan pertama som tham menjadi dan oleh kerana ada rakan-rakan blogger yang ingin tahu versi som tham yang Mak Aji buat, berikut Mak Aji perturunkan:

Fotonya sekali lagi ya, bikin kecur air liur!
Lesung som tham yang diimport khas dari Siam
(tapi melambak di Kota Bharu!)
Bahan-bahannya:

250gm betik mengkal yang disagat kasar
1 biji tomato dipotong 8 bahagian (Mak Aji tak buang bijinya)
2 biji asam limau nipis diambil jusnya
1 sudu besar nisan/gula daripada nira kelapa/gula biasa - sesuaikan ikut selera
3 sudu besar kacang tanah yg disangai (goreng tanpa minyak dan ditumbuk kasar)
2 sudu besar udang kering (basuh, toskan)
2 ulas bawang putih
20 ulas cili api (Mak Aji suka pedas, boleh kurangkan jika tak tahan pedas)
1 sudu makan sos ikan/nam pla  (boleh tambah jika kurang masin)


Cara-caranya:

Masukkan bawang putih dan cili api ke dalam lesung (lesung kayu som tham, kalau ada), dan tumbuk kasar. Masukkan udang kering, juga tumbuk kasar. Masukkan gula nisan/gula biasa, jus asam limau nipis dan tumbuk sedikit. Masukkan tomato dan lenyek-lenyekkan sedikit. Masukkan sos ikan dan akhir sekali masukkan betik. Tumbuk sedikit (jangan kuat-kuat) serta gaul rata. Rasa dan cuba sesuaikan rasa masin, masam, manis serta pedas mengikut selera anda sendiri! Sebelum dihidangkan tabur kacang tanah.


Catatan: Mak Aji tidak masukkan garam sebab sos ikan sudah sedia masin. Juga tiada MSG sebab Mak Aji tidak pakai perasa itu. Mak Aji guna gula nisan, jadi jika guna gula biasa kena kurangkan sedikit ya! Kalau anda suka kacang panjang, anda boleh patah-patahkan sepanjang 2 inci panjang dan masukkan juga dan gaul. Anda juga boleh masukkan kangkung jika suka, juga dipatah-patahkan dan gaul. Selamat mencuba dan harap menjadi!!



Sunday, 12 May 2013

Som Tham

As-salam.

Betik sulung (pokok baru) sudah mengkal. Pak Aji sudah memetiknya untuk Nadia (menantu yang mengandung sulung) makan colek. Mak Aji pula teringat untuk membuat som tham - belum pernah merasmikan lagi lesung som tham sejak dibeli beberapa bulan lalu.

Tidak semua bahan ada di rumah, iaitu kacang panjang atau kangkung. Namun begitu som tham yang dibuat sekadar menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah sahaja. Ini hasilnya, som tham hasil tuaian betik mengkal dan cili padi di laman:

Som tham cubaan pertama.
Alhamdulillah menjadi juga akhirnya!
Teringat pula Mak Aji akan seorang membuat komen di FB bahawa orang yang memuat naik foto makanan menunjukkan petanda sakit mental! Tidak apalah kalau sakit mental yang didiagnosis oleh bukan pakar, kalau oleh pakar lainlah ceritanya!!



Tuesday, 10 July 2012

Ole-ole dari Kampung

Betik banyak di pokok, maka Pak Aji teringat akan som tham, sejenis salad betik muda yang kami sekeluarga minat.  Semasa di pasar Takbai, Thailand, Mak Aji beli udang kering, kacang tanah siap sangai, dan sejenis gula (khusus untuk som tham dan yang sewaktu dengannya). Bila Mak Aji hendak beli lesung kayunya, Pak Aji kata biarlah master dulu buat som tham baru dibeli lesungnya! - kalau tak jadi, tak tahu ya, sebab lesungnya tiada ya!!! 

Nantilah ya, Mak Aji buat som tham daripada betik segar dari ladang!

Som tham - kecur air liur melihatnya!!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...