About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label tuaian hari ini. Show all posts
Showing posts with label tuaian hari ini. Show all posts

Wednesday, 28 May 2014

Stok Simpanan Mulberi

As-salam.

Buah mulberi sudah tiga kali dipetik. Ada ketika buahnya tidak sebanyak mana, seperti yang dua kali yang sudah dibuat stoknya. Alhamdulillah rezeki mulberi pada hari ini cukup lumayan, jauh lebih banyak daripada stok sedia ada:

Tuaian mulberi bersama-sama dua batang kacang panjanggg serta dua jenis cili api.
Stok daripada dua kali petik.
Keseluruhan stok mulberi - masuk terus ke freezer!
 
Insya-Allah buah dipokok boleh dibuat tuaian sekali dua lagi sebelum habis. Setelah itu dahan-dahan akan dicantas lagi untuk menggalakkan pertumbuhan tunas dan juga buah baru. Nanti bolehlah Mak Aji cuba untuk masak pucuk mulberi pula! 



Saturday, 24 May 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Pokok kacang panjang yang panjangnya XXL sudah beberapa kali mengeluarkan hasilnya. Setakat ini yang paling panjang berukuran 22.5 inci! Yang paling panjang yang dituai tidaklah sepanjang itu, cuma kurang sedikit. Yang lain-lainnya lagi pendek. Apapun alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan! 

Cili api kampung pun sudah agak lama tidak dipetik dan hari ini sekali petik banyaklah juga. Buah mangga cokanan pula banyak buahnya yang rosak kerana merekah lalu jatuh sahaja ke bumi - sayangnya! Hari ini dua biji sudah cukup matang untuk dipetik dan sudah mula menguning - alhamdulillah ada juga rezeki kami!:

Dua biji mangga, 4 batang kacang panjang dan cili api kampung - bunga raya sekadar hiasan ajelah!
Sekian adanya alhamdulillah!




Friday, 2 May 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Tuaian hari ini adalah untuk melengkapkan ramuan ulam-ulaman bagi makan tengah hari - nasi kerabu. Ini tuaiannya:

Dari kiri pucuk serai kayu, pucuk tenggek burung dan di kanan daun kesum.
Mak Aji menggunakan isi ikan yang siap dijual. Begitu juga dengan kerisik kelapa yang sudah siap disangai. Sambal (serunding) ikan hanya dibuat dengan mencampurkan isi ikan, kerisik, serbuk lada hitam, sedikit garam dan secubit gula. Bawang besar cuma dimayang halus dan ditabur. Mak Aji juga menyediakan tumis (kuah pekatnya) dengan menumis bawang merah dan putih (yang dikisar), cili giling. Setelah naik minyak dicampurkan santan pekat. Letakkan sekeping asam keping. Boleh juga ditambah budu dan juga serai yang diketuk (serai yillek jadi tak bubuh). Biarkan mendidih lagi dan naik minyak serta pekat. Nasi kerabu sedap bila dikawankan dengan telur asin dan juga bawang putih jeruk! Jemput tengok!!

Nasi kerabu - sengaja diletakkan pewarna kuning agar lebih menarik.
Alhamdulillah - senyum puas kerana ulam-ulaman di laman berjaya dimanfaatkan lagi!



Friday, 1 November 2013

Rezeki Pagi Jumaat

As-salam.

Cuaca agak sejuk, segar dan dingin dengan hujan sekali-sekala. Sebelum hujan turun sempatlah Mak Aji mengutip sedikit hasil dari laman:

Buah mulberi, bunga telang serta cili ungu.
Amacam, cantik tak? Ini kerja orang yang tak ada kerja!
Kali ini bunga telang paling banyak sekali bunganya dan kalau selama ini projek menyirap asyik tertangguh sahaja, maka ini masa terbaik untuk menyirapnya.:

Cuma dapat seperempat botol sahaja sirapnya. Cantik birunya ya!
Sekali pandang warna biru sirap ini, teringat Mak Aji zaman sekolah dahulu kala apabila ada ketikanya baju sekolah diletakkan nila agar lebih cantik. Silap haribulan, jika terlebih banyak nila, baju putih bertukar biru pula! 

Sebelum merasa sirap bunga telang, Mak Aji mengingatkan diri agar jangan lupa untuk buat magic yang diajar En. Iskandar dari blog Tanam Sendiri. Apabila sirap diperah sedikit air asam limau nipis, tadaaaaaa, ini hasilnya!:

Cantiknya ungumu!! Mana ada sirap ungu yang secantik ini???
Sekembali Pak Aji dari masjid untuk solat Jumaat, Mak Aji mempelawanya minum air sirap ungu ini dan dia membuat muka pelik - "air apa ni??" 

Terbukti air sirap ungu cukup sedap! Anda yang belum pernah cuba mesti kena cuba tau!

Mak Aji tidak sabar-sabar untuk membuat magic ini kepada cucu-cucu nanti! Pasti mereka kata Tokma mereka hebat!! (he he).




Friday, 5 July 2013

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Dalam sibuk membelai cucu, peluang semasa cucu tidur Mak Aji manfaatkan untuk lari ke laman untuk mendapatkan tuaian hari ini:

Salad cina, cili ungu, cili api kampung, mulberi, bunga telang, bendi (sudah terlewat petik dek sibuk) bunga roselle serta bunga kenanga.
Cantik pula kenangaku!
Insya-Allah salad cina akan dimakan bersama-sama salad kentang kegemaran anak dara Mak Aji. Bunga roselle akan dibikin sirap sementara bunga telang akan dijadikan pewarna nasi kerabu untuk menu tengah hari ini! Alhamdulillah atas rezeki-Mu!

Sekadar itu perkongsiaan, hendak sambung masak nasi kerabu ni!!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...