About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday 30 April 2014

Salon dalam Taman

As-salam.

Sejak mula-mula menetap di rumah sekarang Mak Aji sering tertoleh-toleh ke arah sebuah rumah di Kuang. Bukan sebab rumahnya gah tersergam, bukan kerana kereta menjalar di hadapan rumah tetapi kerana terpikat dengan kawasan lamannya yang indah menghijau! 

Di jalan masuk ke rumah itu terdapat papan tanda salon dengan nombor telefon. Setelah berhenti sejenak Mak Aji mengambil nombor telefon tersebut. Setelah dihubungi, tuan punyanya cuti berpantang dan salon ditutup sepanjang tempoh berpantang. Sejak itu Mak Aji asyik terlupa untuk menghubunginya lagi.

Semalam dek kerana malas untuk ke Subang Perdana untuk merapi rambut, Mak Aji mencuba nasib dengan salon di Kuang ini. Alhamdulillah Mak Aji bernasib baik lalu membuat temu janji pada pagi ini.

Akhirnya rambut siap dirapi dan Mak Aji (yang lebih pentingnya!) berpeluang meneroka taman yang sekian lama ingin dilawati. Usah panjang cerita, biarkan foto menjelaskan segala-galanya!:

Keluar sahaja dari salon  kepunyaan Nur, ini di sebelah kanan.
Kerusi laman pelengkap tempat bersantai.
Untuk masuk ke salon Mak Aji lalui pergola dengan bunga merimbun ini - bagaikan disambut meriah!
Ini dari sudut pintu pagar masuk ke laman rumah ini.
Di sisi rumah ada lagi pergola yang menempatkan pokok bunga akar dani. Kawasan tepian rumah
dimanfaatkan semaksimum mungkin. 
Di kawasan menuju pintu masuk ke rumah, di kanannya terdapat pokok bunga hoya dengan
daun berbatik (variegated).
Di sebelah kiri pula pokok bunga hoya merah ini. Perhatikan pancang tempat
memanjatnya! Akan kubuat seperti ini!
Bunga hoya merah, meriah sekali. Kata mak cik tu bunga ini berbau harum waktu senja! Baru kutahu!!
Bunga hoya putih dengan daun berbatik tadi.
Ini pula pergola yang menyambut tamu dari kiri pintu pagar masuk ke laman. Pun sedang berbunga.
Yang ini di belakang ruang beranda.
Cantik bunganya merah putih.
Cantik sekali bunga letup-letup yang menghias pergola di hadapan salon.
Mak cik itu menjumpai pokok bunga menjalar yang daunnya seperti ivy ini di hutan
belakang rumahnya.
Ini bunganya dari dekat - belum kembang lagi.
Bunga merah ini juga di pintu masuk ke laman.
Cantik merimbun bunga kuning ini.

Ini dia salon yang Mak Aji kunjungi bersaiz comel di sudut kanan laman.
Setelah selesai merakamkan foto, terasa berat hati meninggalkan taman yang cukup permai ini. Nur dan ibunya juga cukup peramah walaupun itu baru kali pertama Mak Aji berkunjung. Sebelum pulang Mak cik itu menghadiahkan Mak Aji dua jenis pokok bunga!!! Terima kasih banyak-banyak, cukup baik hati mak cik ini! (dalam hati mahu datang lagi dan lagi ke mari!). Ini pokok-pokok yang dihadiahkan:

Bunga alamanda, bukan!?
Yang paling suka, Mak Aji juga dapat pokok bunga hoya
 merah itu!! Hati seronok tidak terkata!
One last shot before I went off!
Tidak sabar mahu jumpa mak cik itu lagi (mahu kukecek lagi pokok bunganya!) Mahu juga Mak Aji bawa dia ke laman Mak Aji pula untuk tanya dia pokok apa yang ada yang dia pula mahukan!!




Monday 28 April 2014

Asal Bertunas Terus Berbuah

As-salam.

Sekitar seminggu lepas, Pak Aji membuat pangkasan pada pokok mulberi sebab ranting-rantingnya sudah agak panjang dan buah tiada lagi yang kelihatan. Pangkasan dibuat untuk memastikan ketinggian pokok terkawal agar rendah dan mudah untuk mengutip buahnya. Langkah ini juga penting untuk menggalakkan keluarnya tunas baru serta buahnya sekali.:

Keluar tunas, keluarlah juga buahnya.
Buah mulberi yang bakal kusirap nanti, insya-Allah!



Bunga Trumpet yang Ceria

As-salam.

Pokok bunga trumpet besar (yang dahulunya Mak Aji gelar bunga Nasir sempena tuan asalnya) sedang begitu galak sekali berbunga. Inilah pertama kali pokok ini menghasilkan bunga yang sebegitu banyak secara serentak. Mari kita lihat kemeriahannya:






Mangga Mahathirku

As-salam.

Petang tadi Pak Aji membelek-belek beberapa buah mangga Mahathir yang sedang berbuah dan semakin besar. Dengan bangganya diselaknya satu persatu surat khabar yang membalut buah-buah itu. Disuruh berdiri di sebelah buah sebagai perbandingan saiz tidak mahu pulak dia. Jadi Mak Aji tunjukkan tapak tangan sahajalah untuk anda agak saiznya ya!:

Ini sebiji.
Ini sebiji lagi!
Kesemua buah di pokok belum matang dan alhamdulillah semakin hari semakin membesar! Tidak sabar rasanya untuk melihat saiz maksimumnya nanti! Sekarang ada sekitar berbelas biji bersaiz seperti ini.





Meriah Si Bunga Raya

As-salam.

Dua jenis bunga raya sedang memeriahkan laman di saat ini, satunya bunga raya merah yang berupa bunga kebangsaan kita dan satu lagi jenis bunga raya kelopak kecil manis berwarna merah jambu. Mari kita lihat:

Merah menyala!
Merah jambu yang halus manis!
Ini pokok bunga raya merah jambu - kecil sahaja kelopak bunganya.



Pisang Nan Setandan

As-salam.

Sewaktu kami menambah ruang santai di beranda belakang, kami terpaksa mengorbankan banyak pokok pisang yang hidup subur di situ (tentunya kepentingan tuan lebih diutamakan, namun berasa sedih juga!). Ada seketika enam pokok berbuah sekaligus - enam tandan!! Setelah semua pokok berbuah kami mula memindahkan anak-anak pokok ke sudut lain laman. Ada juga anak pokok diberikan kepada jiran sebelah dan pokok itu sudah pun beranak-pinak dan sudah juga berbuah.

Setelah beralih tahun barulah pokok pisang abu/kebatu kami mengeluarkan hasil di tempat baru. Ini rupa tandan pertama, alhamdulillah!:

Pisang abu tandan pertama.




Sunday 27 April 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Untuk makan tengah hari Mak Aji sediakan tom yam, ikan goreng serta ulam-ulaman dari laman serta tempoyak hasil tangan Pak Aji. Ini ulam-ulaman yang dituai hari ini:

Pucuk daun salam dan pucuk elderberry (dikanan bawah).
Kalau tujuan awal mahu kurangkan makan nasi, akhirnya kami berdua tewas, makan bertambah-tambah lagi. Hancuss diet!

Wednesday 23 April 2014

Si Bunga Ungu Kembang Lagi

As-salam.

Bunga daun tujuh bilah versi ungu kembang lagi dan rupanya cukup cantik dan menawan hati. Walaupun rupamu cantik, durimu perlu sentiasa diawasi (terutama anda yang mempunyai anak-anak kecil yang bernain-main di laman!) 

Indah nian rupamu!



Terdapat tiga tangkai yang kesemuanya menghasilkan bunga. Bunganya pula kembang silih berganti jadi lamalah juga Mak Aji dapat menikmati keindahannya alhamdulillah!



Buah Pokok Kari

As-salam.

Pokok kari yang berbunga tempoh hari sudah beberapa minggu menghasilkan buahnya. Petang tadi Mak Aji sempat merakan buahnya yang sudah kemerah-merahan. Akan Mak Aji jadikan benih pokok kari nantinya:

Cantik pula buah kari ini ya, semacam buah ceri juga ada!

Hasil Seni

As-salam.

Petang tadi seorang jiran kami datang ke rumah bertanyakan Pak Aji sama ada berminat atau tidak untuk membeli hasil seninya. Pak Aji terus setuju dan mengambilnya lalu dibawa masuk ke rumah. Lihatkan apa yang Pak Aji beli dengan harga RM30:

Ini dia hasil seni jiran kami!
Tunggul kayu mati dibersihkan serta disapu cat serta varnis dan hasilnya voila - karya seni! Cukup kreatif sekali, bukan!



Rezeki Siapalah Agaknya??

As-salam.

Sudah beberapa kali buah anggur menjadi kismis. Yang terbaharu keluar setangkai lagi kudup bunga anggur - tiadalah lagi Mak Aji menaruh harapan tinggi - entah rezeki kami entahkan tidak!

Entah rezeki siapalah nanti anggur ini??
Kalau melihatkan pokok anggur di ladang anggur di luar negara memang tiada pun para/pergola yang digunakan, nampak agak ringkas tetapi buahnya masya-Allah punyalah banyaknya:

Sumber foto: holycity.org
Ada kawan blogger, Rose dari blog Semua Menjadi menyarankan agar sulur anggur dicantas sahaja sampaikan tinggal yang berwarna coklat sahaja (Mak Aji tambah - tanpa belas kasihan! - mercilessly!). Mak Aji (Pak Aji sebenarnya yang mencantas) ada buat cantasan tetapi masih ada elemen kasihan - maknanya masih tidaklah semuanya ditogelkan! Kalau diiukutkan pokok-pokok seperti dalam foto di atas ini memang hampir togel pun, tiada pun yang menjalar-jalar! Selepas ini bila buat cantasan kenalah dibuat dengan hati kering!!




Thursday 10 April 2014

Cendawan Susu Harimau

As-salam.

Pernahkah anda melihat cendawan ini? Mak Aji dimaklumkan antara khasiatnya, bagus untuk pesakit kanser! Khasiat lain, Allahualam. 

Kalau kebanyakan orang termasuk Mak Aji hanya melihat cendawan ini dalam bentuk berketul seperti batu putih, tempoh hari Mak Aji berpeluang melihat dan merakam foto cendawan ini sepenuhnya! Lihatkan:

Cendawan susu harimau!!
Mak Aji menjumpainya di sebuah kedai di Lata Iskandar, Tapah, Perak. Yang sebesar ini harganya RM30 dan censawan ini dijual mengikut berat. Lupalah pula berapa harganya sekilo. Yang pasti cukup mahal sekali!!



Warna-warna Ceria di Laman

As-salam.

Kembang sahaja bunga yang berwarna-warni di laman, maka berbunga jugalah hati Mak Aji. Mari kita lihat bunga apa yang menceriakan laman pada hari ini:

Warna amaryllis yang cukup menggembirakan hati!

Bunga siantan/ixora.


Walau cuma putih warnamu harummu tetap memikat hati!
Kemboja Jepun juga cukup meriah warnanya.
Bunga kemunting yang manis!
Akar dani yang tidak tahu berhenti berbunga dan mewangi lamanku!


Kembang kemboja ini juga sudah berbulan menghiasi laman.
Bunga trumpet yang menjalar di pergola.
Alhamdulillah tidak berbudi pada tanah - pokok bunga membalasnya dengan bunga-bungaan yang menceriakan tuannya!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...