About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label petua. Show all posts
Showing posts with label petua. Show all posts

Thursday, 27 November 2014

Petua di Dapur: Cara Menyimpan Halia

As-salam.

Mak Aji ingin kongsikan cara menyimpan halia agar kekal segar walaupun sudah sekian lama dibeli (untuk mereka yang tidak menanamnya) atau digali di laman. Petua ini diperoleh daripada Rachel Ray, seorang personaliti/tukang masak di ASTRO (30-Minute Meals with Rachel Ray).

Sebelum mendapat petua ini Mak Aji sering mendapati halia yang dibeli (yang ditanam tidak menjadi) sudah busuk sebelum sempat habis digunakan. Petua Rachel ini menyelesaikan masalah tersebut!

Caranya:

Kopek kulit halia dan masukkan halia yang siap dikopek itu di dalam plastik (sebaik-baiknya  jenis yang resealable agar lebih mudah). Simpan halia di bahagian sejuk beku. Setiap kali anda perlukan halia, potong sebanyak mana yang anda perlukan dan parutkan sahaja. Halia yang disejuk beku memudahkan kerja memarutnya! 

Sumber fotokhazanahalamkita.blogspot.com

Pemarut kecil yang biasa Mak Aji gunakan. 
Maka tiadalah lagi halia busuk! Selamat mencuba!!



Monday, 3 November 2014

Sup Sayur untuk Pokok??

As-salam.

Semua orang sedia maklum yang sayuran memang baik untuk kesihatan kita. Tahukah anda yang sayuran juga bagus untuk kesihatan tanaman kita?? 

Mak Aji ada terbaca terbaca tentang hal ini dan sumbernya (macam biasalah, hakisan memori - lupa pula sumbernya!). Di sini Mak Aji panjangkan maklumat tersebut agar dapat kita sama-sama manfaatkan.

Jika anda mencelur/merebus atau mengukus sayur, tentunya ada lebihan air yang biasanya kita akan curah begitu sahaja ke singki. Apa kata kita manfaatnya untuk menyiram tanaman kita, terutama yang ditanam di pasu? Katanya kita akan melihat betapa responsifnya tanaman kita akan sup sayur ini! Mak Aji belum mencubanya lagi tetapi mengikut kata orang begitulah halnya!

Jom kita cuba! 

Sumber foto: hotcooking.co.uk

Catatan: Pastikan anda sejukkan dahulu sup sayur itu, kecuali jika anda ingin bunuh tanaman itu, he he!

Wednesday, 29 October 2014

Cara Mudah untuk Keringkan Herba

As-salam.

Dalam keadaan sekarang yang hujan turun saban hari mereka yang tiada tempat khusus untuk menyidai kain di tempat terlindung akan menghadapi masalah. Apa lagilah kalau anda juga ingin mengeringkan herba atau dedaun yang ingin dibuat teh dan sebagainya. Berkaitan dengan hal ini, Mak Aji ada terbaca dari satu sumber (lupa dari mana) cara yang mudah untuk mengeringkan herba tanpa perlu menjemurnya di panas matahari atau menggunakan alat (seumpama ketuhar) yang mengeringkan herba/bahan lain yang sewaktu dengannya. Mari Mak Aji kongsikan:


     Hamparkan kertas surat khabar di tempat duduk di kereta anda. Susun herba secara selapis 
     dan tutp tingkap serta pintu kereta. Buatlah selama beberapa hari sehinggalah herba anda 
     kering. Faedah sampingannya, kereta anda juga akan berbau harum dek herba tadi! 


Mahkota dewa yang dikeringkan secara menjemurnya. Jenuh jugalah berlari-lari anak setiap kali hujan turun tanpa disedari!
Selepas ini bolehlah digunakan kaedah baru ini!


Friday, 22 August 2014

Petua: Cara Mengelak Kuku Kotor Semasa Berkebun

As-salam.

Mak Aji percaya ramai yang sedikit bermasalah apabila selesai kerja-kerja berkebun - kuku kotor kerana bermain tanah! 

Tahukan anda cara mudah untuk mengelak daripada kuku kotor? Begini caranya:

Cari sebatang lilin dan garu-garukan kuku kita ke batang lilin tersebut agar celah-celah kuku kita dipenuhi lilin tersebut. Ini akan mengelak daripada tanah terselit dicelah kuku kita! Tentunya lebih mudah dikeluarkan cebisan lilin berbanding tanah!

Ada satu lagi alternatif yang rasanya lebih baik, iaitu sabun mandi. Selesai berkebun cari berus gigi lama dan gosokkan ke kuku. Insya-Allah bersih kuku anda!

 Sumber foto:  www.livebold.org.
Sarung tangan yang terlalu cantik hingga tidak terpakaikan!
Selamat mencuba!

Catatan: Jika anda memakai sarung tangan, maka tiadalah relevan petua ini. Petua ini hanya terpakai untuk orang-orang seperti Mak Aji yang suka bermain tanah dengan tangan! (feeling close to mother earth)




Thursday, 10 July 2014

Awas Sang Harimau!

As-salam.

Pagi tadi Mak Aji keluar atas banyak urusan, yang antara lainnya menambah stok tanah serta membeli baja yang kehabisan, selain membeli barang dapur untuk keperluan rumah - biasanya Pak Aji yang membuatnya - dalam ketiadaannya terpaksa Mak Aji mengambil alih.

Seperti biasa sambil melintasi deretan nurseri di kawasan Hospital Sungai Buloh, Mak Aji menjamu mata dengan pelbagai pokok hiasan beraneka jenis dan warna (this is heaven!!). Tiba-tiba kelihatan serumpun pokok tiger orchid sedang galak berbunga!! Masya-Allah sungguh cantik sekali! Apapun Mak Aji melintas dahulu sambil menjeling kepadanya - akan kusinggah untuk sesi foto nanti! Baja dan tanah dahulu yang perlu dibeli. Selesai membeli apa yang patut, Mak Aji perasan serumpun lagi pokok tiger orchid juga, pun sedang berbunga lebat!! Sang harimau mengaum di nurseri Sungai Buloh pada hari ini ya! Kalah segala tumbuhan lain dek ngaumannya! Mari kita saksikan keindahannya!:


Sesuai sangatlah namamu! Memang macam rimau!
Sudahlah cantik, besar pula tu, hampir tiga suku saiz telapak tangan Mak Aji!
Ini rumpun pertama yang Mak Aji lihat - di tengah-tengah panas warna bunganya sedikit pucat berbanding rumpun kedua yang di tempat redup!
Bertangkai-tangkai bunganya yang bersaiz besar!!
Cer teka, cer teka berapa harga anak pokoknya!!! - RM120 sepokok ma!! 
Ini bunga daripada rumpun kedua.
Bunganya tak sebanyak rumpun pertama.

Mak Aji minta izin untuk memfoto rumpun yang kedua tetapi rumpun pertama Mak Aji main snap aje! Mak Aji cuba memohon nasihat pemilik nurseri rumpun kedua yang menjual anak pokoknya ini. Nasihatnya - "kalau mahu pokok ini berbunga, letak sahaja di tengah-tengah panas, jangan pedulikan dia, buat derk sahaja, biar dia tak sihat, maka berbungalah dia. Jangan biarkan daunnya melebat, biar dia sakit sikit!!"

Begitukah halnya?? Maka itulah yang akan Mak Aji buat dengan rumpun pokok Mak Aji - mungkin juga kena bongkar balik pokok itu dan letak sahaja di tengah panas-panas buta - tempat sekarang agak redup sedikit - mendapat separa cahaya matahari. Hari ini Mak Aji dapat nasihat yang cukup berharga - untuk mereka yang ada pokok ini yang enggan berbunga, mari kita amalkan!!

Oh ya, berikut pokok tiger orchid Mak Aji yang belum mengaum-ngaum lagi setakat ini. Harap dengan bantuan petua serta galakan daripada baja yang baru dibeli ini, mahulah dia mengaum di laman Mak Aji pula ya, insya-Allah!!:

Mak Aji nak mula buat derk kat pokok ni! (kecuali boh bajalah, siram takdelah).
Bantu Mak Aji ya baja!




Tuesday, 13 May 2014

Petua Agar Mulberi Berbuah Lebat

As-salam.

Dengan hujan setiap hari, sehari dua lagi rumput di laman perlu dipotong lagi. Walaupun begitu pokok dan tanaman di laman alhamdulillah subur. Kerja tukang kebun pun makin ringan - hanya siram untuk pokok dan tanaman yang berada di teduhan dan tidak menerima siraman hujan sahaja.

Pokok mulberi menjadi-jadi buahnya! Alhamdulillah begitu banyak sekali buahnya - sudah terbayang sirap yang lebih banyak dapat dihasilkan nanti, insya-Allah!





Untuk memastikan agar pokok mulberi berbuah lebat seperti ini, pastikan anda membuat pangkasan agar tunas baru akan muncul. Bersekali dengan tunas itu akan muncullah buahnya juga! Pangkasan juga akan memastikan bahawa pokok kekal rendah dan rendang - mudah untuk kita memetik hasilnya nanti, insya-Allah!



Thursday, 1 November 2012

Petua Kesihatan: Madu dan Cuka

As-salam.

Pada hari raya pertama (malamnya) kami beraya di rumah bapa saudara di Ampang. Selepas dijamu makan, kami berborak-borak tentang kesihatan. Mereka suami isteri dalam lingkungan usia 60-an dan alhamdulillah dikurniakan kesihatan yang baik, mempunyai berat badan ideal dan tiada masalah kesihatan (kecuali emak saudara yang tinggi paras kolesterolnya, namun terkawal).   

Apabila ditanya apa petua mereka, bapa saudara antara lain memberitahu apa yang diamalkan sejak bertahun-tahun dahulu - amalkan meminum dua sudu besar air cuka bersama-sama sesudu besar madu yang dibancuh ke dalam segelas air suam. Lakukan sebelum minum atau makan apa-apa setiap pagi. Ulang yang sama pada jam 10.00 pagi dan 3 petang. Insya-Allah sakit kaki/tumit (aduan Mak Aji kepadanya) yang dialami setiap pagi apabila bangun pagi akan hilang. Mak Aji sudah mencubanya sejak beberapa hari lalu dan alhamdulillah sakit memang berkurangan dan ada kalanya hilang langsung (belum tahap serius agaknya). 

Menurut katanya lagi, boleh sahaja cuka atau madu apa yang digunakan, insya-Allah kesannya sama sahaja. Berikut antara madu dan cuka yang kami gunakan di rumah:

Dari kiri, madu tempatan, madu Yaman, cuka kurma, cuka tebu dan cuka epal.

Selain amalan di atas, mereka juga 'hampir' mengubah guna bilik entertaintment (tengok TV, wayang dll) kepada bilik terapi yang menempatkan mesin Alpha One dan juga Ceragem (berbaring di atasnya). Dengan amalan dan terapi di rumah, mereka mampu makan apa sahaja tanpa perlu berpantang! Makan sedap, kata mereka!! 

Anda ada amalan yang boleh dikongsi? Amalan untuk awet muda ke, he he he!!




Sunday, 12 August 2012

Petua di Dapur

Pernahkan anda terpaksa membeli sayur layu sebab sudah tiada lagi sayur jenis yang sama yang masih elok? Mak Aji pernah terpaksa berbuat demikian - daun kesum - untuk masak asam rebus. 

Selepas membelinya dan sebaik sahaja balik ke rumah, Mak Aji terus merendamkan keseluruhan sayur di dalam air. Tidak lama kemudian, sayur kembali segar seperti sediakala!

Sayur yang layu jangan direndam akar/batangnya sahaja.
Sumber foto:   http://sihat-lestari.blogspot.com/2012/03/10-sebab-untuk-memilih-get-clean-basic.html

Sebaliknya rendam keseluruhannya.
Sumber foto:  http://gobiodisc.com/2010/12/14/benarkah-biodisc-memberi-energi-ke-air/

Sunday, 6 May 2012

Bertangas

Kak Lah tukang urut Mak Aji juga ada memberi satu lagi petua yang bukan sahaja diamalkan oleh orang selepas bersalin, malah juga baik untuk wanita biasa juga (yang sudah lama tidak bersalin macam Mak Aji!).

Katanya bertangas juga baik untuk membuang toksik dari dalam badan, juga sebagai satu kaedah untuk menguruskan badan.

Kerusi bertangas yang direka khas.
Duduk bertangas
Menurutnya berikut kaedahnya:

1. Rebus daun asam jawa, daun pandan dan daun serai wangi di dalam periuk.
2. Biarkan mendidih.
3. Letakkan di lantai dan letakkan kerusi yang berlubang (di tempat duduk, macam kerusi plastik 
    di gerai).
4. Duduk di kerusi dan selubunglah diri dengan selimut atau kain tebal (kecuali kepala).
5. Duduklah sehingga air rebusan sejuk dan tidak lagi mengeluarkan wap.

Sebenarnya jika blogwalking, banyak maklumat yang diperoleh tentang manfaat bertangas. Mak Aji cuma menyampaikan/berkongsi sedikit maklumat yang diperoleh daripada Kak Lah sahaja.

Catatan: Teringinlah pula masuk sauna untuk bertangas cara mudah. Set sauna masih berlipat dan disimpan di stor sejak pindah rumah (sudah setahun lebih yang lepas). Cuma perlu diingatkan, jangan sekali-kali masuk ke sauna jika sedang mengalami migraine (Mak Aji pernah berbuat demikian - sakitnya semakin teruk hingga 'tidak jadi orang' - janganlah orang lain mengalaminya pula! 

Sumber petua: Kak Lah Tukang Urut (Sg. Buloh)


Saturday, 5 May 2012

Kegunaan Pokok Semalu

Mak Aji baru sahaja selesai berurut seluruh badan dengan seorang tukang urut yang juga merupakan saudara (bau bacang). Mak Aji memang puas hati dengan urutannya. Alhamdulillah dapat juga tukang urut yang bagus! Mak Aji juga baru tahu yang dia juga boleh bertungku - lamanya tidak merasa batu tungku - sesiapa yang pernah bertungku tahulah betapa sedap dan ringannya badan selepas diurut dan ditungku sekali!!

Apa yang bagus dengan kakak ini, semasa berborak dia sempat memberi petua yang belum pernah Mak Aji dengar - tentang pokok semalu.

pokok semalu
Kalau selama ini Mak Aji amat tidak sukakan (bermusuh dengan) pokok semalu sebab tangan kadang-kadang terluka semasa membuang rumpai gara-gara duri semalu. Sekarang Mak Aji kena 'semak semula'  permusuhan tersebut! Insya-Allah banyak lagi petua yang bakal dikorek daripadanya yang kemudiannya akan dikongsi nanti!

Menurut tukang urut ini, pokok semalu yang dicabut menggunakan playar (keseluruhan pokoknya termasuk akar) direbus di dalam periuk hingga menggelegak. Biarkan sejuk sedikit sehinggalah agak-agak boleh dimasukkan tangan atau kaki di dalam air rebusan itu (masukkan air itu ke dalam besen atau baldi terlebih dahulu!). 

Air rebusan ini cukup baik untuk mengekalkan kelembapan tangan dan kaki, menghilangkan gatal-gatal tangan dan kaki akibat 'makan sebayan' (loghat Kelantan) atau tangan dan kaki 'dimakan' dek air atau istilah saintifiknya, Athlete's foot dan juga cekam pada kuku tangan dan kaki. 

Foto Athlete's foot.

Gatal-gatal tangan jenis ini dan juga tangan (keliling kuku) yang agak merah dan bengkak-bengkak (semacam dipenuhi air) - biasa dialami mereka yang banyak 'main air' seperti tukang masak,  tukang cuci pinggan dan tukang cuci baju (basuh tangan).  

Sebenarnya tukang urut ini juga pengusaha warung yang setiap pagi memasak pelbagai hidangan untuk sarapan dan juga makan tengah hari dan melihatkan tangan (akibat banyak 'main air' dalam proses  memasak) dan kakinya, tiada langsung kesan jenis kerja tersebut pada tangan dan kakinya (akibat berdiri hampir sepanjang hari - tiada langsung pecah tumit dan sebagainya!!) - She is a living proof!

Petua di ataslah yang diamalkan olehnya selama berpuluh tahun lepas!! Mak Aji belum menguji sendiri lagi petua ini tetapi berharap agar petua ini membawa manfaat! 

Sumber petua: Kak Lah Tukang Urut (Sg. Buloh).


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...