About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label pokok. Show all posts
Showing posts with label pokok. Show all posts

Saturday, 12 November 2011

Beli Pokok Lagi

Alhamdulillah hujan reda, berpeluang ke nurseri, tempat biasa, supaya boleh kecek makcik pekerja Indo agar dapat pokok pada harga diskaun. Mak Aji beli beberapa jenis pokok pagar (hedge) sebab tak cukup, juga sejenis pokok bunga kecil purple dan pink terang (tak tahu apa namanya). Pokok malberi di bawah, sebenarnya sudah lama nak beli tapi tiap kali pergi nurseri, lupa nak beli. Masa bertugas di Johor Bahru dulu, ada penghuni lama rumah institusi yang Mak Aji duduk itu tanam pokok ini dan ketinggiannya sehingga ke tingkat atas! Itupun selepas kerap dicantas. Buahnya pula memang banyak dan burung-burung cukup suka datang makan buahnya!

pokok malberi RM6.00 sepokok

Bila dicampur-campur dengan pokok yang sedia ada (semai sendiri), rasa-rasanya cukuplah pokok untuk flower bed. Sebelum itu, ke kedai hardware (Pak Aji kalau kat situ, macam budak kecil dapat masuk kedai mainan, macam tak nak balik, habis segala barang dibeleknya, lama pulak tu!) beli batu bata merah untuk buat sempadan flower bed/curb agar lebih kemas dan agar boleh ditambah tanah lagi supaya lebih tinggi dan lebih senang dijaga, juga supaya tak payah banyak sangat tunduk (kesian belakang Mak Aji, nanti sakit!).

Semasa meninjau-ninjau flower bed, terpandang pokok kemboja sedang subur, daunnya besar-besar, kemudian terlihat tanda-tanda bunga nak keluar! Alhamdulillah! Tak sabar nak tengok, dekat setengah tahun menunggu!

Thursday, 10 November 2011

Angkara Pokok Pisang

Sejak sebulan dua yang hujan kerap turun tanpa mengira pagi, petang atau malam, pokok pisang di belakang rumah bukan main lagi suburnya sehingga mencecah ketinggian sekitar 15 kaki, melepasi bumbung rumah. Buah pula sudah keluar bertandan-tandan, jenis buahnya kurang pasti pula. Yang pasti bukan berangan atau tanduk, mungkin pisang batu. 

Gara-gara pokok pisang yang membesar cepat inilah beberapa kali kami mengalami gangguan siaran Astro hinggakan anak terpaksa cantas dahannya beberapa kali, itupun dengan tangga - ada dua tangga - yang lebih panjang!

Ini pokoknya:
melepasi bumbung rumah

Thursday, 8 September 2011

Para untuk Pokok Anggur

Sebelum raya pokok anggur dah mula menjalar-jalar tanpa arah sebab para/trellis/pergola belum dibuat lagi. Alhamdulillah petang ni selepas kerja, projek para anggur agak-agak siaplah, tetapi sekadar seadanya sahaja, rupa tak adalah, tapi berfungsilah seperti yang sepatutnya, insya-Allah!

Tempoh hari terjumpa foto pergola yang biasanya digunakan untuk tumbuhan berbunga yang menjalar, tetapi kali ini, sayuran yang menjalar dengan buahnya bergantungan! Cantik dan berfungsi - sayurnya tentu sedap sekali. Ini kalau ada rezeki boleh dijadikan projek tahun hadapan apabila sudah berpencen - something to really look forward to!!  

Gambar para anggur, tungguuuu!!!

Friday, 12 August 2011

Musuh Datang Lagi

Dua hari lepas kambing jiran datang lagi. Kambing itu kambing jantan yang luar biasa besarnya, agak-agak bukan spesis tempatan. Tumpuannya, pokok pisang kaki yang kutanam beberapa bulan lepas. Tempoh hari habis daun dimakannya. Nak tumpah air mata dibuatnya. Mengikut kata jiran kami, "Dah ramai yang mengadu hal kambing tu. Bila beritahu tuannya, tuannya jawab - dah kambing memang macam tu, nak buat macam mana?" Bagus punya jawapan tuan kambing! Kalau dah tahu kambing berjalan merata-rata merosakkan tanaman orang, ikat ajalah!

Akhirnya kami mengambil langkah membuat pagar jarang keliling pokok tersebut. Dua hari lepas kambing yang sama datang, dihulurnya muncungnya, sempat cecah daun yang baru tumbuh, dimakannya. Kuminta suami pagar sekali lagi agar lebih rapat. Harapan agar selamatlah pokok itu selepas ini. Sekarang pagar rumah pun perlu sentiasa bertutup. Kambing sama juga gigit buah mangga di pokok. Nasib baik pokok lain tak menarik minatnya.

Kalaulah tuan punya kambing tahu akan hak jiran mengikut Islam, nescaya takkan dibiarkan kambingnya berkeliaran. Kami hanya mampu berdoa agar dia berubah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...