About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Showing posts with label buah kemunting. Show all posts
Showing posts with label buah kemunting. Show all posts

Thursday, 17 July 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Tuaian pada hari ini adalah sedikit, jangan tidak. Terung bulat nampak gaya sudah matang sebiji, buah kemunting nampak masak dua biji dan seperti biasa buah mulberi juga menghadiahkan buahnya. Ini dia yang dituai:

Buah mulberi, buah kemunting dan terung bulat.
Buah kemunting sebelum dipetik.
Setelah dipetik.

Apapun alhamdulillah atas rezeki yang diberikan!


Sunday, 30 March 2014

Perihal Kemunting Lagi

As-salam.

Memandangkan ada rakan-rakan maya yang belum begitu arif tentang buah kemunting, mari Mak Aji kongsikan maklumat berikut yang diperoleh daripada carian Mak Aji:

FAKTA TENTANG KEMUNTING

Pengenalan
Pokok Kemunting nama saintifiknya Rhodomyrtus tomentosa (Ait.) Hassk. merupakan tumbuhan yang biasa tumbuh sebagai semak samun di Hawaii dan Malaysia. Namanya yang lain ialah karamunting, kelemunting, Dunduok (kadazan dusun), Gangrenzi (cina), Downy rose myrtle, downy myrtle, hill gooseberry, hill guava, Isenberg bush, myrte-groseille, rose myrtle.

Ia juga menjadi tumbuhan yang biasa menguasai kawasan lapang dan terbiar di Thailand. Ia merupakan tumbuhan renek yang boleh mencapai ketinggian hingga 2 meter.

Batangnya yang muda mempunyai bulu-bulu pendek yang halus dan padat. Daunnya tersusun secara bertentangan, berbentuk ringkas dan berbentuk bujur. Permukaan daun berkilat dengan warna hijau gelap manakala bahagian bawah daunnya mempunyai bulu-bulu halus dan berwarna hijau pudar. Bunganya berwarna merah jambu atau ungu muda, dengan lima kelopak. Ia mempunyai banyak stamen dengan 5 filamen berwarna merah jambu dan saiznya berukuran (garis rentas) 2.5 cm. Satu atau lebih bunga tersusun pada tangkai bunga. Buahnya kecil (beri) dengan ukuran garis rentas lebih kurang 1.3 cm, berwarna ungu gelap dengan rasa buahnya seakan-akan buah jambu batu, manis-manis kelat dan berbau harum.

Habitat
Kemunting hidup subur di kawasan yang tanahnya mempunyai kelembapan yang tinggi terutamanya berhampiran dengan paya atau sungai. Namun ia juga boleh beradaptasi dengan pelbagai jenis tanah seperti tanah pasir dan tanah yang agak masin. Di Malaysia dan Thailand kemunting biasa di jumpai hidup di kawasan tanah pasir dan juga kawasan yang berpaya.

Ia makin pupus dan biasanya hidup dalam belukar dan sedikit berpaya. tanah berpasir berhampiran pantai adalah habitat yang sesuai. Ia juga boleh ditanam di dalam pasu; akan tetapi tumbesarannya lambat. Ada juga yang membuat ‘bonzai’.

Khasiat dan Kegunaannya.
pucuk muda dan putik muda adalah ubat sakit perut.
buah yang masak sangat sedap di makan begitu saja atau di makan dengan santan bagi membersihkan darah
akarnya untuk penawar keracunan, penyakit keputihan bagi wanita, muntah berdarah. Caranya rebus akar dengan air (lebih kurang 150 ml) dan diminum tiga kali sehari selama tiga hari.
Buahnya yang manis boleh digunakan untuk membuat pai dan juga jem
Di kawasan selatan Thailand buah kemunting yang masak ranum dan manis rasanya dimakan bersama santan yang dicampur dengan sedikit garam


Sumber:http://wannura.wordpress.com/2011/01/15/kemunting-rhodomyrtus-tomentosa-banyak-terdapat-di-pantai-timur-malaysia/

Mak Aji tunjukkan lagi foto buah kemunting dari laman Mak Aji sendiri ya:


Buah kemunting di pokok menunggu ranum.
Dua biji buah sulung.
Apabila dibelah, ini rupanya.
Siap dibelah, apa lagi, ngaplah! Alhamdulillah cukup manis!
Projek harapan: jem kemunting! Entah bilalah akan tercapai hasrat ini! Pokok kemunting Mak Aji baru sekadar kurang 2 kaki tingginya. Nanti kau, kuberi makan baja banyak-banyak agar besar dan berbuah lebat lagi!!




Tuesday, 18 March 2014

Tuaian Hari Ini

As-salam.

Alhamdulillah dengan hujan yang turun membasahi bumi sehari dua ini langit cerah dengan hanya segelintir sahaja jerebu. Bolehlah kita menarik nafas lega! Tukang kebun pun bolehlah berehat daripada tugas menyiram pokok! Cukup sekadar memerhati betapa bersyukurnya tanaman dan haiwan juga sekitar laman juga atas curahan air anugerah Illahi!

Cuaca kering sejak sebulan dua ini sedikit sebanyak menjejaskan hasil tuaian. Buah mulberi kurang banyak buahnya dan saiznya juga kecil-kecil berbanding biasa. Stok mulberi di dalam peti ais cuma sedikit sahaja. Yang di pokok masih belum cukup masak untuk dibuat tambahan stok. Lama lagilah nampaknya boleh merasa sirap mulberi!  - rindulah nak minum sirap mulberi! 

Apapun berikut alhamdulillah hasil tuaian pagi ini, walaupun sedikit cuma!:

Dua biji buah kemunting, sedikit cili ungu, sedikit cili putih (yang masaknya oren) serta cili burung. Alhamdulillah!
Di sebelah petang pula Pak Aji memetik 4 biji betik berikut:




Alhamdulillah lengkaplah tuaian hari ini!


Sunday, 16 March 2014

Buah Kemuntingku

As-salam.

Pokok kemunting yang satu-satunya itu memang galak berbunga dan berbuah, namun setakat ini belum ada yang sempat masak. Buahnya merekah dan gugur begitu sahaja.

Semalam apabila Mak Aji membelek-belek pokoknya, kelihatanlah buah yang hampir masak! Yesss! :

Tak sabar untuk dingap!!

Cantiknya kemuntingku!




Thursday, 16 January 2014

Buah Kemunting

As-salam.

Sejak berbunga tempoh hari, pokok kemunting semacam dilupakan. Apabila teringat Mak Aji terus keluar untuk memerhati setakat mana perkembangan buahnya. Lihatkan buahnya:

Buah kemuntingku! Agak lama juga lagi untuk masak tu.
Pokoknya tidak sebesar mana, sekitar 2 kaki tinggi sahaja!

Seronok Mak Aji melihatkan buah yang agak banyak berbanding saiznya yang masih kecil! Batangnya pun masih lembut, perlu dipacak kayu agar lurus tegaknya. 

Terima kasih Rose dari Semua menjadi yang membekalkan anak pokok ini kepada Mak Aji! Jika anda berminat dengan tanaman ini bolehlah hubungi Rose ya!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...