About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday 31 July 2013

Mangga Meluyut Lagi

As-salam.

Terkini tiga pokok mangga sarat berbuah dan alhamdulillah kesemuanya setakat ini menghasilkan buah yang apabila masak cukup manis. Kalau dipetik yang muda pula rasanya lemak dan tidak masam! Entah apalah namanya, yang pasti bukas mas hitam (yang itu Mak Aji tahulah rupanya yang hijau tua kulitnya, yang lain entahlah, kurang ariflah pula!). 

Hasil tuaian semalam.
Ini salah satu daripada tiga pokok yang buahnya meluyut lagi!
Selain dimakan sendiri, buah juga sempat dikongsikan dengan jiran tetangga serta tamu yang berkunjung ke rumah - siapa cepat dia dapat!!


Tuaian di Bulan Puasa

As-salam.

Pada minggu lepas, Mak Aji sempat menuai sebiji betik serta beberapa biji mangga yang matang. Kedua-duanya perlu diperam beberapa hari sebelum benar-benar masak. Saksikan hasil tuaian tersebut:

Sebiji betik serta dua biji mangga selamat dinikmati untuk berbuka puasa.
Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan!


Ros Dua Tona Warna

As-salam.

Kali terakhir ke nurseri tempoh hari, Mak Aji gantikan sepokok ros yang mati. Kali ini Mak Aji beli ros kampung, yang mengikut kata penjualnya wangi. Kali ini wartnanya dua tona. Saksikan ros yang kembang dan yang masih kudup:

Ros dua tona warna. 





Pesta Ulat Bulu

As-salam.

Beberapa hari lepas Mak Aji perasan akan daun pokok bunga raya yang kelihatan lain macam. Bila diteliti rupa-rupanya ada ulat yang sedang berpesta makan daunnya:

Amboi, pesta sakan nampak!!
Geli pun geli juga tetapi cantik pun cantik juga ya ulat bulu ni!
Sebelum habis dikerjakan daun pokok bunga raya, Mak Aji kena dapatkan concoction spray yang diberikan oleh Adry untuk disemprot kepada ulat-ulat ini!! Siap kamu! Maaflah ya, tak sempatlah kamu beraya!



Friday 26 July 2013

Teh Pudina Penghilang Dahaga

As-salam.

Minuman kegemaran Mak Aji untuk berbuka puasa sepanjang bulan puasa ini ialah teh pudina. Mak Aji gunakan sahaja teh uncang biasa, cuma ditambahkan sahaja lima tangkai daun pudina untuk seteko teh '0'. Elok sahaja daun pudina bertemu air panas, harum semerbak baunya hingga ke segenap ruang dapur! Berbunga rasa hati kerana pokok pudina di laman benar-benar dimanfaatkan untuk bulan mulia ini.

Mak Aji buat trial and error dengan teh pudina ini. Pada mulanya daun pudina diletakkan ke dalam teko selepas dimasukkan uncang teh dan air panas. Hasilnya, harumannya kurang 'bangkit'. Cubaan kedua dengan meletakkan dahulu daun pudina ke teko. Barulah diletakkan air panas, teh dan gula. Dengan cara kedua, daunnya layu sepenuhnya dan haruman bangkit sepenuhnya!!

Minum air sejuk untuk berbuka akan menyebabkan kita berasa letih selepas berbuka (seperti juga kesan setelah makan terlalu banyak). Sebaliknya jika minum air panas, badan tidaklah berasa letih lesu! Dengan itu, jomlah kita cuba teh ini - yang pasti, sekali cuba secawan tentu mahu secawan lagi!

Pokok pudina yang sedikit rongak dikerjakan serangga - nanti kau, aku semprot dengan semburan
buatan sendiri baru kau tahu!
Sumber foto: importsfrommarrakesh.blogspot.com

Daun pudina cukup banyak khasiatnya. Anda boleh rujuk pautan berikut untuk mendapatkan maklumat lanjut:



Anggur Sudah Menjadi Kismis

As-salam.

Pagi semalam semasa berkemas di laman, secara khususnya di bawah pergola, Mak Aji perasan akan beberapa biji buah bertaburan di bawah pergola - hitam dan sudah semakin kecut dan kering, kelihatan seperti kismis! Mak Aji terus mendongak ke pokok anggur di atas pergola - oh tidak (macam dialog kartun pulak, he he!), anggurku berbuah dan gugur tanpa kusedari!!?? 

Sebenarnya pokok anggur ini sudah bertahun ditanam, dialihkan tempatnya beberapa kali dan sekarang secara kekal berada di atas pergola. Kebiasaannya kalau pokok anggur, tempat menjalarnya kayu atau wayar sahaja. Mak Aji pula pakai netting hitam (sebabnya untuk menyejukkan bilik tidur di belakang pergola daripada panas petang yang terik), jadi itu yang bila anggur berbuah tidak nampak pun!!

Mak Aji bercadang untuk memanjat tangga bagi mengintai atas pergola tetapi anak dara Mak Aji tidak membenarkan, takut Mak Aji jatuh macam tempoh hari (nanti susah semua orang). Tak mengapa, nanti diminta anak bujang yang panjat nanti. Mana tahu, masih ada sisa yang tinggal!!

Daun-daunnya subur menjalar.
Apakah gerangan ini yang bertaburan????
Anggur sulungku rupa-rupanya! 
Alahai, inilah yang dikatakan tiada rezeki! Dek kerana merajuk dengan pokok ini Mak Aji biarkan sahaja dia - agaknya berbuah untuk memujuk Mak Aji - agaknya lah! Oklah, dah hilang rajukku, berbuahlah lagi ya!!



Wednesday 24 July 2013

Tanaman untuk Mandian Herba

As-salam.

Menantu Mak Aji sedang berpantang di rumah Mak Aji sekarang dan sejak balik ke rumah dari hospital setiap pagi Mak Aji sediakan air mandian (orang Kelantan sebut air tersat) untuknya. Mak Aji menggunakan apa yang ada di sekitar rumah sahaja. Yang digunakan ialah daun pandan, daun serai wangi, daun lengkuas serta halia (diketuk) dan garam kasar. Mak Aji rebus sehingga menggelegak seketika dan air rebusan ini digunakan sebagai bilasan akhir setelah mandi dengan air biasa. 

Pandan yang sudah 'renggeh', perlu dialih ke tempat lain sebab sudah terlalu 'gelap' di bawah pergola kacang botor.
Stok baru serai wangi sebab yang sedia ada sudah hampir habis dituai.
Pokok lengkuas juga sudah hampir 'renggeh' akibat dituai setiap hari. Agaknya ini minggu terakhir air rebusan disediakan, selebihnya mandi sahajalah dengan air suam dari water heater. Oh ya, kotak sauna belum lagi dipasang untuk menantu Mak Aji bersauna. Sementara ingat, Mak Aji pergi dulu ya!!

Catatan: Herba apa yang anda gunakan untuk direbus sebagai air mandian herba ya?? Sila kongsi!




Seri si Bunga Raya

As-salam.

Salah satu pokok bunga raya di laman berbunga lagi dan walau pokoknya cuma sekitar sekaki, kembang bunganya tidak kurang cantiknya!:

Kuning-kuning oren warnanya (sila abaikan rumput panjang tu ya!).



Akhirnya Berbunga Lagi

As-salam.

Setelah menunggu sekian lama, alhamdulillah akhirnya pokok kacang botor berbunga lagi (semasa menunggu untuk berbunga pertama kali, pun sakan juga menunggu!) Agaknya apabila tuannya sudah hampir-hampir berputus harap, maka barulah dia mahu mengubat hati ini! Maka berbungalah semula hati ini!

Puas berumah di pergola, merayap pula dia ke pagar bersebelahan!
Belum kulihat bunga kacang botor secantik ini! (punyalah seronok tuannya!)

Bunga Kertas Menyeri di Laman Orang

As-salam.

Mak Aji ke Kajang tempoh hari, bersaing (supaya dapat harga borong yang lebih murah!!) dengan anak Mak Aji yang mendapatkan bekalan kuih raya yang anak Mak Aji jual di sekitar Skudai, Johor. Anak Mak Aji buat bisnes setahun sekali sahaja! Selesai membeli kuih raya, Mak Aji memandu lalu sebuah rumah di tepi jalan utama di kawasan perumahan tersebut dan lihat apa yang Mak Aji lihat!:

Cantik sungguh deretan bunga kertas ini yang berjaga rapi!!
Berikut pula pokok bunga kertas yang terdapat di laman balai polis berdekatan rumah Mak Aji:

Pelbagai warna bunganya!!
Mak Aji perhatikan bahawa setiap kali datangnya musim panas (bukan yang macam di temperate countries ya!) atau kemarau, setiap kali itulah bunga kertas lebat berbunga! Sedap mata memandang.




Friday 5 July 2013

Nasi Kerabu Biru (Bunga Telang)

As-salam.

Seperti yang disebut dalam entri lalu, bunga telang yang hanya sekadar 10 kelopak dimanfaatkan untuk mewarna nasi kerabu biru untuk hidangan tengah hari ini. Nasi kerabu ditemankan dengan solok lada yang cili solok dibawa dari kampung tempoh hari (benihnya disimpan untuk ditanam nanti insya-Allah). 

Nasi kerabu biru yang kurang birunya dek kurang bunga telang.
Mak Aji memasak nasi 5 pot dengan 10 kelopak bunga telang. Terbukti tidak cukup biru warna nasinya. Lain kali perlulah dituai sekitar 20 atau lebih kelopak agar cukup biru. Insya-Allah boleh dicuba lagi lain kali!

Alhamdulillah bunga telang sudah dimanfaatkan. Misi seterusnya sirap biru pula. Insya-Allah pada lain kali pula.




Tuaian Hari Ini

As-salam.

Dalam sibuk membelai cucu, peluang semasa cucu tidur Mak Aji manfaatkan untuk lari ke laman untuk mendapatkan tuaian hari ini:

Salad cina, cili ungu, cili api kampung, mulberi, bunga telang, bendi (sudah terlewat petik dek sibuk) bunga roselle serta bunga kenanga.
Cantik pula kenangaku!
Insya-Allah salad cina akan dimakan bersama-sama salad kentang kegemaran anak dara Mak Aji. Bunga roselle akan dibikin sirap sementara bunga telang akan dijadikan pewarna nasi kerabu untuk menu tengah hari ini! Alhamdulillah atas rezeki-Mu!

Sekadar itu perkongsiaan, hendak sambung masak nasi kerabu ni!!



Off-Topic - Cucu Baru

As-salam.

Sejak beberapa hari ini Mak Aji agak sibuk di rumah dengan kelahiran cucu perempuan pertama yang juga cucu ketiga. Menantu Mak Aji berpantang di rumah kerana ibunya masih muda, masih bekerja. Rutin harian banyak berubah dan kerja-kerja di laman terpaksa diambil alih oleh Pak Aji. Masa untuk berblogging pun agak terbatas. Jadi maaflah ya jika Mak Aji jarang masuk, sibuk jaga cucu! 

Mak Aji mahu memperkenalkan buah hati baru kami, ini dia:

Kasi suspens ya!
Selepas lahir dengan berat 3.6kg.
Buah hati kami, Nur Aleesya Sofea - nyanyak tidur selepas mandi!
Bunga kenanga untuk mewangikan buah hati kami!


Tuesday 2 July 2013

Akar Dani Menyeri Laman

As-salam.

Elok sahaja pokok kesidang habis mengeluarkan bunga dengan bau yang harum lembutnya, tiba pula giliran akar dani menyeri laman dengan harumnya yang sedikit menyengat. Semacam lari berganti-ganti pula!

Akar dani memanjat arbor/trellis.




Berikut pula versi yang dirakam beberapa hari yang lalu, semasa bunga-bunganya masih baru, merah jambu warnanya, cukup manis sekali!



Diana dari KBB membuat entri scented ranggon creepernya. Mak Aji juga dengan pokok yang sama. Memang musimlah tu!  





Kemboja Merendang di Laman

As-salam.

Pokok kemboja yang ditanam sebaik sahaja kami pindah ke rumah ini sekitar dua tahun lalu sudah merendang dengan sentiasa menghasilkan bunga berwarna fuchsia. Cukup meriah sekali apabila bunganya kembang. Serumpun dengannya pula pokok ulam juga mengeluarkan gugus-gugus bunga yang kecil berwarna putih, juga alhamdulillah mampu menyeri laman. Seronok tuannya!

Cantik bunganya, cuma daunnya sahaja yang perlu sentiasa dibersihkan - selalu gugur daunnya.
Semakin banyak gugus bunga yang keluar.
Kemboja Jepun pula tidak putus-putus berbunga, juga dengan warna yang sama. 

Cukup meriah warnanya.




Kembang Si Bunga Raya

As-salam.

Bunga raya berkelopak besar sudah beberapa kali berbunga. Bunganya cukup besar walaupun pokoknya hanya setinggi sekitar sekaki setengah sahaja - semacam berat bunga pulak. Lihatlah, semacam beraya sebelum puasa pulak!:

Cantiknya si bunga rayaku!
Rendah sahaja pokoknya tetapi bunganya masya-Allah!!
Dari dekat.

Bunga raya berbunga kuning sudah berbunga juga tetapi belum sempat terakam. Bunga raya ungu pula masih belum terbeli. Tidak mengapa, one fine day akan menjadi milikku jua, insya-Allah!



Monday 1 July 2013

Bunga Telang Sudah Mari

As-salam.

Alhamdulillah pokok bunga telang baru mengeluarkan bunga-bunga pertamanya, adalah tiga kuntum setakat ini. Kalau nak dibuat sirap tentu cair aje birunya ya? Biarlah dahulu, kita biarkan hingga lebih banyak bunga yang keluar. Ini rupanya:

Bunga telang pertama.
Walau agak teruja dengan bunga telang yang baru muncul, Mak Aji agak sedikit risau dengan rupa daun pokok bunga telang dan pokok kacang panjang - ada bintik-bintik putih pada daun dan daun juga kelihatan pucat. Pun ada daun-daun yang mula gugur. Apabila dibelek tiada pula kelihatan apa-apa serangga yang menyerang. Apalah agaknya sebab berlaku begini??



Update Cili Ungu

As-salam.

Alhamdulillah setelah menunggu sekian lama dan setelah menghadapi sedikit masalah, akhirnya berhasil juga pokok cili ungu! Buah pertama keluar pada hari yang Mak Aji balik kampung dan setelah kembali beberapa biji lagi cili muncul.

Berikut foto sebelum balik kampung:



Setelah balik dari kampung ini rupanya:

Cantik sekali warnanya, masya-Allah!!

Mak Aji ingin ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberi input dalam menyelesaikan masalah yang Mak Aji hadapi dengan pokok cili ungu ini, terutama saudara Adry dari http://adrydaud.blogspot.com/ yang banyak membantu!


Pitis Berjurai

As-salam.

Semasa kami di Siam untuk majlis hol seorang ulama besar, guru kepada guru Pak Aji tempoh hari, Mak Aji perasankan sebuah pokok (kurang pasti apa pokoknya sebab sudah hampir keseluruhannya diselimuti pokok pitis), yang diselubungi sepenuhnya oleh pokok (bukan pokok pun!!) pitis. Lihat foto ini:

Cantiklah pulak bila berjurai-jurai ni!

Pokok rambutan jiran sebelah rumah Mak Aji pun mengalami keadaan yang sama dengan pokok ini. Lama kelamaan nampak semakin tidak sihat. Tidak lama lagi alamat arwahlah tu agaknya.


Bunga Cantik Lagi

As-salam.

Dalam perjalanan balik ke KL, kami menyinggah untuk solat di salah sebuah masjid di sekitar Raub. Usai solat dan sementara menunggu anak dara Mak Aji keluar dari masjid sempat pula Mak Aji nampak pokok jenis keladi ini. Berbunga rupa-rupanya pokok ini, malahan cantik pula. Ingatkan sekadar berdaun sahaja. Perhatikan:

Entah apalah namanya ya?? Yang pasti cantik bunganya!

Cantik, kan!!





Memerhati Tanaman Orang

As-salam.

Sambil berjalan-jalan di kampung, seperti biasa ada sahaja foto yang boleh dirakam untuk dikongsi dengan teman-teman bertanam. Layanlah beberapa foto tanaman orang yang sempat dirakam:

Memang simple sahaja para yang dibuat dengan memancang dua batang kayu dan dipasang tali!
Geram menengokkan pokok pudina yang cukup subur ini!




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...