About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Wednesday, 30 November 2011

Kacang Botol atau Kacang Botor

Pak Aji mula memindahkan anak pokok kacang botol ke tanah beberapa bulan lepas. Ditanamnya di tepi pagar dengan harapan ia akan memanjat ke pagar. Sebaliknya ia memanjat ke pokok pisang yang berhampiran. Tahu-tahu saja sudah mengeluarkan buah sulungnya. Ini gambar kacang botol sulung kami yang dipetik untuk dijadikan ulam malam tadi. Sungguh rangup dan lemak sekali:

Kacang botol segar dari ladang.

Bunga 'Nasir'

Semasa bertugas di Johor Bahru, Mak Aji menduduki rumah institusi. Penghuni lama memang gemar bertanam. Semasa beliau berpindah beberapa buah lori tidak cukup untuk mengangkut kesemua pokok-pokoknya, jadi ada sebahagian yang terpaksa ditinggalkan. Antara pokok yang terpaksa ditinggalkan ialah pokok yang Mak Aji tidak tahu namanya, lalu menggelarnya pokok 'Nasir' saja, sempena nama tuannya! Tentu senyum tuannya, dapat diabadikan namanya pada pokok! Usah perasan, nanti Mak Aji tahu nama sebenarnya, akan bertukarlah namanya! Maaf ya, sementara itu, senyumlah untuk kredit yang diberikan ini! Inilah dia bunga 'Nasir', sekuntum saja yang sedang kembang di sudut pagar: 

Dari hadapan

Pandangan dari sisi

Monday, 28 November 2011

Khasiat Daun Pudina

Mak Aji cukup suka teh daun pudina (Mentha arvensis/field mint) selepas minum untuk pertama kalinya di al-Rawsha beberapa tahun lepas. Selepas mencari anak pokoknya, Mak Aji tanam ditanah tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, pokoknya hampir mati. Walau bagaimanapun Mak Aji sempat selamatkan dan pudina ditanam semula di tanah, di tempat lain. Selepas ini pudina perlu dipindahkan semula ke dalam pasu kerana rasanya pudina bersifat sedikit invasive, jadi perlu dikawal di dalam pasu.

Pudina banyak digunakan sebagai ulam dalam laksa, pewangi untuk nasi briyani, juga sebagai ulam dengan sambal. Daun pudina juga boleh dimasukkan sekali dalam air sirap kerana aromanya yang cukup harum. Sebagai tambahan, pudina juga sekarang ditanam secara komersial selain tumbuhan herba lain ekoran permintaan yang tinggi. 


Pudina dikatakan berkhasiat untuk penawar lelah dan batuk. (Caranya,  bersihkan 14 helai daun pudina dan ramas sedikit.  Masukkan dalam cawan kaca tahan panas dan bubuh air 3/4 penuh. Masukkan dalam cawan kaca tahan panas dan bubuh air 3/4 penuh. Masukkan gula batu. Masukkan cawan tersebut ke dalam periuk nasi letrik (nasi sedang mendidih dan bila cawan dimasukkan ia tidak tenggelam. Bila nasi sudah masak (air dah kering) keluarkan cawan dan biarkan sejuk. Keluarkan daun pudina dan minumlah air tersebut 3 hari berturut turut.  (sumber:http://www.melur.com/).


Perubatan cina menyebut pudina sebagai mempunyai ciri menyejukkan badan dan biasa digunakan untuk mengubat penyakit berkaitan paru-paru seperti demam selsema serta permulaan selsema, juga sesuai untuk membuang angin (juga gastrik. Caranya buatkan teh 'O' macam biasa, masukkan beberapa helai daun pudina, tutup cawan, selepas sekitar 5 minit, minum.) serta penyakit ruam kulit (juga jerawat. Caranya: buat jus pekat daun pudina, jadikan masker, untuk menjadikan kulit muka halus dan boleh atasi masalah gatal-gatal dan jerawat), juga untuk menghilangkan rasa mual dan sakit kepala (sapukan minyak yang dicampur daun pudina atau guna daun pudina segar dan hidu baunya), membantu mengubat kanser (enzim pada daun ini dikatakan dapat membantu melawan sel kanser dari terus merebak).  Wallhualam!


Ini pudina di belakang rumah:


Pudina

Sunday, 27 November 2011

Khasiat Rumput Cina

Pak Aji pernah diberi anak tumbuhan rumput cina (murdannia bracteata - Beijing spiderwort atau Rumput Aur Beijing, berasal dari Laos, Thailand dan Vietnam) ini oleh sepupunya kerana dikatakan berkhasiat untuk mencuci buah pinggang dan mencuci darah. Pak Aji biasa membuat air rebusannya dan diminum begitu sahaja. Apabila dijadikan amalan, katanya kencing menjadi lawas berbanding biasa. Pernah lihat tumbuhan ini?:

Rumput Cina
Tumbuhannya yang macam rumput itu. Yang tumbuh mencelah itu, dukung anak.
Setelah membuat sedikit rujukan, tumbuhan ini juga dikatakan boleh mengeluarkan angin dari dalam badan dan juga boleh mencairkan darah beku. Kaedahnya wallahualam, tidak dijelaskan.

Satu lagi sumber menyatakan bahawa berdasarkan buku Chinese Medical Herbs of Hong Kong, Jilid 6, halaman 160, keseluruhan tumbuhan ini digunakan. Tumbuhan ini manis, menyejukkan, mempunyai ciri anti-inflamatory dan mencairkan kahak. Tiga kegunaan perubatannya:

a. Tuberculous lymphadenopathy
b. Dysuria
c. Untuk kegunaan luaran furuncles

Tumbuhan ini juga dikatakan dapat menyejukkan badan. Caranya: Rebus lima tumbuhan ini dengan air sebanyak 3 cawan. Masukkan sesudu besar gula perang. Biarkan menggelegak sehingga tinggal secawan sahaja. 

Di Thailand, tumbuhan ini digunakan untuk merawat kanser tekak, hati, rahim, ileum, kulit dan sebagainya. Caranya: Ambil enam tumbuhan ini dan gunakan pengisar untuk menghancurkannya setelah dicampur dengan 4 sudu besar air, tapis, minum sebelum makan pagi dan sebelum tidur. Berikut amaran pada sumber maklumat ini:




Disclaimer:
We are not doctors and it is not our intension to practice medicine.
We cannot be held responsible for the consequences of self medication.
Use this information at your own risk.

Mak Aji sekadar berkongsi sahaja, semoga bermanfaat.

Khasiat Daun Kesum

Pucuk daun kesum (vietnamese mint) biasa digunakan sebagai salah satu ramuan penting dalam masakan Melayu. Mak Aji tanam kesum di belakang rumah untuk tujuan masakan asam rebus, asam pedas, ulam untuk laksa Kelantan, ulam untuk nasi kerabu dan jika tiada ulam lain untuk dimakan dengan budu. Rasa kesum yang dipetik 'segar dari ladang' memang berbeza daripada yang dibeli di kedai.

Daun kesum di belakang rumah

Tentang khasiat daun kesum pula, Mak Aji kurang arif. Walau bagaimanapun Mak Aji tertarik dengan rencana dalam Metro pada hari ini yang memaparkan khasiat  pucuk  kesum seperti yang boleh dibaca lanjut di sini!

Mengikut berita ini, Pok Nik (Mohamed Nor Awang), 60 tahun (bekerja sebagai penjual kayu api dan buruh) dari Kampung Tok Fakir, Merchang, Marang, Terengganu, beristeri empat yang masing-masing berusia 55, 42, 43 dan 37 tahun (ada 18 anak dan 12 cucu) mengekalkan stamina dan susuk tubuh menarik dan awet muda dengan mengamalkan memakan pucuk kesum dan pucuk ubi sebagai ulam!! Pada usia tersebut beliau tidak menghidap apa-apa penyakit berbahaya sehinggakan ada VIP yang datang menemui beliau untuk mendapatkan petua mengekalkan keharmonian berumahtangga dan kekuatan batin. 

Selain mengamalkan pucuk kesum dan pucuk ubi, Pok Nik juga mengamalkan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai setiap malam Jumaat untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga. Pantang beliau nombor satu ialah  tidur siang secara berlebihan dan beliau hanya berehat pada waktu malam. Mak Aji percaya jualan daun kesum dan pucuk ubi akan naik mencenanak selepas rakyat Malaysia membaca berita ini??!!

Saturday, 26 November 2011

Bunga Daisy, Bunga Butang

Mak Aji cuba ambil gambar bunga jarak dekat untuk melihat sejauh mana keupayaan kamera merakam perincian pada bunga. Sila lihat betapa cantiknya bunga biasa-biasa jika dilihat dari dekat:

Bunga butang - such brilliant colours!

Bunga daisy

Semoga dengan melihat bunga-bungaan ciptaan Allah ini, maka akan terbit rasa betapa kerdilnya kita berbanding Kebesaran Allah!!

Akar Dani

Mak Aji pernah tanam pokok ini dulu dan ia menjalar ke atas pergola. Pokoknya subur selalu berbunga dan oleh sebab pokok ini Mak Aji tanam di sebelah luar tingkap ruang tamu, maka apabila pokok mengeluarkan bunga, harum semerbaklah ruang tamu kami. Sekarang hanya tinggal nostalgia. Itu di rumah lama yang sudah ditinggalkan. Gambar di bawah pula pokok yang anak pokoknya dahulu kami bawa dari rumah lama. Pokok dah agak tinggi, sengaja dipangkas (dah agak lama tak pangkas) rantingnya supaya meninggi agar boleh memanjat ke pergola - soalnya, pergolanya masih entah di mana?? (Pak Aji kata tunggu dulu - tapi bila??) Janganlah sampai pokok atau lebih parah lagi Mak Aji yang merajuk!! Apapun mari kita lihat pokoknya dahulu:

Mana pergolanya?? Nak panjat ke mana??


Nilah dia bunga yang bakal terhasil nanti, tunggu!!
Kesian pokok ni ya, masih menunggu, setakat ini dengan sabarnya. Ingat, jangan sampai merajuk!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...