About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Sunday, 13 November 2011

Flower Bed - sambungan

Awal-awal pagi selepas makan nasi goreng dan kopi di depan rumah, terus sambung projek di atas. Buatkan sempadan dengan menyusun batu bata merah (boleh tahan, harganya 46 sen sekeping! Dulu tahun 1988 masa bina rumah pertama kami, kosnya 14 sen satu!). Lepas tu, tanam semua pokok baki yang belum sempat ditanam semalam kerana hujan hampir berpanjangan sepanjang hari dari pagi ke malam. Cuma belum tambah lagi tanah untuk menaikkan sikit paras tanahnya. Juga belum kemas sisa batu tanah merah. Dah 99% siap, tinggal sikit lagi. Elok sahaja matahari mula panas, siap kerja. Berikut gambarnya:

nampak semak tanah orang sebelah, boring betul

harap-harap subur!

berderet macam polis berbaris


kamera telefon, kurang jelas bunga kemboja yang nak keluar

baru beli semalam, pegaga air, utk ikan gapi main sorok-sorok


Saturday, 12 November 2011

Beli Pokok Lagi

Alhamdulillah hujan reda, berpeluang ke nurseri, tempat biasa, supaya boleh kecek makcik pekerja Indo agar dapat pokok pada harga diskaun. Mak Aji beli beberapa jenis pokok pagar (hedge) sebab tak cukup, juga sejenis pokok bunga kecil purple dan pink terang (tak tahu apa namanya). Pokok malberi di bawah, sebenarnya sudah lama nak beli tapi tiap kali pergi nurseri, lupa nak beli. Masa bertugas di Johor Bahru dulu, ada penghuni lama rumah institusi yang Mak Aji duduk itu tanam pokok ini dan ketinggiannya sehingga ke tingkat atas! Itupun selepas kerap dicantas. Buahnya pula memang banyak dan burung-burung cukup suka datang makan buahnya!

pokok malberi RM6.00 sepokok

Bila dicampur-campur dengan pokok yang sedia ada (semai sendiri), rasa-rasanya cukuplah pokok untuk flower bed. Sebelum itu, ke kedai hardware (Pak Aji kalau kat situ, macam budak kecil dapat masuk kedai mainan, macam tak nak balik, habis segala barang dibeleknya, lama pulak tu!) beli batu bata merah untuk buat sempadan flower bed/curb agar lebih kemas dan agar boleh ditambah tanah lagi supaya lebih tinggi dan lebih senang dijaga, juga supaya tak payah banyak sangat tunduk (kesian belakang Mak Aji, nanti sakit!).

Semasa meninjau-ninjau flower bed, terpandang pokok kemboja sedang subur, daunnya besar-besar, kemudian terlihat tanda-tanda bunga nak keluar! Alhamdulillah! Tak sabar nak tengok, dekat setengah tahun menunggu!

Thursday, 10 November 2011

Betik Sulung

Selepas sekali pengalaman menunggu pokok betik membesar hingga berbuah dan nasib tidak baik dan pokoknya pokok jantan, maka kami terpaksalah tunggu pokok lain membesar. Kali ini alhamdulillah pokoknya betina dan sekarang sedang berbuah sulung. Tak sabar rasanya nak merasa buah sulung masak nanti!

Inilah buah sulung kami



Angkara Pokok Pisang

Sejak sebulan dua yang hujan kerap turun tanpa mengira pagi, petang atau malam, pokok pisang di belakang rumah bukan main lagi suburnya sehingga mencecah ketinggian sekitar 15 kaki, melepasi bumbung rumah. Buah pula sudah keluar bertandan-tandan, jenis buahnya kurang pasti pula. Yang pasti bukan berangan atau tanduk, mungkin pisang batu. 

Gara-gara pokok pisang yang membesar cepat inilah beberapa kali kami mengalami gangguan siaran Astro hinggakan anak terpaksa cantas dahannya beberapa kali, itupun dengan tangga - ada dua tangga - yang lebih panjang!

Ini pokoknya:
melepasi bumbung rumah

Cili Api Ungu

Beberapa hari lepas kawan ada memberikan beberapa biji cili api berwarna ungu untuk dirasa dan beberapa anak pokonya sekali untuk ditanam. Berikut gambar-gambarnya:

cili api ungu - menarik dan boleh tahan berapi!

anak cili api ungu + sirih cina/air sesat
sudah tanam dalam pasu, sekali dengan sirih cina/air
 Terima kasih Mohaini atas pemberian!

Monday, 7 November 2011

Tong Air

Sekarang musim hujan, jadi pokok mungkin hanya perlu disiram sekali sehari sahaja dan bukannya pagi petang. Kalau sepanjang hari hujan, maka tak payah langsung siram. Ada petua yang menyatakan bahawa pokok perlu disiram dengan air yang kecil tetapi lama sedikit, berbanding dengan air besar tetapi sekejap. Ini untuk mengelak run-off air. 

Satu lagi cara untuk menjimatkan air ialah dengan mengumpulkan air hujan. Air yang terkumpul boleh digunakan untuk menyiram tanaman. Langkah ini boleh menjimatkan bil air anda. Walau bagaimanapun anda perlu berhati-hati agar air yang disimpan tidak sekali-kali menjadi tempat membiaknya nyamuk aedes! 

Di bawah gambar contoh tong air yang dibuat sendiri untuk menyimpan air (gambar dan penerangan ehsan: www.bhg.com):
Tong untuk menyimpan air hujan
Anda boleh menggunakan tong sampah biasa dan ubahsuaikannya menjadi tong takungan air hujan. Tebuk bahagian atas tong dan sesuaikan lubangnya dengan air yang turun dari gutter rumah anda. Untuk mengelak pembiakan nyamuk, gunakan sekeping jaring sebelum memasang penutup tong. Paip boleh dipasang pada bahagian bawah tong untuk disambungkan ke hos untuk tujuan menyiram pokok. Tong elok kalau diletakkan di atas susunan bata. 

Saturday, 5 November 2011

Flower Bed dalam Pembikinan

Sekarang merancang flower bed yang agak besar di depan rumah. Terlebih dahulu kena buat sempadan dahulu (supaya tidak diceroboh rumput), sudah ditandakan tetapi Pak Aji belum pasti nak buat konkrit atau susun bata sahaja. Selain itu, perlu juga dapatkan tanah, Pak Aji sudah beberapa kali menelefon pihak yang iklankan tanah untuk dijual, namun telefon tidak berjawab - sudah sibuk nak beraya ke?? 

bentuknya suku bulatan

membiasakan pokok di tempat panas sebelum benar-benar tanam


Sebahagian pokok yang akan ditanam nanti sudah ada tetapi belum cukup lagi. Tiger orchid (paling kiri) sudah lama di dalam pasu, belum pernah berbunga, harap-harap akan berbunga di tanah nanti, dengan cukup cahaya matahari. Mak Aji baru diberitahu bahawa jika Tiger orchid berbunga, jangan dipetik, jika dipetik akan merajuk sampai beberapa tahun baru berbunga lagi!  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...