About Me

My photo
Sungai Buloh, Selangor, Malaysia
.... enjoying the simplest things in life - the smell of freshly-cut grass,......

Followers

Thursday, 26 January 2012

Galak Berbunga

Pokok bunga kertas yang satu ini memang tidak pernah berhenti berbunga sejak Mak Aji beli beberapa bulan lepas. Cukup galak. Seronok rasanya bila sampai ke pagar rumah disambutnya!

bunga kertas
Pokok kemboja juga masih mengeluarkan bunga - hujung-hujung. Berbulan jugalah pokoknya berbunga, diiringi bau harum lembut. Yang Mak Aji cukup suka warnanya yang masya-Allah cukup cantik!

kemboja berwarna fuhschia, cantik sekali!
Bunga ixora juga sememangnya tidak pernah putus menyeri pagar di laman rumah.

ixora jingga

Monday, 23 January 2012

Kaktus Berbunga Sulung

Pagi-pagi sabtu sebelum bergerak ke kampung untuk menghadiri perkahwinan anak buah dan adik, Mak Aji cukup teruja sebab tanpa disangka-sangka pokok kaktus yang belum pernah berbunga mengeluarkan bunga sulungnya! Tanpa melengahkan masa Mak Aji terus rakamkan. Bunganya kuning cair, agak besar berbanding pokoknya sendiri. Kelopaknya nipis dan lembut umpama tisu. Umpama mendapat kejutan berupa hadiah pada pagi-pagi hari!!






Thursday, 19 January 2012

Cuba Teka Apa Ini!

Hari ini Mak Aji berborak dengan kawan sepejabat yang membela ikan gapi di pejabat. Mak Aji bertanyakan jika ada atau tidak kedai yang jual makanan ikan (gapi) dekat dengan ofis, takut terlupa lagi hendak beli (macam semalam), sebab makanan ikan habis licin. Lepas itu tanya dia apa yang diberi kepada ikan pada hari Jumaat sementara hendak tunggu hari Isnin. Katanya dia beri yang ini, yang tahan sampai seminggu (amat sesuai untuk mereka yang hendak balik kampung raya Cina ni dan pada masa yang sama tiada orang hendak beri makan ikan! Ini dia:

Bukan kuih bangkit, tetapi makanan ikan!!
Saiznya selebar 3 cm, rupa seakan-akan kuih bangkit. Rupanya juga semacam ragi (tanpa garis-garis tentunya). Balik kerja Mak Aji menyinggah ke kedai untuk membeli makanan ikan, langsung bertanyakan makanan seperti di atas, malangnya tiada. Nampak gaya kena kirim dengan kawan ofis minta dia belikan.  

Wednesday, 18 January 2012

Mangga muda dipetik orang!

Petang semalam panas agak terik, jadi selepas balik dari kerja, terus ke laman rumah untuk siram pokok - kasihan, kehausan! Sedang Mak Aji sibuk menyiram, Mak Aji perasan dua orang anak dara (umur sekitar 3 - 5 tahun) orang sebelah rumah sibuk memetik mangga muda yang baru sebesar (lebih sikit) ibu jari kaki!! Yang bagusnya tu, ada seorang lelaki dewasa bersama-sama mereka dan dia boleh buat derk aje!! Dibiarkannya budak-budak itu! Berasaplah telinga Mak Aji - mentang-mentanglah bukan pokok dia punya, dibiarkan budak-budak tu petik satu persatu hinggalah Mak Aji larang! Barulah dia tergamam! - guna logik akallah, tak perlu masuk 'u' nak faham benda macam ini!! Adakah patut, ibarat melihat budak-budak nakal baling batu ke rumah orang dengan kita tak menegur sebab bukan rumah kita yang menjadi sasaran! Biarlah ada kesedaran sivik sikit. Bila dia tengok muka Mak Aji masam mencuka, tahu dia malu sendiri, berlalu menyorok muka. Kurang asam garam!!

Hendak dibuat apalah mangga ni?? Sayang betul sebab kalau dibiarkan masak, memang manis sangat isinya.

Sayang tak sempat masak

Saja aja nak meluahkan rasa geram, grrrr!!

Sunday, 15 January 2012

Alhamdulillah Allah Izinkan

Anak Mak Aji, Boy balik ke rumah dari rumah sewanya dan memaklumkan bahawa selepas minum campuran air pelepah nipah dengan cuka kurma, dia sudah tidak sakit lagi! Jadi, alhamdulillah ubat menjadi! Sebelum ini dia terasa seperti ada sesuatu yang tidak lepas, diiringi dengan rasa mual. Selepas menghabiskan air ubat yang dibekalkan, dia terasa batu karang keluar dan berasa amat lega, tiada sakit lagi. 

Dalam pada itu Mak Aji menyelongkar kabinet dapur dan terjumpa baki cuka nipah yang pernah dibeli suatu masa dahulu. Jadi, bolehlah lagi dibancuh dengan cuka nipah pula!  

Nampak gayanya ubat tersebut terbukti berkesan, alhamdulillah!!

Friday, 13 January 2012

Penawar Batu Karang

Anak Mak Aji, Boy memang beberapa kali sakit akibat batu karang. Sepupu Pak Aji memberi petua bahawa pelepah pokok nipah yang dimesin (perlu dibakar dan dibuang kulitnya) seperti tebu dan diambil airnya. Air itu kemudiannya dicampur dengan cuka nipah dan diminum. Oleh kerana cuka nipah tiada, maka kami gunakan cuka kurma sebagai alternatif. Kami bekalkan air itu kepada Boy untuk dibawa balik ke rumah sewanya. Harapan agar penawar ini menjadi, insya-Allah!

Air pelepah nipah dan cuka kurma
Pelepah nipah
Ini pula link yang menyebut tentang khasiat cuka nipah. Semoga beroleh manfaat.


Thursday, 12 January 2012

Bunga Kesidang Semerbak Mewangi

Pada pagi yang segar dan dengan udara yang bersih dan nyaman, Mak Aji berasa kurang sihat, tekak terasa kering dan perit, badan berasa seram sejuk. Bila menghampiri singki di dapur, terbau haruman bunga kesidang yang masuk melalui tingkap dapur - harum semerbak - terapi yang cukup baik untuk diri yang kurang sihat!! Memang Mak Aji tanam bunga di sudup belakang dapur untuk memberi semangat agar lebih rajin 'bersilat' di dapur meskipun keletihan setelah seharian bekerja di ofis.

Walaupun sejambak cuma, namun cukup semerbak!!
Subur menjalar di atas para sehingga ke bumbung rumah burung dan ayam.
Dengan cuaca yang agak panas sekarang, dan disulami hujan sekali-sekala, Mak Aji lihat pokok anggur mengeluarkan pucuk baru. 

Ini pokoknya
Pucuk baru
Bilalah agaknya pokok anggur akan mengeluarkan buah?? Agak lama lagilah kut?? Tiada rupa bayang pun tanda-tandanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...